Saya mahu membahagiakan mereka - Hussain - Utusan Malaysia

Saya mahu membahagiakan mereka – Hussain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELBAGAI kisah yang ingin diceritakan mengenai pendatang baharu, Hussain Jamilul Hayat. Namun cerita mengenai impian penyanyi ini untuk membahagiakan ayah dan ibunya, Jamilul Hayat dan Siti Asma menarik diketengahkan.

Ada sebab mengapa penyanyi baharu ini mahu sedaya upaya membalas jasa kedua orang tuanya. Penyanyi berusia 23 tahun ini menyaksikan susah senang yang dipikul ibu bapa membesarkan enam orang anak tanpa kekurangan.

Ditambah pula pengalaman menyaksikan semangat bapanya pulih daripada kemalangan jalan raya beberapa tahun lalu, terlantar di katil hospital akibat koma, di samping ibunya terpaksa menjual nasi lemak demi mencari pendapatan untuk menanggung keluarga.

Hussain melihat jerih perih yang dilalui orang tuanya. Kerana itu, dia ingin membalas segala pengorbanan dengan berharap pembabitan dalam pertandingan Big Stage x Rocketfuel membawa pulangan.

“Saya tidak kisah pasal kedudukan, asalkan dapat lolos ke pentas akhir, itu sudah memadai. Namun jika ditakdirkan saya menang pertandingan ini, orang pertama yang saya mahu bahagiakan adalah ibu dan ayah saya.

“Itulah tujuan saya masuk pertandingan ini, untuk membahagiakan mereka. Lepas itu saya mahu mengubah nasib keluarga. Saya hidup dalam keluarga sederhana. Namun cukup untuk hidup.Melihat bagaimana ibu dan ayah sengsara sudah cukup menyedarkan yang saya perlu membalas setiap titik peluh mereka.

“Saya ke sini (Kuala Lumpur) atas dorongan mak ayah saya. Dalam apa cara sekalipun, saya harus mendahulukan mereka,” katanya.

Ketika menyertai Talk To My Manager (TTMM2) musim kedua, Hussain mencuri perhatian. Selain berhempas pulas menunjukkan bakat, perhatian dicurahkan kepada bapanya sedikit sebanyak mengusik perasaan mata yang memandang.

Hussain mengakui cara layanan terhadap bapanya itulah yang membuatkan dia disenangi ramai. Namun apa yang diperlihatkan di atas pentas bukan sandiwara yang diada-adakan. Itulah kasih seorang anak terhadap bapa yang banyak berkorban.

“Saya rasa cara saya menyantuni ayah saya, itu yang membuatkan ramai orang senang dengan saya. Lebih-lebih lagi mereka yang sudah tiada ayah. Mereka seronok melihat layanan saya kepada bapa saya.Itu mungkin asbab yang menjadikan saya popular sekelip mata. Penonton seronok melihat hubungan kami anak beranak. Ini pun satu rezeki,” ujarnya.

Jamilul Hayat pernah berpesan kepada Hussain, jangan menghampakan peminat yang siang malam menyokong perjalanan muziknya. Nasihat itu dipegang erat menjadi bekalan apabila bergelar orang ternama.

“Ayah saya ini mengutamakan peminat, perkara itu saya ambil. Benar juga, yang menaikkan kita, selain keluarga, adalah peminat,” katanya.

Pentas sama, cabaran berbeza

Penyertaan Hussain, yang diserap masuk ke dalam rancangan nyanyian Big Stage x Rocketfuel mengundang pelbagai pandangan. Dalam ramai yang gembira, ada juga yang tidak, lantas mereka coretkan luahan di media sosial.

Menyedari perkara itu, Hussain membulatkan hati, fokus pada hala tuju pertandingan tanpa mengambil hati setiap tohmahan yang dilemparkan.

“Adat pertandingan. Bukanlah saya ini sudah berada pada tahap selesa, melompat dari TTMM2 masuk ke Big Stage. Walaupun bertanding atas pentas yang sama, yang berubah adalah suasana. Cabaran yang perlu dihadap itu tetap ada,” katanya.

Hussain mengakui kesungguhan peserta lain yang masing-masing memperlihatkan bakat dan kegigihan untuk memenangi pertandingan. Hal itu membuatkan dia merendah diri dan merasakan dirinya terlalu kerdil untuk bersaing.

“Saya melihat peserta-peserta Big Stage mempunyai kehebatan masing-masing. Mereka ini adalah penyanyi yang pernah saya minati dulu, yang pernah saya nyanyian lagu-lagu mereka sewaktu pandemik dulu.

“Jadi, apabila diserap masuk ke Big Stage x Rocketfuel, saya merasakan diri saya tidak layak kerana bersaing dengan penyanyi yang sudah bermula lebih awal daripada saya.

“Bagi saya mereka penyanyi yang berkelayakan. Saya rasa diri ini masih punya banyak kekurangan,” ujarnya.

PEMINAT RAMAI SATU REZEKI

Sebelum menyertai TTMM2, kemudian Big Stage x Rocketfuel, Hussain hanyalah penyanyi yang menyanyi secara kontrak diiringi pasukan kombo Majlis Bandaraya Ipoh dan menerima gaji setiap bulan. Namun selepas satu tahun bekerja, kontraknya ditamatkan.

Tawaran masuk pertandingan Talk To My Manager bersama ayahnya datang tepat waktunya. Dan dari saat itu, dia mencuri perhatian ramai.

Hussain tidak pernah menyangka, seorang pemuda yang berasal dari Ipoh, Perak yang membantu ibunya menjual nasi lemak untuk mencari sesuap nasi, akhirnya mengumpul peminat yang ramai.

“Memang tidak sangka. Saya ingat lagi, dulu pengikut media sosial saya cuma ada tiga orang. Namun sekarang jumlahnya meningkat kepada lebih 80,000 di TikTok, manakala lebih 20,000 di Instagram.Itu rezeki saya. Untuk mengekalkan perkara itu bukan mudah, memerlukan konsistensi yang tinggi,” ujarnya.

Menurut Hussain, dalam perjalanan bergelar anak seni, pasti ada yang sentiasa mencari kesalahan dan cuba untuk menjatuhkan. Dirinya tidak terkecuali.

“Sebenarnya dalam ribuan yang suka, ada juga membenci. Saya tidak boleh mengawal hati dan perasaan mereka.

“Bapa saya pernah berkata, dalam ramai yang menyukai kita, pasti ada juga yang ingin menjatuhkan kita lalu bertindak menghasut orang lain untuk membenci kita.Apa yang boleh saya lakukan adalah abaikan perkara itu,” ujarnya.

PENDIAM BUKAN DIBUAT-BUAT

Ditanya mengenai sikapnya yang pendiam, Hussain memaklumkan perangai yang ditunjukkan bukan perkara dibuat-buat, sememangnya dia dilahirkan tanpa banyak berbicara.

“Itulah diri saya sebenarnya. Jika di rumah, saya tidak pernah meninggikan suara terhadap ibu bapa. Adakalanya saya terpaksa mengulang apa yang saya sebutkan kerana tidak sampai kepada pendengaran mereka.

“Saya ini pendiam orangnya, lebih-lebih lagi bersama orang yang saya kurang biasa. Tetapi jika saya biasa dengan individu itu, lain pula ceritanya.

“Sejak dulu memang saya kurang bercakap. Saya sebenarnya cemburu dengan peserta Talk To My Manager dan Big Stage yang lain kerana mereka pandai berkomunikasi.

“Sejak itu saya mula belajar cara berkomunikasi dengan betul daripada rakan-rakan lain. Kalau diasah, lambat laun akan tajam juga,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×