Pernah terima layanan berbeza punca Ellyza Azizi takut untuk bersinar - Utusan Malaysia

Pernah terima layanan berbeza punca Ellyza Azizi takut untuk bersinar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bukanlah baru dalam industri seni tanah air, namun pelakon, Ellyza Azizi pernah mengakui dirinya belum layak untuk menjadi teraju utama sebarang karya meskipun dirinya sudah menempa nama sejak usianya 19 tahun.

Ditanya apa yang membuatkan dirinya tidak begitu yakin menjadi watak utama yang sememangnya impian setiap pelakon, Ellyza mendedahkan dirinya pernah menerima layanan yang tidak sepatutnya dari beberapa pihak dek kerana kurang popular.

“Sejujurnya saya masih lagi rasa takut, segan dan kadang-kadang rasa macam tidak layak untuk memegang sebarang watak utama kerana jumlah pengikut media sosial saya tidak besar.

“Ini berdasarkan pengalaman. Disebabkan jumlah pengikut saya tidak begitu ramai, ada tempat yang saya masuk saya menerima layanan yang berbeza. Mereka tidak pernah cakap, tetapi saya boleh rasakannya.

“Dan perkara itu memberi kesan kepada saya sebagai pelakon. Sebagai pelakon, perkara paling saya tidak mahu ialah hilang keyakinan diri. Tetapi semua itu tidak sepatutnya menjadi penghalang. Semuanya bergantung kepada bagaimana saya membawa diri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ellyza bagaimanapun mengakui dirinya enggan terburu-buru menyusun kerjaya seninya, sebaliknya selesa mengikut rentak kehidupan yang bakal dilaluinya dalam industri.

“Tetapi saya rasa cara saya menyusun perjalanan kerjaya membuatkan sampai sekarang saya masih boleh membawa watak pelajar sekolah menengah dan kolej.

“Pada pendapat saya, kalau seseorang pelakon terus beralih daripada watak pelajar kepada watak isteri, kemudian hendak kembali membawa watak pelajar, penonton agak sukar menerima.

“Sebab itu saya mahu menggunakan fizikal, ilmu dan bakat yang saya ada sekarang untuk membawa sebanyak mungkin watak-watak remaja terlebih dahulu.

“Apabila sudah nampak lebih matang nanti, mungkin ada produksi yang akan melihat saya untuk watak yang lebih dewasa,” kongsinya.

Enggan cetus kontroversi

Pernah berputus asa, pelakon utama drama vertikal BRU: Masin & Manis itu menegaskan dirinya tidak terdesak untuk mencetuskan mahupun mencipta kontroversi murahan demi meraih populariti.

Meskipun cakna perkara itu merupakan jalan pintas untuk popular, Ellyza tetap enggan melakukannya demi menjaga maruah keluarga, apatah lagi sedar dirinya membawa nama bapanya bersama.

“Setiap tahun ada saja rasa macam nak berhenti berlakon, sambung pengajian ke peringkat sarjana dan menjadi pensyarah. Tetapi pada akhirnya saya tak mahu mengalah selagi saya masih boleh mencuba. Saya memilih untuk menjadi diri sendiri dan mencari strategi saya sendiri.

“Harap orang nampak bakat saya, bukan sekadar jumlah pengikut saya. Selagi sesuatu perkara itu tidak memburukkan nama saya, terutama apabila saya menggunakan nama ayah saya, saya harap apa juga kontroversi pada masa depan tidak akan menjejaskan nama keluarga saya.

“Kalau orang lain memilih cara itu, saya tidak menghakimi mereka. Tetapi bagi saya, apabila sesuatu perkara sudah berada di internet, ia akan kekal di situ.

“Anak-anak saya nanti mungkin akan membacanya.
Jadi saya berharap kalau saya berjaya nanti, biarlah dengan cara yang baik, dengan nama yang bersih,” jelasnya.

Mengulas mengenai penglibatannya menerusi drama terbitan penerbit terkenal, Nik Amir, Ellyza mengakui dirinya kurang tekanan untuk menjayakan watak utama sebagai Manis kerana hero gandingannya juga, Imranul Effendy masih baru dalam industri.

“Saya tidak rasa terlalu tertekan dengan nama-nama besar yang ada dalam projek ini. Apabila saya tahu Imranul baru bermula juga, saya rasa sifat dia yang sentiasa ingin tahu, sentiasa bertanya dan tidak lokek berkongsi banyak membantu saya membina karakter ini.

“Saya rasa kami boleh berdiri di landasan yang sama. Dia banyak membantu membina keyakinan saya untuk memegang watak utama.

“Saya bersyukur dapat bekerja dengan pasukan ini sebab mereka sangat profesional dan benar-benar menghormati kerja lakonan saya di set. Saya sangat menghargai perkara itu kerana tidak semua set memberikan layanan sebegitu,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN