Saya tidak berhak ulas, itu urusan peribadi Norreen - Imranul Effendy - Utusan Malaysia

Saya tidak berhak ulas, itu urusan peribadi Norreen – Imranul Effendy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Imranul Effendy enggan mengulas penampilan terkini aktres, Norreen Iman yang kini tidak lagi berhijab sekali gus mencetuskan kritikan ramai pihak.

Menurut Imranul, meskipun dia telah menganggap pelakon wanita itu seperti kakaknya, dia tidak mempunyai hak untuk mencampuri urusan peribadi apatah lagi memberi komen mengenai keputusannya.

“Saya hanya ingin mengatakan bahawa Norreen merupakan seorang individu yang sangat baik. Dia antara insan yang banyak membantu saya sepanjang perjalanan memasuki industri seni, daripada saya tidak dikenali sehingga berada pada tahap sekarang.

“Untuk saya mengulas mengenai isu yang sedang dihadapinya, saya rasa saya tidak berhak ulas kerana itu urusan peribadinya.

“Saya menghormati apa jua keputusan yang dibuat dan percaya segala yang dilakukan adalah yang terbaik buat dirinya. Saya hanya mampu mendoakan yang terbaik untuk Norreen dan keluarganya,” katanya.

Imranul berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran drama vertikal baharu, BRU: Masin & Masin, pada Isnin.

Dalam masa sama, pelakon itu mengakui dirinya ada berhubung dengan Norreen, namun lebih selesa untuk tidak mendedahkan butir perbualan mereka

Walaupun enggan mengulas lanjut mengenai perkara yang dikongsikan Norreen secara peribadi, Imranul mengesahkan hubungan mereka masih baik sehingga kini.

“Ada perkara yang dikongsikan dengan saya, namun biarlah ia kekal antara kami berdua. Saya tidak mahu mengulas mengenai isu sensitif seperti ini kerana saya bukan individu yang layak untuk memberikan pandangan.

“Apa yang lebih penting, kita doakan sahaja yang terbaik buat dirinya,” jelasnya.

Mengulas mengenai pelbagai kecaman dan fitnah yang dilemparkan netizen terhadap pelakon itu, Imranul berkata dia tidak mudah terpengaruh dengan persepsi orang ramai, sebaliknya menyifatkan Norreen seorang wanita yang kuat dan cekal.

“Saya tidak terkesan dengan apa yang diperkatakan orang ramai kerana saya mengenali Norreen secara peribadi. Saya tahu bagaimana dirinya yang sebenar.

“Pada saya, Norreen merupakan seorang yang sangat kuat. Biarlah orang ramai ingin berkata apa sekalipun kerana mereka tidak benar-benar mengenali dirinya.

“Kita tidak mampu menutup mulut orang. Hubungan saya dengannya masih baik dan saya tidak pernah mencampuri urusan peribadinya. Saya hanya mendoakan yang terbaik buat dirinya,” ujarnya.

Sebelum ini, nama Norreen hangat menjadi sorotan selepas dirinya tampil dengan imej terbaharunya yang tidak lagi bertudung dan berambut pendek.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN