KUALA LUMPUR: Pengasas Xing Yu Group dan VYBE, Dr. Kervis Soo, bakal kembali ke kampung halamannya di sini pada 13 November ini bagi meraikan perjalanan kerjaya serta menghargai individu yang banyak menyumbang kepada kejayaannya dalam bidang industri kreatif.
Majlis penghargaan yang akan berlangsung di Kluang De Jiao Hui Zi Luan Ge itu turut menyaksikan pelancaran VYBE Ai SHOW Talent Competition serta sesi pertemuan media yang menghimpunkan penggiat seni, pembikin filem dan pencipta kandungan.
Soo, 34, yang juga Pengerusi International Chinese Foundation berkata, kepulangannya ke Kluang membawa makna tersendiri memandangkan bandar itu merupakan tempatnya membesar.
Dia mahu menggunakan karya perfileman sebagai medium untuk memperkenalkan Kluang kepada khalayak lebih luas, termasuk penonton antarabangsa.
Majlis berkenaan turut diadakan bersempena peringkat akhir penggambaran filem The Day We Start Again, selain mengetengahkan perkembangan enam filem yang membabitkan dirinya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Turut diberi perhatian ialah kerjasama perfileman antarabangsa, penerbitan muzik asli dan buku, pembangunan platform pencipta kandungan serta pelbagai inisiatif kebajikan.
Mempunyai pengalaman kira-kira 20 tahun dalam bidang keusahawanan internet dan pengurusan komuniti, perjalanan Soo bermula menerusi pembangunan Blue Sky Forum pada 2006 sebelum beliau mengembangkan sayap ke bidang perfileman, kecerdasan buatan (AI) dan industri pencipta kandungan.
Dalam tempoh tujuh tahun kebelakangan ini, perniagaan serta jenama di bawah kumpulannya turut berkembang, sekali gus membuka peluang untuk beliau meneroka lebih banyak cabang industri kreatif.
Bagaimanapun, majlis penghargaan itu bukan sekadar meraikan pencapaian profesional, malah menjadi ruang untuk beliau menzahirkan penghargaan kepada ahli keluarga, guru, rakan sekolah dan rakan industri perfileman yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang perjalanan kerjayanya.
Menariknya, hubungan Soo dengan program bakat Ai SHOW bermula pada 2009 ketika dirinya berusia 17 tahun dan mengetuai sebuah kumpulan muzik untuk menyertai pertandingan berkenaan di sekolah lamanya, Sekolah Menengah Chong Hwa Kluang.
Selepas 17 tahun, dia kembali dengan pengalaman dan pencapaian dalam bidang filem, muzik, penerbitan buku serta pembangunan platform pencipta kandungan menerusi VYBE.
Menerusi pelancaran VYBE Ai SHOW Talent Competition, Soo berharap nama dan semangat asal program berkenaan dapat diteruskan, sekali gus membuka ruang kepada generasi baharu untuk mengetengahkan bakat serta kreativiti mereka.
Inisiatif itu juga diharap dapat menghubungkan bakat baharu dengan peluang dalam industri kreatif yang semakin berkembang, khususnya menerusi penggunaan teknologi dan platform digital.











