Bantu penduduk luar bandar celik pendidikan, kesihatan - Utusan Malaysia

Bantu penduduk luar bandar celik pendidikan, kesihatan

NORDINA Abd. Latif (kiri) bersama Tajuddin Abdul Latif (tengah) dan Pengarah Urusan SMG, Johari Abu Kasim di hadapan Klinik Sayang Masyarakat dan Pusat Tuisyen Sayang Masyarakat, Lubok Cina, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDIDIKAN berkualiti dan sistem penjagaan kesihatan yang baik merupakan antara keperluan asas diperlukan komuniti dalam membentuk masyarakat madani.

Menyedari keperluan tersebut, Yayasan Sayang Masyarakat (YSM) yang berpusat di Nilai, Negeri Sembilan mengambil inisiatif menubuhkan Pusat Tuisyen Sayang Masyarakat dan Klinik Sayang Masyarakat sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam membantu penduduk luar bandar dan golongan berpendapatan rendah (B40) yang memerlukan.

Pengerusinya, Datuk Tajuddin Abdul Latif berkata, YSM bertujuan melaksanakan CSR dengan lebih teratur dan telus.

Yayasan yang ditubuhkan tahun lalu itu, menerima dana daripada Kumpulan Star Medik (SMG) iaitu sebuah syarikat yang terlibat dengan pengedaran dan pembuatan peranti perubatan.

“Syarikat perubatan melalui fasa tragis apabila seluruh dunia termasuk Malaysia berdepan penularan Covid-19. Ketika itu berlaku pelbagai masalah ekonomi dan sosial kerana kehidupan rakyat terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Syarikat kami beroperasi seperti biasa ketika itu. Terdetik di hati kami apa yang boleh kami lakukan untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

“Dari situ kami fikir daripada menggunakan syarikat di bawah SMG untuk melakukan CSR, lebih baik menubuhkan sebuah yayasan untuk melaksanakan tadbir urus CSR yang lebih profesional dan telus,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Ia berjaya melaksanakan projek perintis iaitu Pusat Tuisyen Sayang Masyarakat dan Klinik Sayang Masyarakat di Lubok Cina, Melaka.

Mengulas mengenai penglibatan syarikat perubatan dalam pendidikan, Tajuddin yang juga Pengerusi Eksekutif SMG berkata, beliau mahu pelajar luar bandar dan B40 turut mendapat akses pendidikan berkualiti sama seperti di kawasan bandar.

Ujarnya, Pusat Tuisyen Sayang Masyarakat mengenakan yuran yang rendah, mengguna pakai teknologi terkini dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P), suasana pembelajaran kondusif serta tenaga pengajar yang berkelayakan.

Hingga kini pusat berkenaan menawarkan empat subjek untuk murid darjah empat hingga enam serta tingkatan empat dan lima, pada kadar yuran antara RM35 hingga RM45 untuk satu subjek.

Bagaimanapun pelajar digalakkan mengambil pakej kerana lebih murah iaitu antara RM80 dan RM100 bagi empat subjek ditawarkan.

Tenaga pengajar berpengalaman dan persekitaran kondusif dilengkapi pendingin hawa dan papan putih digital, memberi keselesaan dan keseronokan kepada pelajar.

Hingga kini seramai 40 pelajar mendaftar dengan Pusat Tuisyen Sayang Masyarakat sejak ia beroperasi 20 Mac lalu.

“Sesiapa sahaja dialu-alukan menyertai pusat tuisyen ini, tanpa mengira latar belakang pendapatan keluarga, agama dan bangsa.

“Datanglah ke sini untuk menuntut ilmu, kami menerima sesiapa sahaja yang ingin belajar. Bagi ibu bapa yang mempunyai masalah kewangan, mereka boleh datang dan berbincang dengan pihak kami,” katanya yang menjelaskan yuran dikenakan kepada pelajar bertujuan mendidik mereka untuk lebih menghargai dan komited untuk menuntu ilmu.

“Yuran ini antara yang terendah kerana kami tidak mengambil sebarang keuntungan, cukup sekadar menjamin kelangsungan operasi,” jelasnya.

Klinik tawar perkhidmatan harga patut

KLINIK Sayang Masyarakat merupakan klinik swasta pertama yang dibuka di Lubok Cina, Melaka. Ia menawarkan perkhidmatan pada harga 30 hingga 40 peratus lebih murah berbanding klinik lain.

Tajuddin berkata, harga tersebut dicapai menerusi pembiayaan awal oleh Kumpulan Star Medik (SMG) dan tidak mengambil kira pulangan atas pelaburan (ROI) setiap pesakit yang mendapatkan rawatan.

Ujarnya, walaupun mengenakan caj yang murah, pihaknya tidak pernah berkompromi soal kualiti perkhidmatan, ubat-ubatan dan teknologi digunakan dalam merawat pesakit.
“Bukan kata ubat kita lebih murah daripada klinik lain kerana kos ubat sama sahaja. Sebaliknya kami hanya mengambil kira kos operasi,” katanya.

Antara perkhidmatan dan rawatan ditawarkan ialah rawatan am, ujian darah, vaksinasi, pemeriksaan jantung, imbasan ultra bunyi, pemeriksaan ibu mengandung dan bakal jemaah haji atau umrah.

Sementara itu, Pengarah dan Pegawai Perubatan Klinik Sayang Masyarakat, Dr. Nordina Abd. Latif berkata, klinik berkenaan boleh dijadikan alternatif untuk mendapatkan rawatan lebih pantas terutama kepada penduduk yang tinggal di sekitar sempadan Melaka dan Negeri Sembilan.

“Kami turut mengadakan promosi dan hebahan di klinik kesihatan (KK) berhampiran untuk memaklumkan jenis rawatan yang terdapat di klinik kami. Klinik ini sebagai pilihan lantaran KK biasanya ramai pesakit dan memerlukan waktu menunggu yang agak lama,” katanya yang menjelaskan, sejak beroperasi Disember tahun lalu, ia menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN