Hentikan penyebaran batuk kering - Utusan Malaysia

Hentikan penyebaran batuk kering

Dr. Che' Wan Aminud-Din Hashim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tuberkulosis (TB) atau batuk kering adalah penyakit yang disebabkan oleh kuman bakteria yang dikenali sebagai Mycobacterium tuberculosis. Ia boleh disebarkan dari seseorang yang dijangkiti ke seseorang lain melalui udara.
TB biasanya menjangkiti paru-paru, tetapi ia juga boleh menjejaskan bahagian lain tubuh kita seperti otak, buah pinggang, atau tulang belakang. Namun, ia boleh membawa maut jika tidak mendapat rawatan sewajarnya.
Dalam pada itu, negara-negara di Asia Tenggara menyumbang satu pertiga (44 peratus) daripada kes TB dunia. Malaysia berada di kedudukan ke-76 dunia dan diklasifikasikan sebagai negara endemik tahap sederhana hingga rendah. Jumlah kes TB yang dilaporkan di Malaysia pada 2021 adalah 21,727 manakala jumlah kematian TB pada tahun sama adalah 2,288.
Menurut Pakar Perubatan Dalaman dan Respiratori Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang, Dr. Che’ Wan Aminud-Din Hashim, sesiapa sahaja boleh mendapat TB, tetapi individu yang paling berisiko ialah kenalan rapat atau ahli keluarga seseorang yang mempunyai penyakit TB.
“Jangkitan boleh berlaku sama ada di rumah atau di tempat kerja. Orang yang mempunyai sistem imun lemah seperti penghidap diabetes, pesakit buah pinggang kronik, pesakit kanser, mereka yang menggunakan kortikosteroid yang berpanjangan dan penghidap HIV juga berisiko lebih tinggi berbanding individu sihat. Perokok tegar juga termasuk dalam golongan ini.
“Gejala umum penyakit TB termasuklah berasa kurang sihat atau lemah, penurunan berat badan, demam dan berpeluh di waktu malam. Gejala TB paru-paru termasuklah batuk, sakit dada dan batuk berdarah. Gejala TB di bahagian lain badan bergantung pada organ yang terlibat. Sebagai contoh, jangkitan TB pada otak akan menyebabkan meningitis dan simptomnya adalah sakit kepala, gangguan tahap kesedaran atau pengsan, dan sawan,” katanya.
Tambah Dr. Che’ Wan, sesetengah pesakit mengalami pembengkakan leher kerana pembesaran nodus limfa akibat jangkitan tuberkulosis. TB tulang belakang juga biasa berlaku.
Ciri klinikal tuberkulosis tulang belakang termasuklah sakit pada mana-mana bahagian tulang belakang, kebas tangan atau kaki atau kedua-duanya, lemah otot tangan atau kaki atau kedua-duanya, kekejangan otot, demam, berpeluh pada waktu malam dan kecacatan tulang belakang yang ketara.
“Ujian Mantoux Tuberculin Skin Test (TST) atau ujian darah TB (interferon gamma release assay, QuantiFERON-TB Gold and T-Spot) boleh digunakan untuk menguji wujudnya jangkitan tuberkulosis. Ujian tambahan pula diperlukan untuk mengesahkan penyakit TB. Ujian seperti x-ray dada dan sampel kahak, diperlukan untuk melihat sama ada seseorang itu menghidap TB aktif atau tidak.
“Sampel dari kahak, cecair badan atau tisu digunakan sebagai bahan utama untuk pengesahan makmal bagi penyakit TB. Dalam kes tertentu apabila tiada kahak dapat dihasilkan oleh pesakit atau terdapat ketidakpastian tentang diagnosis iaitu antara TB atau kanser paru-paru, bronkoskopi fleksibel adalah prosedur diagnostik yang akan digunakan,” jelas beliau.
Dr. Che’ Wan memberitahu, rawatan tuberkulosis mengambil masa lebih lama berbanding rawatan penyakit jangkitan bakteria lain. Jangkitan tuberkulosis aktif akan dirawat dengan gabungan ubat antibakteria untuk tempoh enam hingga 12 bulan. Rawatan yang paling biasa untuk TB aktif adalah isoniazid bersama tiga ubat lain iaitu rifampicin, pyrazinamide dan ethambutol.
“Rawatan penyakit TB mempunyai fasa intensif selama dua bulan, diikuti fasa sambungan sama ada empat, tujuh atau 10 bulan. Fasa intensif menggunakan kesemua empat jenis ubat manakala fasa sambungan pula memerlukan dua jenis ubat sahaja iaitu isoniazid dan rifampicin,” jelasnya.
Ketika rawatan, keadaan pesakit bergantung pada jenis ubat yang terdapat di pusat rawatan, ubat TB diberikan dalam bentuk tablet berasingan ataupun gabungan empat atau dua ubat dalam satu tablet tunggal.
Tambah beliau, pesakit akan mula mengalami tindak balas klinikal yang positif dua hingga empat minggu selepas rawatan dimulakan bergantung kepada organ yang terlibat dan sama ada jangkitan itu teruk atau tidak.
“Sesetengah pesakit mungkin mengalami kesan sampingan termasuklah kegatalan kulit dan terasa pening. Sakit perut yang ringan mungkin berlaku pada permulaan rawatan tetapi ia biasanya bertambah baik dalam beberapa hari.
“Air kencing pesakit akan berubah kepada warna oren kemerah-merahan kerana tindak balas dengan ubat TB dan ini akan berlaku sepanjang tempoh rawatan. Sesetengah pesakit mungkin mengalami kesan sampingan teruk yang memerlukan kemasukan ke hospital, pemberhentian sementara rawatan dan meneruskan semula rawatan apabila keadaan pesakit bertambah baik,” katanya.

Gejala-gejala
Batuk berpanjangan selama dua minggu atau lebih
Batuk berdarah
Demam dan berpeluh pada waktu petang atau malam
Hilang selera makan atau turun berat badan
Sakit dada semasa batuk atau
bernafas secara dalam
Mudah letih dan lemah
Serak suara

Apa perlu saya lakukan sekiranya mempunyai gejala-gejala tersebut?
Sekiranya ada, anda perlu dapatkan pemeriksaan:
Ujian kahak yang dilakukan di klinik kesihatan atau hospital
X-ray dada
Pengesahan penyakit dan
rawatan batuk kering
terdapat di mana- mana klinik
kesihatan dan hospital kerajaan.
Pesakit TB kebiasaannya mengalami gejala batuk berpanjangan selama dua minggu atau lebih.
Sesetengah pesakit
mungkin mengalami
kesan sampingan termasuklah
kegatalan kulit dan terasa pening.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya