- Utusan Malaysia
Ketinggian sesuai usia tanda anak sihat. Selain pemakanan, gaya hidup turut mempengaruhi ketinggian kanak-kanak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tahukah anda bahawa ketinggian adalah salah satu penunjuk pertumbuhan yang penting bagi kanak-kanak khususnya tahap kesihatan mereka.

Kajian mengenai ketinggian telah lama bertumpu terhadap genetik di mana ia menentukan 20 peratus daripada ketinggian seseorang kanak-kanak.

Namun, ibu bapa tidak seharusnya mengabaikan kenyataan bahawa faktor persekitaran seperti pemakanan betul dan senaman boleh memainkan peranan penting dalam memastikan kanak-kanak dapat membesar dengan lebih tinggi dan sihat, terutamanya semasa fasa perkembangan awal mereka.

Kementerian Kesihatan melancarkan pelbagai kempen kesedaran untuk mencegah masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia.

Kempen-kempen tersebut menyeru akan kepentingan pemakanan yang betul dan kesan bantut ke atas kanak-kanak. Sama ada dari segi kesihatan, pendidikan, dan produktiviti, fenomena bantut boleh menjejaskan pembangunan sosial dan ekonomi di Malaysia.

Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, kadar bantut dalam kalangan rakyat Malaysia meningkat dengan satu daripada lima kanak-kanak bawah usia lima tahun. Tahap kebantutan di Thailand dan Ghana adalah masing-masing 10.5 peratus dan 18.8 peratus, dan ini merupakan perbezaan ketara berbanding kadar bantut di Malaysia iaitu 21.9 peratus.

PENDAPATAN RENDAH

Masalah bantut lebih teruk dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah. Namun, masih banyak kes berlaku di semua tahap pendapatan di seluruh Malaysia. Tahap kebantutan bagi keluarga berpendapatan lebih daripada RM6,000 adalah 15.1 peratus dan ini boleh dianggap lebih tinggi berbanding tanda aras 6.9 peratus untuk negara berpendapatan menengah atas.

Oleh itu, Malaysia kini sedang menghadapi masalah bantut dan ibu bapa perlu mengambil langkah tertentu membantu anak mereka membesar dengan lebih tinggi dan sihat.

Selain genetik, pemakanan juga memainkan peranan penting dalam membantu pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak. Ini kerana pemakanan seimbang dan mencukupi, mempengaruhi ketinggian.

Sebagai ibu bapa, adalah penting untuk anda mengawasi pengambilan nutrien diperlukan bagi memastikan anak-anak anda dapat membesar dengan optimum.

 

Hidup aktif mencegah risiko kesihatan dikaitkan dengan gaya hidup.

NUTRIEN

Antara nutrien utama adalah 9 Essential Amino Acids (9 EAA) atau 9 Asid Amino Perlu. Ia terdiri daripada taurina, L-isoleusina, L-leusina, L-lisina, L-metionina, L- fenilalanina, L-treonina, L-triptofan dan L-valina.

Kesemua ini adalah blok asas dalam protein untuk pertumbuhan tulang dan otot. Selain itu asid-asid amino penting ini tidak boleh dihasilkan secara semula jadi oleh tubuh. Oleh itu, kita perlu mendapatkannya daripada sumber makanan.

Selain daripada 9 EAA, Asid Dokosaheksaenoik (DHA), sejenis asid lemak omega-3 yang boleh didapati secara semula jadi dalam ikan berminyak dan beberapa jenis rumpai laut, juga penting untuk perkembangan otak dan mata kanak-kanak.

Anda juga perlu memastikan anak-anak anda mendapat makromineral diperlukan seperti kalsium, magnesium dan fosforus, serta mikromineral seperti zat besi, zink, iodin, selenium dan kuprum.

Selain daripada mineral ini, anak-anak anda juga perlu mengambil Vitamin yang mencukupi seperti vitamin larut lemak (Vitamin A, D3, E, dan K) dan vitamin larut air (Vitamin B1, B2, B3, B5, B6, B12, C dan asid folik), untuk memastikan fungsi tubuh dan perkembangan yang baik, terutamanya semasa fasa awal zaman kanak-kanak.

SEORANG DARIPADA DUA KANAK-KANAK TIDAK CAPAI RNI

Berdasarkan penemuan dalam Kaji Selidik Pemakanan Asia Tenggara (SEANUTS), kajian tersebut mendedahkan bahawa satu daripada dua kanak-kanak di Malaysia tidak mencapai Pengambilan Nutrien Disarankan (RNI) untuk Kalsium dan Vitamin D.

Satu cara mudah memastikan pengambilan nutrien mencukupi adalah melalui pengambilan susu, kerana kajian tersebut mendapati bahawa peratusan kanak-kanak yang terbantut dan kurang berat badan yang mengambil susu setiap hari lebih rendah berbanding kanak-kanak tidak minum susu setiap hari.

Walaupun terdapat pelbagai jenis susu di pasaran, sebaik-baiknya pilihlah susu yang kaya dengan nutrien bagi memastikan anak-anak anda mendapat kesemua nutrien yang diperlukannya untuk pertumbuhan optimum.

Membesar dengan lebih tinggi dan sihat bukan sekadar melibatkan apa yang dimakan oleh seseorang kanak-kanak itu. Gaya hidup yang aktif juga penting. Gaya hidup sedentari dalam kalangan kanak-kanak adalah isu membimbangkan di Malaysia, terutamanya dengan peningkatan penggunaan peranti mudah alih.

Menurut kad laporan Kanak-Kanak Sihat Aktif 2016, pada skala A untuk cemerlang dan F untuk gagal, Malaysia mencatatkan gred D untuk aktiviti fizikal, transpotasi aktif dan amalan sedentari secara keseluruhan.

Memastikan anak-anak anda sentiasa aktif bukan sahaja memupuk tabiat yang baik tetapi juga akan membantu mencegah risiko kesihatan yang dikaitkan dengan gaya hidup sedentari.

Lantaran itu, cara terbaik memastikan anak-anak anda membesar pada kadar betul adalah dengan mengukur ketinggian mereka secara konsisten.

Menjejak perkembangan pertumbuhan mereka, membantu ibu bapa mengenal pasti masalah tertentu sebelum ia menjadi kekal. Cuba jadikan ini aktiviti menyeronokkan untuk keluarga. Ini akan menggalakkan mereka untuk menetapkan sasaran yang lebih tinggi bagi kesejahteraan diri mereka sendiri.

Sebagai ibu bapa, kita perlu membantu anak-anak kita mencapai cita-cita mereka untuk membesar dengan lebih tinggi dan sihat melalui pemakanan betul, gaya hidup aktif serta mengukur pertumbuhan mereka.

  • Penulis adalah Pakar Perunding Kanak-kanak dan Kardiologi Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL).
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×