Anggrek ceriakan Fenomena PKSK Merdeka 2026 - Utusan Malaysia

Anggrek ceriakan Fenomena PKSK Merdeka 2026

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penampilan istimewa penyanyi cilik, Anggrek Adenan memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan yang dianjurkan bersempena bengkel persediaan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) oleh Fly High Education Centre (Fly High) di Universiti Malaya, di sini, semalam.

Program yang dikenali sebagai Fenomena PKSK Merdeka 2026 itu menghimpunkan lebih 400 murid dari pelbagai negeri dalam usaha memperkukuh persediaan mereka sebelum menghadapi PKSK.

Anggrek, sembilan tahun, yang juga anak kepada penyanyi Adira Suhaimi serta juara program Talk To My Manager (TTMM) musim kedua, turut menerima Sijil Penghargaan Keistimewaan Pendidikan GenFLY.

Menerusi pengiktirafan itu, Anggrek menerima tajaan pendidikan tambahan daripada Fly High selama tiga tahun.

Antara segmen yang mencuri perhatian sepanjang program ialah aktiviti menulis surat kepada ibu yang dikendalikan penceramah motivasi, Nazira Nazir.

Seluruh dewan diberikan ruang untuk menulis dan meluahkan penghargaan kepada ibu masing-masing dalam suasana penuh penghayatan.

Dalam detik menyentuh hati itu, Anggrek turut dilihat tekun menulis surat buat ibunya sebelum bangun menyerahkan sendiri surat berkenaan kepada Adira yang turut berada di dalam dewan.

Suasana kemudian bertukar hiba apabila Adira membaca surat daripada anaknya itu, manakala para pelajar lain turut menghayati luahan masing-masing kepada insan yang banyak berkorban dalam kehidupan mereka.

Pengasas Fly High Education Centre, Wan Rafidah Wan Ali berkata, program tahunan berkenaan memberi tumpuan kepada persediaan pelajar untuk memasuki Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) serta sekolah khusus lain.

Katanya, peserta turut digalakkan mengenakan pakaian bertemakan kemerdekaan atau pakaian seragam kokurikulum bagi menyemarakkan semangat patriotisme sempena sambutan Hari Kebangsaan.

“Melalui program ini, kira-kira 70 hingga 80 peratus pelajar yang mengikuti kelas secara konsisten berjaya mencapai sasaran mereka, sekali gus menunjukkan pentingnya persediaan yang berterusan.

“Pada masa sama, kami mahu pelajar bukan sahaja bersedia dari segi akademik, malah menghargai pengorbanan ibu bapa yang sentiasa menjadi sumber sokongan mereka,” katanya.

Menurut Wan Rafidah, pihaknya berharap semua peserta dapat merealisasikan impian melanjutkan pelajaran ke sekolah pilihan masing-masing, termasuk SBP, SBPI, MRSM Ulul Albab, MRSM Bitara dan SMKA terpilih.

Sementara itu, semangat dua sepupu dari Kelantan untuk menyertai bengkel berkenaan turut mendapat perhatian apabila mereka sanggup merentas negeri demi memperkukuh persediaan menghadapi PKSK.

Muhammad Rifqi Sufi Rashid, 12, dan sepupunya, Muhammad Al Fatih Mohamed Rosli, hadir ke ibu negara selepas melakukan persediaan sejak April lalu menerusi pembelajaran dan kelas tuisyen di rumah.

Bagi Muhammad Rifqi Sufi, perjalanan jauh dari Kelantan tidak mematahkan semangatnya kerana mahu menambah persediaan bagi merealisasikan impian melanjutkan pelajaran ke sekolah pilihannya.

Muhammad Al Fatih pula mahu memanfaatkan peluang yang ada untuk memperkukuh persediaan akademik selain menyimpan cita-cita untuk menjadi pegawai bomba suatu hari nanti.

“Sanggup datang jauh sebab kami memang bersemangat untuk belajar dan membuat persediaan dengan lebih baik. Kami harap usaha ini dapat membantu kami mencapai cita-cita,” kata mereka.

Fenomena PKSK Merdeka 2026 turut disusuli sesi motivasi dan pembelajaran bersama tenaga pengajar Fly High bagi meningkatkan keyakinan serta kesediaan pelajar sebelum menghadapi PKSK yang dijadualkan bermula pada 7 Oktober 2026.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×