PETALING JAYA: Pengarah filem, Razaisyam Rashid menegaskan projek besar bertaraf antarabangsa seperti Sukan SEA memerlukan khidmat pereka yang sudah berpengalaman luas dan bukannya graduan baharu dalam mencipta logo atau grafik.
Razaisyam, 41, berkata, projek mega seperti itu sebenarnya memerlukan komitmen daripada sebuah pasukan pereka dan tidak boleh diserahkan kepada individu sahaja.
“Projek berskala besar seperti Sukan SEA, yang bertaraf antarabangsa, menuntut sentuhan tenaga kreatif yang berpengalaman dan teruji, bukannya graduan baharu. Projek seperti ini memerlukan komitmen sebuah pasukan pereka, bukannya individu.
“Walaupun idea asas boleh datang daripada individu, ia tetap memerlukan gabungan pemikiran sekumpulan pakar untuk benar-benar mematangkan idea tersebut.
“Pengalaman adalah segala-galanya di sini untuk mengelakkan hasil yang tidak sempurna,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata pengguna bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pengarah filem yang juga merupakan alumni Universiti Malaya itu bahawa pengalaman dan kepakaran adalah keutamaan berbanding hanya untuk penuhkan objektif semata-mata.
Untuk rekod, Razaisyam Rashid merupakan pengarah yang terkenal menerusi naskhah seperti filem Pusaka, Projek: High Council dan Dukun Diva.










