Ramai pelakon hebat juga ada latar belakang teater - Arfie Shah - Utusan Malaysia

Ramai pelakon hebat juga ada latar belakang teater – Arfie Shah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Arfie Shah mengakui pengalaman pertama beraksi di pentas menerusi pementasan teater Tarik Picu membuka ruang buatnya mempelajari pelbagai teknik baharu yang boleh dimanfaatkan dalam lakonan drama dan filem.

Menurut Arfie, pengalaman tersebut memberi perspektif berbeza terhadap dunia lakonan memandangkan terdapat beberapa teknik dalam pementasan teater yang tidak diperoleh ketika beraksi di hadapan kamera.

“Bagi saya, ada perkara yang kita belajar dalam teater yang mungkin tidak akan kita dapat ketika berlakon di hadapan kamera. Ramai pelakon hebat juga datang daripada latar belakang teater kerana mereka sudah mempunyai teknik-teknik yang mungkin kita tidak tahu.

“Apabila mereka masuk ke dunia lakonan skrin, mereka boleh menggunakan teknik tersebut dan memberikan persembahan yang lebih baik. Sebelum ini saya tidak pernah melihat perkara itu, tetapi apabila sudah masuk dan merasainya sendiri, barulah saya nampak bahawa banyak perkara yang dipelajari dalam teater sebenarnya boleh digunakan dalam lakonan lain.

“Sama juga seperti apabila kita belajar tentang kamera. Apabila kita memahami kamera, barulah kita tahu sebenarnya ada pelbagai cara untuk berlakon. Jadi, semakin banyak perkara yang kita cuba, semakin banyak ilmu yang kita dapat dan boleh digunakan dalam kerjaya,” katanya.

Arfie berkata demikian ketika ditemui selepas selesai menjayakan tetaer naskhah arahan Fazleena Hishamuddin dengan skrip Amar Amir dan anjuran Mask Team itu di PJ Pac, di sini, baru-baru ini.

Mengakui masih baharu dalam industri seni selepas kira-kira tiga tahun bergelar pelakon, Arfie berkata, tawaran menjayakan pementasan tersebut diterima kerana mahu terus menimba pengalaman dan memperbaiki mutu lakonannya.

Katanya, soal populariti bukan menjadi keutamaan ketika ini, sebaliknya mahu menggunakan setiap peluang yang diberikan untuk membentuk dirinya menjadi pelakon lebih baik.

“Ini merupakan tawaran teater pertama yang saya terima. Saya tidak pernah buat teater sebelum ini dan dalam bidang lakonan pun saya baru sekitar tiga tahun, jadi memang masih sangat baharu.

“Apabila mendapat tawaran ini, saya fikir ada banyak perkara yang boleh saya pelajari. Apabila kita masih baharu dan berpeluang melakukan sesuatu buat kali pertama, sudah tentu kita mahu belajar sebanyak mungkin.

“Soal populariti itu boleh difikirkan kemudian. Sekarang apa yang saya fikirkan adalah bagaimana saya mahu menjadi seorang pelakon yang bagus dan terus meningkatkan kemampuan dalam bidang ini,” katanya.

Berkongsi cabaran sepanjang menjalani latihan, Arfie berkata, antara perkara yang perlu dipelajarinya adalah teknik lontaran suara kerana dia secara semula jadi seorang yang lembut ketika berbicara.

Malah, pada peringkat awal, dia berasa janggal setiap kali perlu meninggikan suara kerana bimbang kedengaran seperti sedang memarahi seseorang.

“Cabaran paling besar adalah saya perlu bercakap dengan kuat kerana saya seorang yang sangat lembut apabila bercakap. Setiap kali perlu melontarkan suara dengan kuat, saya akan terfikir sama ada saya seperti sedang memarahi orang.

“Itu antara perkara yang saya belajar menerusi teater. Selepas ini, mungkin teknik-teknik yang saya pelajari boleh digunakan pula ketika berlakon di hadapan kamera. Sekarang saya sudah lebih tahu bagaimana hendak mengawal suara dan perkara itu tentunya boleh membantu lakonan saya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Arfie turut menghargai tunjuk ajar serta bantuan barisan pelakon lain sepanjang menjayakan pementasan berkenaan.

Katanya, perbezaan pengalaman antara dirinya dengan pelakon teater lain membuatkan dia sedar perlu menggandakan usaha bagi memastikan mampu memberikan persembahan terbaik.

“Ini kali pertama saya beraksi dalam teater, jadi pada mulanya saya memang tidak tahu bagaimana hendak bermain di atas pentas dan bagaimana hendak melontarkan suara dengan betul.

“Sepanjang bersama mereka, saya belajar banyak perkara daripada pelakon-pelakon yang lebih berpengalaman dan juga rakan-rakan pelakon lain. Mereka banyak membantu saya dan tanpa mereka, mungkin saya tidak dapat melakukan semua ini dengan baik.

“Saya sedar saya perlu menggandakan usaha kerana ada antara mereka yang sudah mempunyai pengalaman sehingga 20 tahun, sedangkan saya baru pertama kali berlakon teater. Jadi, saya perlu bekerja keras untuk memastikan saya dapat mengimbangi mereka,” katanya.

Tidak serik dengan pengalaman pertamanya itu, Arfie berkata, dia terbuka untuk kembali menerima tawaran pementasan pada masa akan datang sekiranya projek tersebut mampu membantu meningkatkan kemampuannya sebagai pelakon.

“Insya-Allah, saya tidak serik untuk berlakon teater lagi. Selagi saya merasakan sesuatu projek itu boleh membantu saya memperbaiki diri, saya akan menerimanya.

“Apa sahaja yang perlu dilakukan untuk saya menjadi seorang pelakon yang lebih baik, saya akan cuba lakukan kerana bagi saya, semakin banyak perkara yang kita cuba, semakin banyak juga ilmu dan pengalaman yang boleh kita bawa dalam perjalanan sebagai seorang pelakon,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN