Tak perlu tunjukan ibadah saya di media sosial- Sharifah Zarina - Utusan Malaysia

Tak perlu tunjukan ibadah saya di media sosial- Sharifah Zarina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“MUNGKIN anak-anak pun sudah besar. Yang paling mudasudah bersekolah di tingkatan 5. Jadi saya ada banyak masa terluang untuk ke kelas agama.”

Demikian perkongsian penyanyi, Sharifah Zarina, 44, mengenai transisi kehidupannya yang kini ke arah mendekati Allah S.W.T.

Sharifah atau nama sebenarnya Sharifah Zarina Wan Hassan kini dalam fasa tenang, tidak lagi mengejar hal duniawi dan lebih berlapang dada serta menyerahkan soal rezeki kepada Yang Maha Esa.

“Sebenarnya, dalam mengurangkan aktiviti seni, saya semakin berpeluang mendekatkan diri kepada Allah, memperbaiki amalan dengan mengikuti kelas agama.

“Tapi tidak perlu saya tunjukkan ibadah saya di media sosial. Saya menyangka tempoh saya bersama industri hiburan sudah tamat. Tak sangka rezeki masih memanggil. 

“Tiada apa lagi yang tinggal di dunia ini untuk saya kejarkan. Tak ada apa yang saya cari apatah lagi mahu membuktikan kepada orang yang saya ini mampu, tiada. Tak ada rasa mahu bersaing dengan sesiapa. Kalau ada rezeki itu, adalah,” katanya.

Penyanyi lagu Langit Ketujuh bagaimanapun meluahkan rasa hairan apabila rezeki dalam dunia lakonan semakin murah pada saat keinginannya untuk melepaskan lapangan seni.

“Itu yang saya hairan, semakin saya menjauhkan diri daripada dunia hiburan, semakin banyak pula tawaran yang datang.

“Saya bermula sebagai penyanyi dan tawaran berlakon datang kemudian. Kini, dalam fasa ingin mengurangkan aktiviti seni, semakin banyak tawaran yang saya terima. Apa pun saya tetap bersyukur atas rezeki yang diberikanNya,” kongsinya.

 

PANGGILAN TUHAN

Sharifah Zarina meluahkan rasa syukur kerana rezeki untuk mengerjakan ibadah umrah semakin dipermudahkan pada usia lebih empat dekad ini.

“Saya pertama kali mengerjakan umrah pada 2013. Tapi 10 tahun kemudian, saya langsung tak menjejakkan kaki ke tanah suci. Bukan tak ada duit untuk ke Mekah, tetapi keadaannya seperti saya ini tidak ‘dipanggil’. 

“Saya pun tak pasti apa sebabnya. Mungkin ketika itu saya masih belum berhijab, solat juga tak menentu.

“Selepas 10 tahun, saya dipanggil untuk mengerjakan umrah buat kali kedua. Bermula dari saat itu, rezeki saya untuk ke Tanah Suci semakin murah, berulang kali saya pergi Mekah untuk mengerjakan umrah,” kongsinya.

Sharifah juga meluahkan rasa lega kerana berpeluang untuk mengerjakan ibadah Haji pada usia 43 tahun.

“Alhamdulillah, tahun lepas saya direzekikan untuk mengerjakan ibadah Haji. Tanpa saya duga dan rancang, Allah nampak segala  usaha saya. Mungkin saya sudah bersedia.

“Saya pergi umrah, haji berulang kali. Kenangan dan ketenangan itu yang saya cari itu, berharga sebenarnya.

“Kadang saya tertanya-tanya, cukupkah duit saya untuk mengerjakan umrah. Alhamdulillah, Allah izinkan saya untuk pergi ke Tanah Suci berulang kali,” jelasnya.

Sharifah juga memaklumkan yang dia sedang berjinak-jinak mengerjakan umrah DIY selepas dipelawa keluarga baru-baru ini.

“Pada awalnya saya tidak merancang untuk melakukan umrah DIY. Sekarang hadir ke Lapangan Terbang menghantarkan keluarga untuk pergi ke tanah suci.

“Keluarga ada mempelawa untuk melakukan umrah DIY, tapi ketika itu saya merasakan diri tak bersedia.

“Namun hati terasa tak seronok bila pelawaan keluarga itu ditolak. Jadi saya terus tempah tiket penerbangan dan akhirnya menyertai mereka. Namun tak sangka pula itulah permulaannya saya sering dipanggil mengerjakan umrah,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN