Zizi Kirana enggan layan spekulasi punca perceraian - Utusan Malaysia

Zizi Kirana enggan layan spekulasi punca perceraian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Zizi Kirana enggan melayan spekulasi segelintir pihak yang mendakwa keruntuhan rumah tangganya berpunca daripada penglibatan aktif dalam misi kemanusiaan.

Zizi atau nama sebenarnya, Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil berkata, dia tidak mampu menghalang orang ramai daripada membuat andaian, namun percaya setiap ujian yang ditentukan Allah mempunyai hikmah tersendiri.

Menurutnya, pengalaman menyertai misi kemanusiaan turut mengajarnya untuk menerima dan mencintai setiap ujian yang diberikan Allah.

“Saya tak boleh tutup mulut orang dan halang cara mereka berfikir atau menerima keadaan ini.Saya percaya yang memberikan ujian itu Allah. Setiap kali Allah beri ujian, itu tanda Allah sayang dan cintakan kita,” katanya.

Zizi berkata, dia menerima banyak mesej daripada orang ramai selepas mengumumkan mengenai perceraiannya, termasuk pertanyaan berhubung punca rumah tangganya berakhir.

Bagaimanapun, pelantun lagu Eh itu menegaskan perkara tersebut merupakan urusan peribadi yang tidak perlu diketahui umum.

“Ketika saya berada di mahkamah dan selepas mengumumkan berita itu, saya menerima banyak mesej daripada mereka yang terkejut dan bertanya kenapa.Bagi saya, orang luar tidak perlu tahu sebabnya. Cukuplah kalian tahu hubungan kami sampai di situ sahaja dan rezeki kami bersama juga sampai di situ.

“Tak perlulah ambil tahu kenapa atau apa puncanya. Biarlah kami sahaja yang menyimpannya,” katanya.

Zizi yang baru-baru ini melancarkan single kolaborasi bersama Malique dan Yasin Sulaiman berjudul Yang Tinggal turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kehidupan peribadinya.

“Untuk mereka di luar sana, saya rasa lebih baik jaga kesihatan mental sendiri. Tak perlu ambil tahu dan jangan buat spekulasi,” katanya.

Dalam pada itu, Zizi mengakui terharu dengan sokongan serta doa yang diterima daripada peminat dan orang ramai sepanjang berdepan ujian tersebut.

Menurutnya, perhatian dan kata-kata positif yang diterima menyedarkannya bahawa masih ramai individu yang mengambil berat serta menyayanginya.

“Saya sangat berterima kasih kerana ramai yang mendoakan saya ketika itu. Saya sendiri terkejut melihat begitu banyak doa dan komen yang baik diberikan kepada saya.

“Ramai yang positif. Saya juga mahu meminta maaf kepada rakan-rakan kerana ketika itu terlalu banyak mesej yang saya terima, tetapi saya tidak tahu bagaimana mahu menjawabnya.Saya memang belum bersedia untuk memberikan sebarang komen ketika itu,” katanya.

Tambah Zizi, ketika melalui proses perceraian, dia juga sedang membuat persiapan untuk menyertai misi kemanusiaan di Mesir.

Katanya, kesibukan menjalankan tanggungjawab tersebut membuatkan dirinya tidak terlalu memikirkan mengenai perceraian yang berlaku.

“Ketika itu saya sedang membuat persiapan untuk pergi ke misi kemanusiaan. Sepanjang menjalani misi tersebut, saya memang tidak terfikir mengenai perkara itu.Selepas urusan perceraian selesai, saya terus pulang ke rumah dan mengemas barang kerana perlu berangkat ke Mesir untuk misi kemanusiaan,” katanya.

Pada masa sama, Zizi melahirkan rasa syukur apabila proses perceraiannya berjalan lancar tanpa sebarang kerumitan.

“Allah Maha Baik dan mempermudahkan segala urusan. Memang tiada kerumitan dan pihak sana juga memberikan kerjasama yang sangat baik.Saya juga bersyukur kerana dapat melalui semuanya dengan tenang,” katanya.

Terdahulu, Zizi dan bekas suaminya, pelakon Yusuf Bahrin mendirikan rumah tangga pada 19 September 2021 sebelum sah bercerai pada 2 April lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN