Zizi Kirana telan ujian, percaya ia tanda cinta Allah - Utusan Malaysia

Zizi Kirana telan ujian, percaya ia tanda cinta Allah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menelan segala kepahitan yang hadir dalam hidup bukan sesuatu yang mudah, namun penyanyi, Zizi Kirana, memilih untuk menerima setiap ujian yang dikurniakan Allah SWT kepadanya dengan hati terbuka.

Bagi pemilik nama sebenar Nur Fazelah Mad Tahil itu, setiap ujian yang datang tidak seharusnya hanya dilihat sebagai kesedihan atau musibah, sebaliknya boleh menjadi tanda kasih sayang dan cinta Allah SWT terhadap hamba-Nya.

Malah, penyanyi berusia 41 tahun itu mengakui sudah tidak mahu lagi berbicara mengenai ujian rumah tangga bersama bekas suami, Yusuf Bahrin, yang pernah dilaluinya kerana perkara tersebut telah berlalu dan diterima dengan hati yang reda.

“Saya rasa saya memang sudah tidak mahu bercakap tentang ujian rumah tangga kerana perkara itu sudah berlalu dan saya juga sudah merelakannya.

“Insya-Allah, akan ada perkara yang lebih baik yang Allah sediakan. Seperti yang saya katakan, setiap kali datang ujian, hanya itu yang selalu saya ingat. Ujian itu adalah tanda Allah mencintai saya,” katanya.

Dalam pada itu, Zizi mengakui bukan seorang individu yang gemar berkongsi masalah peribadi dengan masyarakat, malah memilih menyimpan perkara tersebut dan hanya bercerita kepada individu tertentu yang dipercayainya.

Menurut Zizi, sepanjang melalui fasa sukar dalam kehidupannya, dia tidak pernah menceritakan secara terbuka mengenai masalah yang berlaku kerana menganggap perkara tersebut tidak sepatutnya menjadi pengetahuan orang luar.

“Sepanjang tempoh itu, saya memang tidak bercerita tentang masalah yang berlaku. Saya rasa perkara itu tidak sepatutnya diketahui oleh orang luar.

“Saya banyak berkongsi perkara ini dengan guru-guru yang sangat rapat dengan saya, iaitu Ustaz Wadi dan Ustazah Asni. Mereka adalah dua insan yang banyak membantu dan memberikan nasihat tentang apa yang perlu dilakukan dan apa yang tidak perlu dilakukan.

“Pada fasa itu, saya memang memerlukan nasihat seperti itu. Ustaz Wadi selalu berpesan kepada saya, ingat bahawa yang memberikan ujian itu adalah Dia yang mencintaimu.

“Jika ujian tersebut mendekatkan diri kita kepada Allah, itu adalah kasih sayang daripada-Nya. Tetapi jika ujian itu menjauhkan kita daripada Allah, itu adalah musibah. Apabila saya selalu mengingati perkara itu, saya kembali bermuhasabah dan melihat diri sendiri,” ujarnya.

Tambah Zizi, sikapnya yang jarang berkongsi mengenai kehidupan peribadi bukan sesuatu yang baharu, sebaliknya sudah menjadi prinsipnya sejak dahulu.

“Saya memang seorang yang tidak banyak bercakap tentang hal peribadi. Kawan-kawan pun tahu, sejak dahulu saya memang jarang berkongsi perkara seperti itu.

“Jadi, apabila berlaku sesuatu dalam hidup saya, hanya orang yang benar-benar terdekat sahaja yang mengetahuinya. Saya memang tidak mahu orang lain mengetahui perkara-perkara seperti itu,” katanya.

Dalam menghadapi ujian tersebut, Zizi bersyukur kerana dikelilingi individu yang sentiasa memberikan nasihat dan ketenangan selain membawanya menghadiri majlis ilmu serta melibatkan diri dalam aktiviti kemanusiaan.

Menurut penyanyi lagu Eh itu, peluang menyertai misi kemanusiaan ke Syria selain berlayar selama beberapa hari di laut dan mengunjungi Aceh sebelum ini telah membuka matanya untuk melihat kehidupan daripada perspektif yang lebih luas.

“Saya sangat bersyukur kerana ketika menghadapi ujian itu, Allah mengizinkan saya untuk pergi menjalankan misi ke Syria. Saya berlayar selama berhari-hari di laut, kemudian saya pergi ke Aceh.Apabila saya pergi ke tempat-tempat tersebut, saya melihat bahawa ujian yang saya hadapi sebenarnya tidak seberapa jika dibandingkan dengan mereka yang menghadapi ujian jauh lebih berat.

“Perkara itulah yang membuatkan saya belajar untuk tenang, ikhlas dan reda dengan apa yang Allah telah berikan kepada saya.Sepanjang menyertai misi, saya langsung tidak teringat tentang masalah peribadi itu.

“Saya gembira menyertai misi dan bersyukur dapat bertemu dengan orang-orang yang baik. Perkara itu membuatkan saya tidak perlu mengawal atau menyembunyikan apa-apa,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN