Thalita terkenang arwah Siti Sarah setiap kali raih kejayaan - Utusan Malaysia

Thalita terkenang arwah Siti Sarah setiap kali raih kejayaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi baharu, Thalita mengakui bahawa terkenang akan arwah ibunya, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, terutamanya apabila tercalon dalam Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian (ABPBH38) bagi kategori Artis Baharu Wanita Popular, baru-baru ini.

Thalita atau Dzakira Talita Zahra Shahmira, 13, berkata, perasaan rindu terhadap arwah ibunya sentiasa akan hadir, terutama ketika dia menerima pengiktirafan atau mencapai sesuatu yang bermakna dalam hidup.

“Setiap kali saya mencapai sesuatu kejayaan, ibu orang pertama yang saya akan ingat dan perasaan rindu itu sudah tentu akan sentiasa ada.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya berharap setiap pencapaian yang saya raih dapat menjadi salah satu sebab arwah ibu bangga dengan saya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mengulas mengenai pencalonannya, Thalita mengakui terharu apabila tercalon dalam kategori Artis Baharu Wanita Popular, lebih-lebih lagi apabila masih berada pada usia muda.

“Saya tidak sangka dapat sampai ke tahap ini pada usia yang masih muda dan berasa sangat bersyukur kerana pencalonan ini merupakan satu pencapaian bermakna bagi saya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Thalita turut berkongsi bakal melancarkan solo baharu tidak lama lagi dan berharap lagu berkenaan mampu mendapat sambutan dan menjadi antara karya popularnya.

“Saya akan mengeluarkan ‘single’ baharu tidak lama lagi dan berharap lagu yang bakal dilancarkan ini dapat menjadi salah satu lagu hit saya,” katanya.

Dalam pada itu, anak kepada pelawak Shuib Sepahtu itu berkata, dia sentiasa berusaha membahagikan masa antara tuntutan persembahan dan pelajaran bagi memastikan kedua-duanya dapat berjalan dengan baik.

“Bagi saya, penting untuk membahagikan masa dan walaupun sibuk dengan persembahan, saya akan berusaha mengutamakan pelajaran.

“Saya juga akan memastikan kedua-duanya dapat berjalan dengan baik,” katanya.

Selain Thalita, Amarra, Amylia Aidura, Anggrek, Azeva, Marsya Qistina, Nasuha Sulaiman, Odda, Qistina Khaled dan Sharmaine Alexander turut tercalon dalam kategori yang sama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini