Lelaki ‘gila seks’ gangguan psikologi - Utusan Malaysia

Lelaki ‘gila seks’ gangguan psikologi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kewujudan lelaki ‘gila seks’ bukan sesuatu yang baharu untuk diperkatakan. Namun kebelakangan ini makin menjadi-jadi kes berkaitan lelaki yang merakam gambar ghairah wanita untuk dijual kepada umum.

Adakah ini suatu penyakit atau sekadar nafsu yang tidak pernah puas? SERI kongsikan pandangan Pegawai Psikologi Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (UniSHAMS), Muniroh Mohd. Yusoff mengenai isu ini.

SERI: Istilah ‘gila seks’ itu sendiri adakah masalah psikologi atau sekadar nafsu buas sesetengah lelaki?
Muniroh Mohd. Yusoff: Antara faktor psikologi yang menyumbang kepada tingkahlaku tidak bermoral dan luar tabii manusia adalah wujudnya emosi yang tidak gembira hasil faktor persekitaran atau psiko sosial individu seperti hubungan kekeluargaan yang rapuh, keluarga bermasalah dan kurang perhatian dari ibu bapa.
‘Gila seks’ pula adalah gangguan dari segi psikologi. Pelaku bertindak di luar kawalan batasan manusia normal akibat dari tekanan dan gaya hidup pelaku.

‘Gila seks’ juga melihat kepada ketagihan seks seseorang individu itu mencari kepuasan seksual atau memenuhi kehendak nafsu secara kerap atau berulang-ulang. Ini kerana individu ingin merasai penghayatan dan nikmat dalam melakukan tingkah laku seksual seperti melakukan hubungan seks, onani, menonton pornografi, melihat imej lucah, membaca cerita lucah dan sebagainya.
Isu ketagihan seksual ini sememangnya suatu perkara yang negatif kerana bagi memuaskan nafsu, ia disalurkan melalui cara yang salah iaitu melakukan tingkahlaku seksual bukan dalam keadaan yang sepatutnya tetapi melakukan seks luar nikah, menonton video lucah dan sebagainya.

Adakah lelaki yang melakukan perkara sebegini sebenarnya ‘gila seks’ atau sekadar mencari keuntungan dengan cara mudah dengan menjualnya di internet?
Secara peribadi pandangan saya adalah ia bermula dengan minat dan kecenderungan peribadi individu atau pelaku itu sendiri bermula dengan sikap ingin tahu dan seterusnya tidak dikawal dan menjadi ketagihan terhadap pornografi.

Permulaan sebagai tempat pemuas nafsu dengan menonton video lucah dan akhirnya melihat kepada permintaan dalam kalangan pelaku sendiri terhadap video lucah ini bagi memperoleh keuntungan. Hal ini mungkin berlaku kerana keinginan individu yang lebih dipengaruhi oleh persekitaran individu itu sendiri untuk melakukan seks dan keadaan ini juga menunjukkan kawalan kendiri kurang memainkan peranan dalam tingkah laku seksual seseorang individu.

Persekitaran individu ini merujuk kepada faktor pengaruh rakan sebaya yang juga melakukan tingkah laku seksual sebelum kahwin.

Makin ramai yang berani melakukan kegiatan ini dan menjualnya di beberapa laman web. Adakah ini bermakna permintaan sangat menggalakkan bagi video lucah?
Semestinya ada permintaan kerana terdapat golongan yang ketagihan gambar atau video pronografi dengan menjadikan video atau gambar ini sebagai pemuas nafsu mereka. Pendapat ini disokong oleh

Derbyshire & Grant 2015, menyatakan ketagihan seks terjadi apabila seseorang individu itu mencari kepuasan seksual atau memenuhi kehendak nafsu secara kerap atau berulang-ulang.

Ada pihak yang menyalahkan wanita sendiri yang berpakaian mencolok mata sehingga menjadi mangsa. Komen?
Secara peribadi ia tidak sepenuhnya bergantung kepada aspek pemakaian yang mencolok mata sahaja malah aspek yang lebih kritikal perlu diberi perhatian. Islam mensyariatkan pakaian wanita yang tidak mendedahkan aurat kerana Islam menjaga maruah wanita.

Bagi kaum hawa sendiri, langkah berjaga-jaga bagaimana perlu diambil bagi mengelakkan menjadi mangsa kegiatan ini?
Aspek lain yang perlu diberi perhatian selain pemakaian yang menutup aurat adalah seperti penjagaan barangan peribadi. Tidak menampakkan atau menonjolkan aksesori emas atau barang berharga pada tubuh badan, melengkapkan diri dengan asas ilmu pertahanan diri, panduan apabila berada di tempat awam bagi membuka peluang kepada pelaku dan cara komunikasi dengan lelaki supaya wanita lebih berwaspada terhadap isu keganasan yang menghantui mereka.

Pencegahan dan isu keselamatan adalah menjadi faktor utama dalam memastikan wanita tidak lagi menjadi mangsa keadaan.

Peranan keluarga dalam mengekang anak-anak dalam kegiatan tidak bermoral ini?
Kebanyakan kajian yang dilakukan sebelum ini sama ada di barat mahupun di Malaysia, menunjukkan bahawa hubungan kekeluargaan yang baik berkait rapat dengan keharmonian dan kesejahteraan hidup remaja dari aspek konsep kendiri, kepuasan hidup, tingkah laku seks dan pencapaian akademik (Fatanah, 1997).

Justeru ibu bapa zaman kini perlu pertingkatkan diri dengan ilmu kekeluargaan dan didikan anak yang bersesuaian dengan gaya hidup kini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN