Bawa pembaharuan sebagai nazir wanita - Utusan Malaysia

Bawa pembaharuan sebagai nazir wanita

Noor Inayah Yaakub mahu lebih ramai orang tertarik kepada Islam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelantikan wanita sebagai nazir bukanlah suatu masalah, sebaliknya mengangkat martabat dan membawa pembaharuan dalam pengurusan masjid secara lebih meluas.

Ketika ditemui Seri, Presiden dan Naib Canselor di Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL), Prof. Datuk Dr. Noor Inayah Yaakub berkata, walaupun secara dasarnya fungsi dan peranan nazir di masjid ini lebih kepada pengurusan, integriti, akauntabiliti dan aktiviti masjid namun ia tidak menyekat peranan wanita atau sesiapa sahaja berkelayakan menjadi peneraju.

“Sekiranya saya hanya presiden dan naib canselor kemungkinan besar tidak akan terpilih jika tidak mempunyai pengetahuan agama.

“Kebetulan saya mempunyai dua ijazah sarjana muda dalam bidang undang-undang dan syariah maka Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mempertimbangkan saya sebagai wanita untuk menjadi nazir masjid di daerah Sepang ini,” katanya. Pelantikan itu disandang sehingga 2025.

Nazir sering difahami berkaitan dengan masjid sahaja namun Noor Inayah melihat ia adalah satu peranan bersifat profesional.

“Ini kerana kita bukan sahaja melihat kesinambungan aktiviti yang dibangunkan masjid, pemilihan imam dan sebagainya tetapi tugas nazir lebih kepada memantau dan menganalisa untuk membawa masjid ke arah lebih baik. Saya akan bantu masjid untuk lebih mematuhi dan mengikut aspek undang-undang.

“Peranan nazir menerusi titah Sultan Selangor adalah untuk memastikan integriti. Maka aktiviti dibuat di masjid ini adalah aktiviti tidak bertuntaskan politik dan memberi kefahaman tentang Islam,” katanya yang mendapat sokongan sepenuhnya daripada ahli jawatankuasa masjid dan imam.

Selain bergelar nazir dan pengurusan tertinggi di universiti, Noor Inayah turut memegang jawatan sebagai Pengerusi Amanah Raya Trustees Berhad, Ahli Lembaga Pengarah Amanah Raya Berhad, Ahli Pemegang Amanah Yayasan Amanah Raya, Ahli Majlis Perundingan Islam, penasihat syariah beberapa bank serta Presiden Halal Malaysia.

KAFETERIA WAKAF KHAS

Tidak jemu melakukan kebaikan kepada semua golongan, Noor Inayah yang baharu sebulan dilantik menjadi nazir telahpun mengorak langkah menubuhkan kafeteria pelajar pertama menerusi wakaf khas iaitu SweetSis Cafe di IUKL.

Apabila menyandang jawatan nazir, beliau akan memastikan aktiviti dijalankan lebih berimpak dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

Beliau berkata, masjid institusi iaitu Masjid Ikram di IUKL ini turut memberi manfaat kepada 50 peratus pelajar antarabangsa.

“Saya membantu menganalisa, merancang dan memantau aktiviti masjid pada masa sama berjihad meluaskan pengetahuan agama Islam kepada pelajar daripada hampir 50 buah negara mengenai peranan nazir masjid terutama di institusi ini.

“Jadi, tidak hanya pada kariah setempat tetapi juga kepada orang yang bermastautin, bermukim, bermusafir dari luar Malaysia juga,” katanya yang bersyukur atas kapasiti sebagai nazir, presiden dan naib canselor untuk membawa dua ‘topi’ dalam satu aktiviti yang memberi kebaikan kepada pelajar-pelajar dan masyarakat setempat tanpa mengira agama.

“Inilah dikatakan jihad. Sebagai nazir masjid, saya ingin membuatkan orang lebih tertarik dengan Islam dan ingin ketengahkan konsep wakaf bukanlah untuk orang Islam sahaja tetapi non-Muslim juga dapat manfaatnya. Ini menunjukkan Islam itu cantik dan lebih menarik semua boleh menikmati Menu Rahmah yang disediakan di kafe wakaf khas ini,” katanya.

Kafeteria pelajar tersebut dibina secara wakaf khas keseluruhan daripada dana wakaf IUKL sendiri dengan Kerjasama Perbadanan Wakaf Selangor.Sehingga kini hampir RM200,000 sumbangan wakaf dan zakat.

“Inisiatif ini bagi mengimarahkan wakaf dan endowment di universiti. Operasi kafeteria wakaf khas berteraskan filantropi yang mana rakan industri yang berkolaborasi dengan IUKL akan turut memainkan peranan menyediakan kemudahan dana melalui wakaf, zakat, sumbangan dan sedekah agar para pelajar dan juga seluruh warga IUKL dapat menikmati menu Rahmah yang diperkenalkan sepanjang tahun,” katanya.

Kata beliau, Menu Rahmah yang disediakan di kafeteria tersebut bernilai antara RM2.50 dan RM4.50 sahaja dengan menggunakan sistem kupon.

Perancangan seterusnya selain kafeteria ini, wakaf khas lain seperti kemudahan sukan, rawatan, kesihatan, penjagaan orang tua-tua, anak istimewa dan sebagainya turut menjadi aktiviti yang akan dilakukan oleh Noor Inayah pada masa akan datang.

“Apabila kita menguruskan masjid dan memastikan masjid itu berjalan lancar mengikut kemampuan, secara tidak langsung kita dapat menonjolkan kepimpinan di tempat lain juga.

“Falsafah saya lebih suka berbuat baik dan bantu pada orang lain daripada apa yang saya dapat atau peroleh. Kita memahami wakaf ini adalah salah satu pahala yang boleh kita buat walaupun sudah mati ia tetap mengalir. Itu yang mendorong saya menubuhkan wakaf khas ini,” katanya.

SOKONGAN KELUARGA

Di sebalik kejayaan wanita, pastilah mempunyai suami dan ahli keluarga yang memberi sokongan serta galakan.

“Saya tiada masalah untuk bekerja dan juga tidak lupa diri apabila berada di rumah. Saya masih menjadi seorang ibu dan isteri. Saya mendapat sokongan sepenuhnya daripada keluarga dan orang sekeliling. Mereka juga dapat manfaat apabila memberi laluan kepada wanita untuk terus berjaya.

“Lagi pula saya belajar undang-undang, jadi saya tahu beberapa perkara. Maka kita tidak hanya mempertikaikan hak kita tetapi dalam masa sama kita memberi keadilan kepada orang lain tentang hak dan peranan mereka. Jangan lupa bab itu. Ia akan buat kita terus ke depan dan tahu apa yang dilakukan untuk seterusnya,” katanya.

Nasihat beliau kepada wanita bekerjaya mahupun suri rumah untuk sentiasa tenang. Sifat tenang ini membawa kita lebih kepada berfikir dengan positif selain kuat tawakal dengan Allah.

“Sebagai wanita lumrahlah ada perasaan cemas dan bimbang. Sebab itu pentingnya berdamping dengan rakan-rakan atau orang sekeliling yang tenang, positif, ikhlas dan tidak munafik.

“Saya juga belajar dan alhamdulilah saya dikelilingi dengan rakan yang sangat baik. Vibe positif ini yang membuatkan kita juga menjadi bertambah baik,” katanya.
jaga penampilan.

Sedar dengan kesibukan sebagai wanita bekerjaya yang tidak dapat lari daripada tekanan kerja, Noor Inayah melakukan aktiviti sukan untuk kekal aktif dan sihat.

“Saya akan pastikan penampilan saya terjaga dan tidak sakit. Alhamdulillah sehingga kini saya tiada penyakit tiga serangkai. Saya akan cari masa untuk bersukan, walaupun sudah memasuki awal 50-an saya pastikan dapat mengeluarkan peluh.

“Saya dulu ahli sukan, jadi tiada masalah bahagi masa untuk bersukan dengan rakan-rakan dan kadang akan workout sendiri. Ini agar kita tidak melanggar disiplin kesihatan. Paling penting, kita tahu Indeks Jisim Tubuh (BMI) agar tidak obesiti,” katanya.

ERTI RAMADAN

Berkongsi erti Ramadan, ujar Noor Inayah, bulan yang mulia ini memberikan beliau banyak masa untuk melakukan ibadah.

“Ramadan menjadikan kita peka untuk bangun sahur. Apabila meningkat usia, kita akan mencari sesuatu tidak buat kita berasa kosong. Jadi, saya selalu bertadarus bersama rakan-rakan, sebab tahu kalau lakukan seorang diri pasti ‘tak jalan’.

“Bagi saya, jangan kita tunggu Ramadan untuk melakukan tadarus. Mulakan dua atau tiga bulan sebelum Ramadan. Rancang dan teruskan. Sebaik-baik amalan kita adalah konsisten, Ramadan lebih seronok berbading raya kalau kita betul-betul fahami erti Ramadan sebenar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya