Seperti tahun tahun sebelumnya, Geng Kembara Basikal (GKB) merancang satu kayuhan santai bagi menyambut kedatangan tahun baru. Malangnya, pandemik Covid-19 ‘merencatkan’ semua perancangan kayuhan kami.

Bagi yang suka berjalan, beraktiviti dan yang mempunyai hobi tertentu sudah tentu rasa ‘terpenjara’ kerana tidak boleh ‘bebas’ bersama rakan-rakan yang sekepala. Begitu juga kami!…
Jadi, apabila dapat peluang untuk berkayuh merentas daerah, kami pun merancang satu kayuhan santai yang sederhana.
Perancangan kami dalam group WhatsApp mendapat sambutan walaupun tarikhnya agak tergesa-gesa. Seramai 18 orang mengambil bahagian kali ini. Diiringi lima keluarga yang memandu kereta terus ke destinasi.
Menurut ketua projek, Abdul Shukor Abdul Jalal, perancangan kali ini agak mudah, justeru pengumumannya dibuat singkat.
Semua peserta dikehendaki berkumpul di Stesen Keretapi Pulau Sebang, Tampin, pukul 9 pagi 1 Januari 2021.
“Dari sana kami akan berkayuh selama 15 minit lagi untuk bersarapan di Warung Citarasa Nasi Ayam Madu, Pulau Sebang di tepi jalan yang dipilih sebagai tempat pertemuan kami,”.
Trip kami ini agak berbeza, masing masing diberi pilihan untuk memulakan kayuhan mengikut kelapangan masing masing dalam kumpulan kecil.
Menurut Shukor lagi: “saya bersama tiga peserta memulakan kayuhan sehari awal. Dari Ampang kami menuju ke jalan Genting Peres, Kuala Kelawang dan terus ke Rembau dan bermalam.
Laluan sejauh 130 kilometer ini berbukit bukau dan cuaca ketika itu sangat panas. Dari Rembau, kami berkayuh awal pagi untuk berkumpul di sini bersama yang lain.
Sekumpulan lagi dari kawasan sama, Selayang Height mengambil keputusan menaiki komuter seawal pagi. Disebabkan jadual pertama untuk ke Tampin 6.30 pagi, mereka terpaksa berkayuh dari rumah pukul 4.30 pagi menuju stesen terdekat.
Pengalaman baharu buat mereka kerana pengalaman pertama menaiki tren pagi. Kumpulan ini bertembung dengan beberapa peserta lain yang menaiki tren di Stesen Nilai.
Tiga peserta mengambil keputusan berkayuh dari Stesen KTM Nilai terus ke destinasi sejauh 123 kilometer (km). Mereka berkayuh secara berasingan menuju destinasi kerana mereka mahukan cabaran berbeza.
Selepas bersarapan kami bersiap memulakan kayuhan menuju Kem Tasik Biru (KTB), Jasin sejauh kira-kira 55km.
Pagi itu, Shukor memberi taklimat laluan yang akan dilalui peserta, agar semua tidak tersesat. Beberapa prosedur terutama penjarakan fizikal juga dititikberatkan selain perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.
Semua 18 peserta sedia untuk memulakan kayuhan. Kayuhan hari ini agak santai. Cuaca menyebelahi kami. Dari padi cuaca agak suram dan mendung. Sesekali hujan renyai-renyai.
Walaupun jalan di sini kebanyakannya berbukit bukau keperitan berkayuh tidak terasa.
Dari jalan Tampin ke Kemuning, kami terus ke Machap, Selandar dan Jasin.
Yang tersedia di sini adalah laluan berbukit ditemani ladang kelapa sawit, ladang getah, perkampungan, tanah Felcra dan Felda.
Matahari hanya muncul apabila kumpulan kami tiba di pekan Jasin, sedikit panas tapi sudah hampir tiba ke destinasi.
Dari Jasin kami meneruskan jarak yang berbaki 10 kilometer itu melalui Kerayong, Chin Chin dan terus masuk ke KTB.
Tiba Di KTB kami disambut Ismail Badol (Pak Mail) dan isteri. Kedatangan kami memang dinanti kerana beliau juga adalah ahli asal GKB. Petang itu kami dijamu minuman petang sambil diberi taklimat keselamatan oleh Pak Mail.
Menurut beliau KTB asalnya bukan kawasan perkhemahan, ia adalah kawasan kem bina semangat. Jadi pesertanya adalah kumpulan kumpulan yang datang untuk berkursus, di mana aktiviti air adalah kepakaran kami.
Covid-19 menyebabkan KTB sunyi dari peserta kursus. Banyak perancangan dan jadual yang diatur terpaksa dibatalkan. Bagi mengelakkan kem ini terus sunyi, kami mula membuka tapak perkhemahan tetapi jumlahnya dihadkan.
Kem ini sangat cantik. Selain air tasiknya yang kebiruan dan kehijauan ia menyajikan pemandangan indah Gunung Ledang.
Kami tidak dibenarkan mandi di tasik tanpa kebenaran dan seliaan jurulatih yang ada. Ini bertujuan menjaga keselamatan pengunjung awam dan menjaga nama baik kem.

Bilik di sini adalah terhad, dikhususkan untuk jurulatih dan guru-guru pengiring saja.
Jadi selepas membahagikan bilik kepada yang berminat, peserta lain mula sibuk memasang khemah di tepi tasik.
Kursus berkayak
Esoknya, Pak Mail ‘belanja’ kami kursus asas kayak secara percuma.
Bermula dengan water confident.
Setiap seorang dari kami diberi arahan terjun dari jeti tanpa memakai jaket keselamatan sebagai ‘salam’ pengenalan diri kepada Tasik Biru. Macam-macam ragam, ada juga yang panik tapi dapat ditenangkan jurulatih.
Seterusnya pengenalan kayak dan teknik berkayak. Masing-masing tersenyum lebar, maklumlah sejak tiba semalam dah berangan nak berkayak, tetapi tidak benarkan.

Bila dah sibuk berkayak, hari terasa pendek. Cuaca panas tidak terasa, aktiviti air memang asyik tapi memenatkan.
Pada 3 Januari, hari terakhir kami di sini, selepas sarapan kami bersurai. Yang berkereta masih santai lagi.
Yang berbasikal bersiap berkayuh balik menuju ke Stesen KTM Tampin. Kami perlu berada di stesen pukul 3 petang kerana tren ke Kuala Lumpur bergerak pukul 4 petang.










