Turun padang sokong Syed Saddiq, kalau tidak saya di lokasi Gerak Khas - Kismah Johar - Utusan Malaysia

Turun padang sokong Syed Saddiq, kalau tidak saya di lokasi Gerak Khas – Kismah Johar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelakon veteran, Kismah Johar sanggup memohon cuti lebih awal daripada penggambaran drama Gerak Khas semata-mata mahu hadir ke Istana Kehakiman bagi memberikan sokongan moral kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Kismah, 74, berkata, dia tidak mahu melepaskan peluang mengikuti prosiding rayuan akhir kes berkenaan, lebih-lebih lagi selepas mengikuti perkembangan Syed Saddiq sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, dia berasa amat bersyukur dan sebak selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Syed Saddiq daripada semua pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Bersatu.

“Ya Allah, saya sangat terharu dan gembira. Segala kesabaran dan ketabahan sepanjang menunggu selama ini akhirnya terjawab.

“Sudah lama saya mengikuti perkembangannya menerusi telefon dan laporan media.

“Saya memang yakin kebenaran akan memihak kepadanya. Dia sendiri sentiasa yakin dan berserah kepada Allah. Alhamdulillah, inilah keputusannya,” katanya.

Mengulas kehadirannya di Istana Kehakiman, Kismah berkata, dia sudah memaklumkan lebih awal kepada pihak produksi mengenai hasratnya untuk hadir memberikan sokongan kepada Syed Saddiq.

Katanya, sekiranya tidak mengambil cuti, dia sepatutnya berada di lokasi penggambaran drama Gerak Khas bersama rakan-rakan artis lain.

“Mereka ada penggambaran. Kebetulan hari ini saya cuti. Kalau tidak, saya pun berada di lokasi penggambaran Gerak Khas.

“Memang dari awal saya sudah maklumkan kepada pembantu pengarah kerana mahu datang memberikan sokongan,” katanya.

Dalam pada itu, Kismah turut mendoakan agar segala urusan Syed Saddiq bersama tunangnya, penyanyi dan pelakon Bella Astillah, dipermudahkan sehingga mereka disatukan sebagai suami isteri.

“Harap semuanya dipermudahkan. Semoga mereka terus bersatu,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Syed Saddiq daripada semua pertuduhan berkaitan dana ARMADA Bersatu selepas menolak rayuan akhir pihak pendakwaan.

Keputusan itu menyaksikan bekas Menteri Belia dan Sukan berusia 34 tahun tersebut dilepas dan dibebaskan sepenuhnya daripada sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN