PUCHONG: Pempengaruh dan usahawan, Ubai tidak pernah menganggap dirinya perlu menjaga status atau imej semata-mata kerana bergelar suami kepada penyanyi terkenal, Shila Amzah.
Menurut Ubai atau Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, dia selesa melakukan pekerjaan yang diminatinya termasuk membuat servis penghantaran barang, Grab apabila mempunyai masa lapang, selain menganggap pekerjaan tersebut sebagai satu cara untuk menghilangkan tekanan.
“Saya akan buat Grab ketika saya bosan. Kebetulan saya sudah beli motor baru, mahu menunggang tanpa hala tuju macam tiada keperluan. Jadi, saya minta izin Shila untuk buat servis penghantaran secara suka-suka.
“Saya banyak buat kerja di belakang tabir kerana saya seorang freelancer. Ada ketika saya perlu hasilkan jalan cerita. Apabila saya bosan, saya akan cuti atau rehat kemudian terus buat Grab.
“Selepas berjumpa orang dan berbual-bual, tekanan pun sudah reda, saya akan balik ke rumah dan sambung buat kerja,” katanya ketika ditemui di majlis sidang media konsert Shila Amzah – KITA: 25 Tahun Bersama, pada Rabu.
Mengulas tanggapan segelintir pihak yang mendakwa dia sekadar menumpang populariti isterinya, Ubai tidak melatah, namun menganggap ramai yang tidak mengetahui latar belakang kerjayanya.
“Saya memang ada pekerjaan sendiri. Saya bermula dalam dunia digital di TikTok, kemudian bekerja di Astro. Lepas beberapa tahun, saya buka syarikat sendiri.
“Saya dah ada pasukan produksi sendiri dan kebanyakan kerja kami memang dalam bidang digital. Kami banyak menghasilkan kandungan digital dan kempen untuk pelbagai jenama. Dalam erti kata lain saya seorang ‘freelancer’,” kongsinya.
Dalam masa sama, Ubai berkata dia tidak pernah berasa rendah diri melakukan apa sahaja pekerjaan yang halal walaupun bergelar suami kepada seorang artis terkenal.
“Shila sendiri tidak kisah denga pekerjaan saya. Asalkan saya gembira, dia pun gembira. Mungkin masyarakat ada stigma bila seseorang itu artis atau dikenali ramai, kena jaga standard.
“Tapi saya dibesarkan dalam keluarga sederhana.
Asalkan kerja itu halal, tidak buat salah dan tidak kacau orang, saya okey,” ujarnya.










