Lelaki jangan suka ‘sorok’ penyakit - Utusan Malaysia

Lelaki jangan suka ‘sorok’ penyakit

Dr. Warren Lo Hwa Loon
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lelaki pada kebiasaannya dianggap lebih kuat dari segi fizikal dan mental berbanding wanita. Tanggapan lazim ini wujud sejak berkurun lamanya sehingga golongan ini sanggup menyembunyikan masalah kesihatan mereka daripada orang sekeliling.
Tahukah anda, golongan lelaki kini turut berhadapan risiko penyakit diwarisi dari genetik mahupun dari segi cara hidup masing-masing?
Menurut Pakar Perunding Urologi Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Warren Lo Hwa Loon, penyakit kerap dihidapi lelaki adalah masalah prostat dan erektil atau dikenali sebagai mati pucuk.
“ Jika seseorang itu pernah menghadapi masalah susah kencing ataupun kerap ke tandas terutamanya pada waktu malam dan keadaan lebih teruk apabila mengambil masa lama untuk melepaskan air kencing atau terasa seolah-olah baki kencing terkumpul dalam pundi kencing, setiap petanda ini adalah gejala atau tanda awal masalah prostat akan melanda,” ujar beliau.
Golongan lelaki dalam lingkungan umur 50-an ke atas lebih cenderung menghidapi masalah prostat. Namun demikian bukan setiap lelaki menghadapi masalah prostat akan mengalami gejala kencing seperti di atas. Terdapat juga yang tidak mengalami tanda-tanda tersebut.
Tambah Dr. Warren, masalah prostat berlaku kepada golongan lelaki yang mengalami ketidak seimbangan hormon apabila menjangkau umur 50-an.
“Ada pesakit yang bergegas ke Jabatan Kecemasan Hospital kerana mereka tidak dapat melepaskan air kencing dengan normal. Sebenarnya pesakit sebegini telah sekian lama mengabaikan tanda-tanda kencing tidak lawas dalam kehidupan harian dan masalah itu meningkat ke tahap yang mana tiub kencing perlu dimasukkan ke dalam saluran pundi kencing untuk kencing,” jelasnya.
Bagi mengenal pasti masalah kanser prostat, beliau memberitahu, ujian darah dikenali Prostate Specific Antigen akan dilakukan.
Dr. Warren memberitahu, pesakit perlu menjalani pemeriksaan fizikal untuk menganggar saiz, kepadatan dan kelicinan permukaan prostat.
“Jika permukaan prostat bertukar menjadi keras dan ketidak serataan permukaan terbentuk, kemungkinan besar individu itu bakal menghidapi risiko kanser prostat adalah lebih tinggi.
“Oleh itu, para pakar kesihatan bertanggungjawab untuk memupuk kesedaran kanser prostat antara golongan lelaki. Melalui kesedaran sebegini, pesakit kanser prostat dapat dirawat pada peringkat awal, dan kes-kes nyata menunjukan ia boleh sembuh dengan sepenuhnya,” jelasnya.
Selain masalah kelenjar prostat, Dr. Warren berkata, masalah lemah tenaga batin, atau dikenali sebagai Erectile Dysfunction (ED) masalah mati pucuk, juga kesulitan yang sering dialami lelaki tidak kira muda atau tua.
“Kebanyakan tidak sedar golongan lelaki muda juga akan menghadapi risiko masalah lemah tenaga batin. Salah satu penyebab utama adalah berpunca daripada masalah mental. Pada kebiasaannya, tekanan mental di tempat kerja atau keluarga adalah faktor utama.
“Punca lain termasuk kerosakan saraf yang berasal dari otak atau saraf tunjang, kesempitan saluran darah, pesakit darah tinggi, kencing manis, masalah kolesterol tinggi dan tabiat merokok. Mati pucuk juga berpunca daripada penggunaan ubat seperti ubat darah tinggi, ubat sakit mental, ubat sakit jantung atau ubat sawan,” jelasnya.
Selain itu, golongan yang ketagihan pelbagai jenis dadah turut menghadapi masalah sama. Terdapat yang mengalami masalah andropause (tahap hormon lelaki yang rendah) juga tidak terlepas daripada mati pucuk.
Katanya, masalah mati pucuk perlu melalui pemeriksaan teliti, sama ada dari segi psikologi atau dari segi masalah morbiditi sistemik pesakit.
Selain pemeriksaan fizikal, ujian darah juga dijalankan untuk mengenal pasti sama ada pesakit itu mengalami masalah lain seperti kencing manis, kolesterol tinggi atau tahap hormon lelaki yang rendah.
“Ramai juga menjalani kaunseling terutamanya pesakit yang mengalami tekanan jiwa. Sekiranya masalah masih wujud setelah kaunseling, ubat menguatkan tenaga batin akan diberikan kepada pesakit itu,” ujarnya.
Pun begitu, pesakit perlu mengikut arahan penggunaan ubat secara betul, contohnya ubat perlu diambil semasa perut kosong sebelum makan.
Selain itu, pesakit tidak digalakkan melakukan persetubuhan sebaik sahaja mengambil ubat tersebut. Pesakit disyorkan menunggu sekurang-kurangnya 30 minit untuk mendapatkan kesan diingini. Ubat akan hilang keberkesanan selepas 24 jam.
Suntikan ubat ke dalam zakar juga boleh disyorkan kepada pesakit jika preskripsi ubat tidak berkesan. Jarum untuk suntikan tersebut amat halus dan pesakit boleh melakukan suntikan kepada diri-sendiri.
“Kaedah lain untuk mengembalikan ketegangan zakar termasuk penggunaan alat pam dan implan zakar palsu. Alat pam yang menggunakan prinsip vakum dapat merangsangkan pengisian saluran darah ke dalam zakar.
“Di samping itu, implan zakar adalah langkah rawatan terakhir setelah pesakit menjalani pelbagai jenis rawatan tetapi masih tidak berhasil. Walaupun implan adalah alat palsu, ia tidak mengurangkan sensasi pada zakar,” jelasnya.
Bagi Dr. Warren, masalah prostat dan mati pucuk adalah masalah lazim dihadapi lelaki. Oleh itu, pesakit dinasihatkan supaya berjumpa doktor pakar untuk mendapatkan rawatan serta nasihat yang sewajarnya.
Beliau menasihatkan agar lelaki jangan ‘sorok’ masalah kesihatan mereka.
Selain itu, jangan hanya bergantung kepada ubat tradisional yang belum dinilai dari segi risiko dan keberkesanan.
Pakar kesihatan harus mengambil langkah untuk memupuk kesedaran mengenai masalah ini dalam kalangan lelaki supaya mereka boleh mendapatkan nasihat serta rawatan profesional yang sewajarnya. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN