Kiropraktik berkesan rawat sakit belakang - Utusan Malaysia

Kiropraktik berkesan rawat sakit belakang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

Dalam rencana terbitan majalah Time, berjudul “Are Chiropractors Legitimate?”, pakar sains kesihatan University of Pittsburgh, Prof. Michael Schneider, dipetik berkata bahawa rawatan kiropraktik merupakan amalan peruba­tan yang holistik malah me­nyembuhkan bukan saha­ja bahagian yang sakit, sebaliknya seluruh tubuh badan.

Kenyataan itu disokong oleh kajian 2017 dalam Journal of the American Medical Association autoritatif berjudul “Association of Spinal Manipulative Therapy With Clinical Benefit and Harm for Acute Low Back Pain”.

Seperti dilaporkan dalam jurnal tersebut, berdasarkan kajian terkini, didapati rawatan tulang belakang (melalui kaedah kiropraktik) boleh mengurangkan kesakitan pada bahagian bawah tubuh badan pesakit. Soalnya, apakah itu kiropraktik, dan sejauh mana keberkesanannya?

LATAR BELAKANG
Menurut kiropraktor (pengamal kiropraktik) yang juga pengarang bagi Persatuan Kiropraktik Malaysia, Randeep Singh Manocha, kiropraktik adalah perubatan komplimentari yang berasal dari bahasa Yunani.

“Kata ‘chiro’ dari perkataan kheir bermaksud ‘tangan’, manakala ‘praktikos’ dari perkataan prattein bermaksud ‘melakukan dengan’.

“Asal usul kiropraktik bermula pada tahun 1895, ia diasaskan oleh Daniel David Palmer di Davenport, Iowa. Beliau ingin mencari penawar penyakit tanpa menggunakan ubat. Dia mempelajari struktur tulang belakang dan seni memanipulasinya dengan menggunakan tangan,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

Katanya, kiropraktik mula dikenali di Tanah Melayu pada 1926.

“Ia diasaskan di Tanah Melayu oleh seorang ahli kiropraktor bernama Dr Andrew Martin, yang kemudian berhijrah ke Australia pada 1930-an,” katanya.

SIAPAKAH ITU KIROPRAKTOR?
Beliau berkata, kiropraktor yang bertauliah perlu mempelajari kursus kiropraktik yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan (di Malaysia) dan Majlis Pendidikan Kiropraktik di peringkat antarabangsa.

“Satu-satunya universiti yang diiktiraf di Malaysia dan Asia Tenggara yang menawarkan kursus kiropraktik yang bertaraf ijazah sarjana muda adalah Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU).

“Kebanyakan kiropraktor di Malaysia merupakan ahli Persatuan Kiropraktik Malaysia. Terdapat seke­lompok orang mempamerkan diri sebagai pengamal kiropraktik tidak mempunyai kelayakan kiropraktik yang diiktiraf atau bertauliah. Masyarakat mesti berwaspada supaya tidak teperdaya oleh mereka,” katanya.

BERKESAN ATAU TIDAK?
Menjelaskan lanjut beliau berkata, kebanyakan pesakit yang mendapatkan rawatan kiropraktik adalah until sakit tulang belakang, terutamanya sakit pinggang dan sakit leher.

“Sebagai contoh, satu arti­kel penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal The Lancet menunjukkan terdapat bukti yang signifikan secara statistik bahawa menerima rawatan kiropraktik sehingga enam minggu mempunyai beberapa manfaat dalam merawat sakit belakang.

“Rawatan kiropraktik sering merangkumi senaman pemulihan. Senaman tersebut yang dilakukan bersama dengan rawatan kiropraktik mempunyai kesan berangkai,” katanya.

SAKIT APA?
Randeep berkata, kiropraktik menekankan teknik manual termasuk pelarasan tulang belakang serta manipulasi sendi dan tisu lembut dengan tumpuan kepada beberapa fungsi.

“Ini termasuk menam­bahbaik fungsi sendi, mengurangkan kesakitan dan kecacatan serta membantu proses rehabilitasi. Kebanyakan pesakit yang mencari rawatan kiropraktik adalah untuk kesakitan akut, kronik dan kondisi seperti sakit belakang, sakit leher, sakit kepala, skoliosis, ‘slip disk’ dan sebagainya.

KOS RAWATAN
Dari segi kos rawatan, beliau berkata ia di antara RM100 hingga RM200, bergantung kepada rancangan rawatan pesakit.

“Ber­banding beberapa negara lain yang menawarkan rawatan kiropraktik, kos rawatan di Malaysia merupakan salah satu yang paling berpatutan di dunia.

“Eropah, Australia, Amerika Syarikat, Kanada, New Zealand dan Singapura mengenakan kos rawatan kiropraktik antara AS$50 hingga AS$120 setiap sesi, kadang-kadang bahkan lebih,” katanya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya