fbpx

Kerakusan terhadap alam punca malaria

Parasit protozoa bawaan nyamuk penyebab malaria
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam laporan berjudul Malaria, penyakit ini ternyata berbahaya dan membunuh. Malah, kata laporan itu, pada 2019 parasit bawaan nyamuk Anopheles ini meragut 409,000 nyawa, selain menyerang lebih 229 juta penduduk dunia.

LATAR BELAKANG
Menurut Pensyarah Kanan di Jabatan Parasitologi dan Entomologi Perubatan, Fakulti Perubatan UKM, Dr. Zulkarnain Md. Idris, malaria merupakan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh jangkitan parasit protozoa bawaan nyamuk dengan kadar morbiditi dan mortaliti yang tinggi di dunia.

“Pada 2019, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan seramai 230 juta populasi dunia dijangkiti malaria dengan lebih 400,000 kematian, terutama sekali melibatkan populasi di negara-negara di sub-Saharan Afrika.

“Walaupun beberapa percubaan untuk mengeradikasi penyakit malaria di antara 1955 sehingga 1969 menemui kegagalan, eradikasi malaria iaitu ketiadaan kekal infeksi malaria global masih merupakan matlamat utama komuniti kesihatan awam dunia,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

Jelasnya, selain nyamuk antara faktor lain yang boleh menyumbang kepada risiko penyakit malaria termasuk perubahan iklim, urbanisasi dan migrasi.

Apa simptom dan gejalanya?
Beliau berkata, gejala dan simptom penyakit malaria pada manusia biasanya bermula dari hari ke-8 selepas infeksi termasuk demam, sakit kepala dan kesejukan.

“Sekiranya tidak dirawat dengan segera, gejala dan simptom malaria boleh menjadi lebih teruk akibat komplikasi dan seterusnya boleh membawa kepada kematian,” katanya.

Rawatan
Menjelaskan lanjut Zulkarnain berkata, meski boleh mengakibatkan kematian, penyakit malaria masih boleh dirawat.
“Penyakit malaria boleh dirawat dengan ubat anti-malaria, bergantung kepada spesies parasit malaria dan keterukan akibat jangkitan,” terangnya.

KERAKUSAN MANUSIA TERHADAP ALAM
Kata Zulkarnain, kesan-kesan tangan manusia terhadap alam seperti penebangan hutan, pembukaan dan perluasan tanah untuk tujuan agrikultur dan infrastruktur boleh menyebabkan gangguan kepada sistem ekologi dan sosial, seterusnya berpotensi memberi impak besar dalam usaha kawalan penyakit malaria.

“Pada dasarnya, kepelbagaian geografi dalam sebaran penyakit malaria dipacu oleh variasi biologi spesies nyamuk Anopheles (vektor jangkitan malaria) tertentu yang beradaptasi dengan kepelbagaian lanskap sedia ada.

“Faktor lanskap-biologi ini turut berhubung kait dengan kebolehdapatan manusia kepada penyakit malaria, status ekonomi serta capaian kepada penjagaan kesihatan. Keberkesanan intervensi malaria dan kawalan vektor turut dipengaruhi oleh faktor lanskap-biologi ini dan kejayaan sebarang kempen eradikasi malaria perlu melibatkan strategi yang spesifik terhadap lanskap tertentu,” jelasnya.

Berikut beberapa tanda mendapat jangkitan malaria
Menggigil, demam dan berpeluh
Sakit kepala
Keletihan
Sakit otot
Loya dan muntah
Anemia
Jaundis (kekuningan)
Sawan
Koma

TIPS KAWAL PENYAKIT INI?

Kawalan vektor nyamuk merupakan kaedah utama bagi menghalang transmisi penyakit malaria.
Sekiranya berada di kawasan endemik penyakit malaria, beberapa tips mencegah dari gigitan nyamuk boleh dilakukan seperti berikut:
Sapu krim penghalau nyamuk di kawasan badan yang terdedah
Pakai baju berlengan panjang dan seluar panjang
Sembur ubat penghalau nyamuk di dalam bilik
Guna kelambu nyamuk berubat semasa tidur

Berikut beberapa tips makan dan minum jika diserang malaria:

Banyakkan minum air suam
Disarankan minum jus buah segar
Mengambil air berglukosa juga digalakkan
Minum air kelapa dengan kerap
Amalkan minum serbat dibuat menggunakan lemon, garam, gula dan dicampur air suam
Amalkan makan sup ikan dan ketam
Hirup sup ayam yang panas dan berkhasiat
Makan telur sebagai sumber protein sihat
Jauhi makanan ringan
Elak makan makanan tinggi fiber dan buah-buahan yang berkulit tebal
Elak pengambilan kafein

Menurut portal kesihatan Mayoclinic, berikut beberapa ubat rawatan malaria:
Chloroquine fosfat.
Terapi rawatan menggunakan ubat berasaskan artemisinin (ACT)
Atovaquone-proguanil (Malarone)
Quinine sulfat (Qualaquin) dan doxycycline (Oracea, Vibramycin, others)
Primaquine fosfat

 

 

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI