KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Nidji, Ubay berharap perselisihan yang berlaku antara segelintir masyarakat Malaysia dan Indonesia tidak menjejaskan hubungan persaudaraan yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.
Menurut Ubay, muzik seharusnya menjadi medium penyatuan masyarakat tanpa mengira perbezaan pendapat, latar belakang mahupun kewarganegaraan.
“Jangan sampai apa sahaja perbezaan yang wujud memecahbelahkan atau memisahkan kita. Bagi Nidji, kami berharap muzik dapat menyatukan semua orang, sama ada dari Indonesia, Malaysia atau mana-mana negara sekalipun.
“Melalui muzik, kita boleh menikmati sesuatu secara bersama. Janganlah kita membiarkan perbezaan menjadi punca perpecahan kerana sebagai pemuzik, cara terbaik untuk kami menyatukan masyarakat adalah menerusi muzik itu sendiri,” katanya ketika ditemui pada sesi sidang media NU Fest, hari ini.
Mengulas lanjut, Ubay menyeru agar masyarakat kedua-dua negara seharusnya memberikan tumpuan kepada perkara positif berbanding terus memperbesarkan perselisihan yang berlaku.
“Apabila berlaku perselisihan atau perbezaan pendapat, kita tidak sepatutnya terlalu memberikan tumpuan kepada perkara negatif tersebut. Malaysia dan Indonesia merupakan negara jiran yang mempunyai hubungan persahabatan dan persaudaraan yang sangat rapat.
“Jadi, janganlah kita hanya menumpukan perhatian kepada perkara yang boleh memisahkan kita. Sebaliknya, cuba lihat perkara baik yang boleh kita lakukan bersama,” jelasnya.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Hapus Aku itu turut berharap ketegangan yang berlaku tidak menjejaskan hubungan antara peminat muzik Malaysia dan Indonesia, khususnya menjelang persembahan mereka di NU Fest.
“Sebagai pemuzik, kami sentiasa berusaha mencari jalan untuk menyatukan masyarakat walaupun terdapat pelbagai perbezaan.
“Mungkin sekarang wujud perselisihan atau perbezaan pendapat antara sesetengah pihak, tetapi kami mahu menjadi sebahagian daripada kekuatan yang mampu menenangkan keadaan.
“Kami mahu muzik menjadi penghubung yang dapat menyatukan masyarakat Malaysia dan Indonesia. Perkara paling penting adalah bagaimana kita dapat terus mengekalkan hubungan persaudaraan dan kebersamaan antara kedua-dua negara,” kongsinya.
Sementara itu, Ubay turut menitipkan pesanan kepada peminat Malaysia agar mengetepikan sebarang sentimen negatif dan bersama-sama menikmati persembahan Nidji pada NU Fest.
“Harapan saya kepada semua peminat, buanglah jauh-jauh segala perselisihan dan perkara negatif yang berlaku. Kami datang dengan membawa cinta, semangat kebersamaan dan cerita baharu yang boleh kita nikmati bersama.
“Kami mahu mencipta kenangan indah bersama peminat Malaysia, sesuatu yang boleh dikenang untuk tempoh yang panjang,” ujarnya.
Terdahulu, perdebatan antara Malaysia dan Indonesia tercetus selepas rakyat negara seberang didakwa memandang rendah pasukan bola sepak Malaysia selepas skuad Indonesia menjuarai Piala ASEAN FIFA 2026 dengan menewaskan Thailand.
Selain Nidji, Masdo, Lokarya, The Changcuters, Dukes, The Beretta’s, Saja, Monosterio dan Band D_Va juga bakal memeriahkan festival yang bakal berlangsung tahun di Stadium Merdeka, 30 Januari tahun depan.











