Perlawanan Influencer Malaysia (PIM) bakal satukan 40 pempengaruh tempatan - Utusan Malaysia

Perlawanan Influencer Malaysia (PIM) bakal satukan 40 pempengaruh tempatan

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hampir 40 pempengaruh dengan gabungan hampir 20 juta pengikut di media sosial bakal disatukan menerusi BUMIHAYAT Perlawanan Influencer Malaysia (PIM) 2026 dalam usaha membina ekosistem industri kreatif yang lebih tersusun dan tidak hanya tertumpu kepada alam maya.

Acara anjuran Nakhoda Action Lab sempena Hari Malaysia itu akan berlangsung pada 15 September ini, dari pukul 8 hingga 11 malam di Stadium Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Baru di sini dengan kemasukan percuma.

Pengarah Projek PIM 2026, Suzana Sukaimi berkata, perlawanan tersebut bukan sekadar acara sukan dan hiburan, sebaliknya menjadi platform untuk pempengaruh membina jaringan profesional serta berhubung dengan media arus perdana, jenama, agensi dan pemain industri.

Katanya, terdapat pempengaruh yang mempunyai jumlah pengikut dan kadar interaksi tinggi tetapi masih memerlukan pendedahan mengenai komunikasi serta hubungan profesional di luar media sosial.

“Sudah tiba masanya pempengaruh mengubah cara berfikir dan cara pergaulan yang bukan sekadar dalam media sosial atau dunia digital sahaja. Mereka perlu belajar bagaimana hendak berinteraksi dengan media arus perdana dan pelanggan.

“Berdasarkan pengalaman kami mengendalikan kempen dan menguruskan pempengaruh, masih banyak yang perlu mereka pelajari. Jadi, kita mahu memberikan pendedahan kepada mereka kerana program ini bukan sekadar mengenai sukan atau hiburan, tetapi juga satu bentuk sumbangan kepada industri kreatif,” katanya.

Menurut Suzana, bola sepak dipilih sebagai medium untuk membawa pempengaruh yang sebelum ini mungkin hanya saling mengenali dalam talian supaya bertemu dan membina hubungan secara fizikal.

“Selama ini kita sering melihat perlawanan membabitkan selebriti, tetapi kali ini kita cuba menghubungkan pempengaruh kerana ada antara mereka yang hanya berada dalam alam maya.

“Apabila ada program seperti ini, mereka dapat turun dan bertemu secara fizikal. Kita mahu mewujudkan budaya serta ekosistem baharu supaya mereka tidak hanya hidup dalam dunia digital, sebaliknya turut belajar berkomunikasi, berinteraksi dan membina hubungan dengan media,” katanya.

Antara pempengaruh yang bakal memeriahkan PIM 2026 ialah Muhammad Imran atau CEO.FIFA yang turut mengetuai pembangunan kandungan sebagai Ketua Penerbit Kandungan, selain Erul Samah, Taufiq Hanafi, Aiman Sekaichii dan Adrian Edy.

Senarai penuh hampir 40 pempengaruh akan diumumkan secara berperingkat, manakala beberapa legenda bola sepak, selebriti dan tetamu khas daripada organisasi kerajaan serta swasta turut dijangka menyertai acara berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Nakhoda Action Lab, Sayf Ismail berkata, bola sepak dipilih kerana keupayaannya menyatukan masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

“Bertepatan dengan tema sambutan Hari Malaysia 2026, Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati, kami mahu Hari Malaysia diraikan dengan cara yang lebih dekat dengan generasi muda melalui sukan, kandungan digital dan pengaruh positif pencipta kandungan.

“Kami percaya sukan mampu menjadi medium membina perpaduan, memupuk semangat patriotisme serta menghubungkan komuniti dengan industri kreatif negara,” katanya.

PIM 2026 turut menyediakan ruang kepada syarikat korporat, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), agensi serta jenama untuk berkolaborasi dengan komuniti pencipta kandungan, sekali gus membuka peluang ekonomi dan kerjasama baharu.

Suzana berkata, matlamat akhirnya adalah untuk melahirkan komuniti pempengaruh yang bukan sahaja mempunyai pengaruh besar dalam talian, tetapi lebih matang dalam aspek komunikasi dan hubungan profesional.

“Kita saling memerlukan dalam industri ini, sama ada pemain digital ataupun media arus perdana. Kita mahu meningkatkan cara mereka berfikir, berinteraksi, berkomunikasi dan membina hubungan dengan media. Itu antara objektif utama program ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN