Usah ada beza, filem Malaysia milik semua bangsa - Min Lim  - Utusan Malaysia

Usah ada beza, filem Malaysia milik semua bangsa – Min Lim 

PENERBIT DAN PENGARAH FILEM MOJOKU HILANG, MIN LIM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lebih dua dekad mengabdikan diri dalam industri perfileman menjadikan penerbit dan pengarah, Min Lim cukup memahami bahawa sesebuah karya tidak seharusnya dinilai berdasarkan bangsa atau jantina pembikinnya.

Bagi penerbit dan pengarah filem Mojoku Hilang ini, filem merupakan medium kolaboratif yang menghimpunkan tenaga kerja daripada pelbagai latar belakang, pengalaman dan kepakaran.

Justeru, persoalan sama ada seseorang pengarah berbangsa Cina mampu memahami budaya Melayu atau menghasilkan karya berlatarbelakangkan kehidupan masyarakat Melayu dianggap tidak sepatutnya menjadi penghalang dalam proses berkarya.

Menurut Min, sepanjang penglibatannya dalam industri seni, dia bersyukur kerana tidak pernah berdepan diskriminasi secara terbuka hanya kerana dirinya seorang wanita dan berbangsa Cina.

Malah katanya, industri seni secara umumnya lebih terbuka dalam menerima kepelbagaian.

“Sepanjang pengalaman saya, industri seni sebenarnya mempunyai ramai pengarah wanita dan masyarakat dalam bidang ini juga lebih terbuka. Mereka tidak melihat sama ada seseorang itu perempuan atau lelaki sebagai satu masalah.

“Bagaimanapun, saya pernah melihat persoalan mengenai bangsa pembikin filem dibangkitkan sebelum ini. Contohnya ketika filem Rentap dihasilkan, ada yang bertanya mengapa orang Cina menghasilkan cerita Melayu dan bagaimana seseorang daripada latar belakang berbeza mampu memahami budaya Melayu.

“Bagi saya, itu bukan persoalan utama. Perkara paling penting adalah bagaimana seseorang pembikin filem melihat dunia dan sejauh mana dia sanggup melakukan penyelidikan serta bekerjasama dengan pasukannya untuk memastikan cerita yang dihasilkan benar-benar autentik,” katanya ketika ditemu bual Utusan Malaysia.

Min berkata, pembikinan filem bukan pekerjaan individu kerana sesebuah produksi melibatkan penulis, juru sinematografi, pelakon, kru teknikal dan ramai lagi individu yang mempunyai pengetahuan serta pengalaman berbeza.

Atas sebab itu, dia sentiasa menggalakkan komunikasi terbuka dalam kalangan pasukan produksinya.

“Filem tidak pernah dihasilkan oleh seorang individu sahaja. Ada ‘sekampung’ manusia yang bekerja untuk menjayakannya dan saya sangat percaya kepada proses kolaborasi.

“Kalau ada perkara yang saya tidak faham, saya akan bertanya. Kalau saya melakukan sesuatu yang salah, beritahu saya. Sebagai contoh, kalau ada babak seorang ustaz menyampaikan khutbah di masjid, sedangkan saya sendiri tidak pernah masuk ke masjid, sudah tentu saya perlu berbincang dengan mereka yang lebih memahami perkara tersebut.

“Hari ini kita boleh mendapatkan pelbagai rujukan, tetapi rujukan sahaja tidak mencukupi. Kita perlu berbincang dan mendapatkan pandangan daripada orang yang memahami budaya, agama serta kehidupan masyarakat itu supaya apa yang dipaparkan benar-benar autentik,” katanya.

Mojoku Hilang

Komitmen terhadap keaslian itu turut diterapkan Min ketika menghasilkan Mojoku Hilang yang sebahagian besar penggambarannya berlangsung di Perlis.

Menurutnya, usaha memastikan sesebuah karya autentik bukan sekadar berkaitan sensitiviti agama atau budaya, tetapi turut merangkumi dialek, lokasi, pekerjaan dan cara hidup masyarakat setempat.

“Kami mendapatkan khidmat pelatih dialek untuk mengajar pelakon menggunakan bahasa utara kerana latar cerita ini berada di Perlis. Bagi saya, autentik bukan hanya berkaitan budaya atau agama, tetapi juga tempat dan manusia yang kita gambarkan.

“Perkara ini tiada kaitan dengan sama ada seseorang itu Cina, Melayu atau bangsa lain. Orang Melayu sendiri, kalau tidak biasa dengan kehidupan masyarakat utara, mungkin tidak mengetahui perkara tertentu tentang budaya dan dialek di sana.

“Jadi persoalannya bukan bangsa. Persoalannya adalah sejauh mana seseorang pembikin filem mahu memberikan komitmen terhadap keaslian. Kalau mahu autentik, kita perlu komited kepada semua perkara termasuk perkara kecil seperti belajar memerah susu lembu dan memahami cara menjaga haiwan itu,” katanya.

Min berkata, dia bersyukur kerana tidak pernah menerima kritikan secara bersemuka yang mempertikaikan kelayakannya menghasilkan cerita berlatarkan masyarakat Melayu.

“Kalau ada orang yang skeptikal atau bercakap di belakang saya, perkara itu di luar kawalan saya. Tetapi sepanjang menghasilkan filem ini, semua orang sangat menyokong tanpa mengira sama ada mereka Cina, Melayu atau India.

“Kalau melihat senarai kredit filem saya, anda akan nampak produksi ini melibatkan individu daripada pelbagai bangsa dan negara. Bagi saya, kita semua rakyat Malaysia dan orang Malaysia sepatutnya menghasilkan cerita tentang Malaysia.

“Tidak perlu ada pandangan bahawa seseorang hanya boleh menghasilkan cerita berdasarkan bangsanya sendiri. Apa salahnya orang Malaysia menghasilkan cerita Malaysia? Kita mempunyai tanggungjawab bersama untuk membawa kisah negara ini kepada penonton,” katanya.

Filem Mojoku Hilang ialah naskhah komedi romantik Malaysia yang akan menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 23 Julai 2026.

Filem ini mengisahkan tentang Adi (lakonan Adipati Dolken), seorang pekerja korporat di Moo Magic Farms yang dihantar menyamar sebagai orang kampung.

Misinya adalah untuk menjejaki dan mendapatkan semula Mojo iaitu seekor lembu unik yang dijadikan sensasi viral daripada satu komuniti kampung yang menentang rancangannya.Filem ini turut dibintangi oleh Mimi Lana dan Wan Hanafi Su.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN