PETALING JAYA: Pelakon, Faye Kusairi mengakui amat rindu untuk melakonkan watak antagonis yang menjadi bualan penonton iaitu karakter Syakila yang pernah dijayakannya dalam drama 7 Hari Mencintaiku dahulu.
Faye atau Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi, 39, berkata, emosi yang mendalam semasa membawakan watak jahat tersebut benar-benar menyentuh jiwanya sebagai pelakon sepanjang tempoh penggambaran dilakukan.
“Saya rindu mahu membawa watak antagonis itu kerana perwatakannya betul-betul boleh dirasai. Semasa menuturkan dialog, ia sangat menusuk sehingga penonton sendiri dapat merasainya.
“Watak itu menjadi kegemaran saya disebabkan oleh jiwa jahatnya yang berada pada tahap maksimum, jadi ia sangat menyeronokkan untuk dilakonkan. Saya sangat merindui watak yang jenis sebegini, tetapi tiada masalah pun untuk saya galas watak-watak lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Faye turut menegaskan bahawa imejnya yang kini sudah berhijab langsung tidak menghalang dirinya untuk terus membawakan watak jahat yang keterlaluan.
“Sebenarnya saya tiada masalah jika perlu membawakan watak jahat dan tidak meletakkan sebarang had. Kita sebagai pelakon yang perlu bijak mengolah dan menggalas tanggungjawab itu dengan baik mengikut logik cerita serta kemahuan pengarah,” ujarnya.
Mengenai latar belakang watak tersebut, Faye Kusairi pernah mencetuskan kemarahan penonton menerusi watak Syakila, iaitu seorang wanita perampas dan penghasut dalam drama popular 7 Hari Mencintaiku yang ditayangkan beberapa tahun lalu.
Untuk rekod, Faye Kusairi merupakan pelakon kelahiran Sarawak yang mula dikenali ramai menerusi drama Istikharah Cinta dan kini tampil berhijab sepenuhnya sejak pertengahan tahun 2020.










