“TIDAK bermakna saya bakal jadi calon bertanding di Setiawangsa, itu semua ditentukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.”
Demikian penegasan pelakon Datuk Afdlin Shauki yang menerima pelbagai fitnah dan kecaman apabila beliau menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Setiawangsa.
Malah beliau dihambur dengan pelbagai cacian termasuk dikatakan cuba melobi kedudukan apabila bertindak bertemu Perdana Menteri tempoh hari.
Afdlin menegaskan pertemuan itu bagi menyerahkan laporan berkaitan gerak kerja menyelaras kawasan Setiawangsa, tiada niat mahu melobi kedudukan apatah lagi menjadi calon pilihan raya.
“Itu tidak bermakna saya bakal menjadi calon pilihan raya kerana di penghujungnya, Perdana Menteri yang akan menentukan. Jika dipilih, Alhamdulillah. Kalau tidak, tak mengapa.
“Pada saya, soal kesetiaan terhadap parti lebih penting daripada kedudukan. Saya tidak peduli tentang kuasa, sebaliknya sudah senang dengan pekerjaan saya sebagai artis dan pengarah filem.
“Persetankan kata-kata orang, mereka bukan panduan saya. Panduan saya Allah S.W.T dan keluarga. Majikan saya pula adalah Perdana Menteri.
“Jika beliau mengarahkan saya untuk pergi (bertanding) maka saya akan pergi, kalau dia kata tidak, maka tidaklah saya,” katanya.
Afdlin memaklumkan dia tidak mampu menutup mulut orang yang buruk tentangnya dan memfitnahnya. Fokus utama adalah melaksanakan segala tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.
“Saya buat semua ini kerana parti. Bagi yang tak suka, mereka boleh berkata apa sahaja yang mereka suka.
“Sebagai pengerusi perwakilan penduduk Setiawangsa, saya kena buat kerja. Jika tak mampu membantu, buat apa saya pegang jawatan itu?
“Tapi sekiranya Perdana Menteri sudah memilih calon selain saya, maka orang itulah yang kedepan. Tapi buat masa ini nampaknya dia nak saya yang menjaga kawasan Setiawangsa.
“Sehingga waktu ini, dia pilih saya. Jadi saya buat kerja. Jika Anwar kata saya layak bertanding, maka saya akan bertanding,” katanya lagi.
Afdlin menegaskan jawatan bukanlah perkara yang dikejarkan, sebaliknya mahu melaksanakan tanggungjawab yang diberikan selaku Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Setiawangsa.
“Saya tidak mengharapkan jawatan. Hidup saya cukup dengan perniagaan dan menjadi artis. Saya okey.
“Selagi saya berada dalam dunia politik ini, saya akan bantu menaikkan industri seni yang saya cintai.
“Orang nak berkata apa sekalipun, cakaplah. Hanya Allah sahaja yang tahu niat saya terjun ke dunia politik,” kongsinya.
KRONI?
Afdlin menolak desas desus yang mendakwa pemilihannya sebagai Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Setiawangsa adalah atas dasar kroni semata-mata.
“Saya kenal ramai orang, Fahmi Fadzil pernah bekerja di bawah saya. Saya juga bersahabat baik dengan Anwar dan bekas Perdana Menteri terdahulu seperti Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Juga Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
“Adakah pemilihan saya sebagai Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Setiawangsa atas dasar Kroni?
“Mana perginya sumbangan saya terhadap dunia hiburan selama 30 tahun. Pelbagai anugerah telah saya terima, semua dilupakan. Yang penting dikatakan kroni Perdana Menteri. Kalau tak tahu cerita, lebih elok berdiam sahaja,” katanya.
Kata Afdlin, beliau kecewa dengan segelintir pihak yang sanggup mengada-adakan cerita demi kepentingan politik dan peribadi.
“Saya sudah berada dalam dunia politik selama 7 tahun, saya tahu mengharap itu perkara yang membuang masa. Kalau ada rezeki, adalah.
“Orang sanggup memfitnah demi kepentingan politik. Cara permainan saya bukan untuk menjatuhkan sesiapa.
“Kuasa bukan segala-galanya. Yang penting saya bahagia disamping keluarga. Dan saya mahu orang industri seni kita bekerja dengan aman tanpa adanya peraturan – peraturan mengarut,” jelasnya.










