Pusat sehenti rawat kanak-kanak - Utusan Malaysia

Pusat sehenti rawat kanak-kanak

Dr. Lee Soon Han (dua kanan) dan Dr. Mohd. Khalis Abdul Rahim (kanan) bersama jururawat di Pusat Perubatan Sunway. -MINGGUAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JANGAN pandang mudah apabila merawat kanak-kanak. Banyak perbezaan antara pesakit kanak-kanak dan dewasa walaupun menghidap penyakit yang sama. Bahkan cara menguruskan pesakit kanak-kanak juga tidak semudah disangka dan memerlukan perhatian khusus.
Pakar Perubatan Kecemasan dari Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr. Mohd. Khalis Abdul Rahim berkata, antara aspek yang perlu diberi fokus sudah semestinya kadar dos ubat bagi pesakit kanak-kanak dengan mengambil kira berat dan tinggi mereka.
“Memang ada perbezaan dan kanak-kanak sensitif dengan setiap dos yang diberikan. Jadi, mereka perlu ditimbang berat terlebih dahulu dan barulah dos bersesuaian diberi berdasarkan berat badan mereka.
“Terkini, kami menjadi antara hospital swasta terawal yang menggunakan kaedah termoden untuk menentukan dos ubat kecemasan dan saiz peralatan yang diperlukan iaitu dengan mengukur panjang kanak-kanak menggunakan pita khas bagi mendapatkan padanan dos ubat dan saiz yang lebih tepat,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Beberapa jenis ubat, katanya, mungkin tergolong dalam kumpulan yang sama seperti pesakit dewasa.Bagaimanapun, peralatan untuk golongan dewasa dan kanak-kanak adalah berbeza, misalnya peralatan resusitasi seperti saiz tiub pernafasan perlu mengikut saiz mereka.
Pusat perubatan kuaternari swasta yang telah beroperasi selama 24 tahun itu juga mempunyai 22 bidang subkepakaran pediatrik serta lima pakar perunding bedah kanak-kanak.
“Pertama sekali, mana-mana kanak-kanak yang datang ke Jabatan Kecemasan akan melalui saringan primer. Jururawat senior akan bertanya tentang masalah dihadapi. Sekiranya pesakit tersebut tidak stabil, mereka akan dibawa ke zon merah.
“Untuk pesakit yang separa kritikal atau stabil, mereka akan melalui saringan sekunder yang mana tekanan darah, denyutan nadi, suhu badan, tahap oksigen dan tahap kesakitan pesakit diambil kira.
“Berdasarkan faktor-faktor ini mereka seterusnya akan disaring ke zon separa kritikal atau zon kuning, manakala yang stabil ke zon hijau.
“Selepas itu pegawai perubatan akan lihat, diagnos dan beri rawatan awal dan kalau perlu dimasukkan ke wad dan dirujuk kepada pakar pediatrik yang bertugas,” jelasnya yang berpengalaman sebagai pegawai perubatan selama sembilan tahun.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Kemalangan dan Kecemasan (A&E), Dr. Lee Soon Han memberitahu, ada beberapa jenis rawatan untuk pesakit kanak-kanak di jabatan berkenaan.
“Bergantung kepada keadaan. Kalau pesakit tidak stabil, kita akan melaksanakan resusitasi dan rawatan yang sewajarnya untuk menstabilkan mereka.
“Selain itu, kita ada juga pelbagai ubat-ubatan klinikal selain nebulizer. Rawatan kanak-kanak yang mengalami sawan dan trauma turut disediakan di sini,” terangnya.
Bagaimanapun katanya, ibu bapa perlu sentiasa berjaga-jaga dengan keadaan kesihatan anak-anak mereka apabila kondisi badan menunjukkan perubahan tertentu.
“Ada beberapa tanda agar ibu bapa berjaga-jaga. Antara tanda anak tidak sihat adalah kadar pernafasan yang laju, suhu demam yang tinggi atau simptom berkekalan serta kurang aktif seperti biasa.
“Sesetengah pesakit pula mengalami muntah berpanjangan. Ini bermakna perlu lakukan sesuatu dan dibawa ke jabatan kecemasan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, terdapat cabaran yang pasti dihadapi kakitangan perubatan ketika mengendalikan pesakit kanak-kanak.
“Apabila kanak-kanak tidak sihat, ibu bapa secara automatik akan berasa cemas dan risau. Justeru kita perlu mengendalikan kedua-duanya sekaligus secara holistik.
“Satu perkara yang perlu diingat, kanak-kanak tidak seperti orang dewasa yang mudah mendengar arahan. Sudah tentu mereka menangis apabila berada dalam kesakitan.
“Prosedur mengambil darah juga bukan sesuatu yang mudah kerana kita perlu mengalihkan pandangan mereka. Kakitangan saya berpengalaman untuk menangani situasi sebegini,” jelasnya.
Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway kini mempunyai dua unit A&E. Jabatan Kecemasan Kanak-kanak yang terletak di menara baru, Menara D menyediakan rawatan khusus untuk pesakit kanak-kanak dan diasingkan daripada pesakit dewasa di Menara B. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya