Nikmatnya mandi kolam air soda - Utusan Malaysia

Nikmatnya mandi kolam air soda

Saya mengambil kesempatan berendam dalam air soda yang jernih dan berbuih.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pesawat AirAsia, QZ125 mendarat dengan cermat di Lapangan Terbang Kuala Namu, Medan pada jam 2.40 petang waktu Indonesia. Penerbangan yang memakan masa kurang sejam itu membuatkan saya rasa seperti masih dalam negara sendiri.

Seperti yang diketahui, kesesakan lalu lintas atau macet kata orang Indonesia begitu teruk sekali, tak macam di Kuala Lumpur.

Cuaca di Kota Medan pula panas terik tak ubah seperti di Kuala Lumpur dan terkadang itu hujan.

Antara tempat saya lawati sepanjang berada di sini adalah Masjid Gang Bengkok.

Masjid ini turut mendapat jolokan sebagai salah sebuah daripada tiga Masjid tertua di Medan. Ia siap dibina pada 1874 di atas tanah wakaf Datuk Muhammad Ali atau dikenali sebagai Datuk Kesawan.

Saya berkesempatan menunaikan solat fardu Jumaat di Masjid Raya terletak di tengah kota.

Masjid serba putih ini ternyata besar dan megah.

Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke pekarangan masjid, berpusu-pusu anak-anak muda meluru ke arah saya sambil meminta agar saya meletakkan kasut ditempat yang disediakan.

Tapi perlu dibayar, entah berapa rupiah pun saya tak tahu sebab yang membayarnya adalah bang Wiwi, saudara saya di Medan.

Di Indonesia anda boleh melihat pelbagai jenis pekerjaan untuk menyara hidup.

Berhentikan kereta untuk memberi ruang kepada kereta lain keluar masuk ke jalan pun merupakan sebuah pekerjaan.

Anda boleh bayar dalam 2000 rupiah iaitu sekitar 58 sen.

Pada pukul 6 pagi keesokkan harinya, kami bergerak menuju ke Tarutung. Perjalanan ke Tarutung mengambil masa selama tujuh jam lamanya.

Tapi kalau lihat pada peta, dari kota Medan ke Tarutung ibarat dari Perak ke KL iaitu sekitar tiga jam.

Namun memandangkan di Medan tak ada lebuh raya seperti di Malaysia maka perjalanannya mengambil masa lebih panjang ditambah pula dengan terpaksa mengharungi jalan-jalan yang sempit dan berbukit-bukau.

KOLAM AIR SODA
Setelah tiba ke destinasi, kereta pun di parkirkan di hadapan sebuah papan tanda tertulis “Selamat Datang ke Pemandian Air Soda, Desa Parbubu”.

Sebaik sahaja melangkah keluar dari kereta, saya dapat rasakan hembusan angin sejuk.

Ya, cuaca di sana agak sejuk memandangkan kedudukannya yang terletak di atas gunung.

Saya benar-benar rasa terkejut tatkala melihat sebuah kolam air yang terletak di kawasan sawah padi!

Pengunjung beragama Islam kebanyakannya membawa makanan sendiri memandangkan majoriti penduduk di kawasan Tarutung ini bukanlah dalam kalangan orang Islam. Jadi makanannya tidak dijamin halal.

Ayam goreng, udang sambal, ikan sambal dan sayur tumis kacang yang dibawa mereka sudah cukup mengiurkan saya.

Kami menjamu selera sambil bercakap tentang keunikan kolam air itu.

Katanya, air yang terdapat di kolam tersebut merupakan air soda!

Menurut mereka, ia dijumpai oleh seseorang yang bernama Minar Shite.

Apabila dapat melihat dengan lebih jelas, maka akurlah saya akan keunikannya.

Warna airnya kemerah-merahan dan berbuih-buih.

Kalau duduk berendam dalam air tersebut, badan kita akan terasa begitu ringan dan selesa sementara mata akan menjadi pedih jika terkena percikan air tersebut.

Kalau rasa airnya pula, ternyata seperti air soda, sekalipun tidak manis.

Air soda yang suam itu, dipercayai boleh membantu menyembuhkan beberapa penyakit biasa seperti gatal-gatal badan.

Kolam air soda ini hanya terdapat di dua negara sahaja, iaitu di Medan, Indonesia dan di Venezuela.

Jangankan pelancong asing sahaja tak tahu akan kewujudan kolam air soda ini, bahkan kebanyakan orang Indonesia sendiri pun tak tahu!

Sememangnya empunya kolam air ini tidak mahu tempatnya mendapat perhatian orang ramai apatah lagi dijadikan sebagai salah satu kawasan tumpuan pelancong.

Apa yang pasti, saya cukup bertuah dan berterima kasih dengan ahli keluarga saya di Medan yang membawa saya melawat ke tempat-tempat unik yang hanya diketahui sebahagian orang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×