Panas juga Cik Bunga tengok perbualan netizen mengenai versi baharu lagu Cinta Di Akhir Garisan yang dibawakan oleh Aisha Retno, Marsha Milan, Nadeera dan Adira Suhaimi. Ada meluahkan rasa kecewa, malah terus-terang mengatakan versi baharu itu tidak berjaya memberikan ‘keadilan’ kepada lagu berkenaan. Siap ada yang mempertikaikan pemilihan penyanyi tertentu yang tidak memberikan nilai tambah kepada lagu tersebut.
Namun begitu, dalam hangat-hangat netizen memberikan pandangan, Cik Bunga cuma hendak tegur satu perkara. Tidak salah ada pendapat, tapi tidak perlulah sampai keras menghukum, bukan?
Pada telinga Cik Bunga, versi baharu ini sedap sahaja didengar dan mempunyai identiti tersendiri. Setiap penyanyi membawa warna vokal masing-masing, terutama Aisha yang memberikan nafas lebih segar kepada lagu itu, manakala Marsha pula berjaya menghidupkan bahagian awal lagu.
Memanglah ada yang merindui elemen tertentu daripada versi asal, termasuk bahagian ‘whistle’ yang menjadi antara perkara paling diperkatakan. Ramai menganggap ketiadaan bahagian itu sebagai satu kehilangan besar. Tapi, Cik Bunga tertanya-tanya juga, kalau semuanya dibuat sama seperti versi terdahulu, apa gunanya hasilkan versi baharu?
Bagi Cik Bunga, sebuah nyanyian semula sepatutnya diberikan ruang untuk mempunyai identiti sendiri. Tak semestinya meniru bulat-bulat apa yang sudah ada. Cuma itulah, cita rasa muzik ini memang subjektif.
Ada yang suka versi asal, ada pula yang lebih terbuka dengan pembaharuan. Bukan mudah empat penyanyi dengan karakter vokal berbeza mahu bergabung dan cuba memberikan interpretasi tersendiri terhadap sebuah lagu yang sudah mempunyai tempat di hati pendengar.
Jadi, kepada yang kurang berkenan, tak mengapa, pendapat masing-masing. Tetapi janganlah sampai menjatuhkan usaha orang lain hanya kerana ia tidak menepati apa yang kita mahu dengar.










