Lebih tiga dekad memperjuangkan seni etnik kreatif dan warisan Melayu, Ratu Etnik Kreatif tanah air, Noraniza Idris mengakui sehingga hari ini masih belum menemui individu yang benar-benar mampu meneruskan perjuangan seni yang dibinanya selama ini.
Ini kerana, bukan sekadar bergelar penyanyi, Noraniza juga dikenali ramai sebagai individu yang aktif menganjurkan pelbagai program berkaitan seni tari, khususnya Zapin menerusi inisiatif Zapin Living Lab, selain giat membangunkan modul pendidikan budaya bagi memastikan warisan seni tradisional terus relevan kepada generasi muda.
Menurut Noraniza, semakin lama dia mendalami dunia kebudayaan, semakin sukar untuk mencari pelapis yang benar-benar mempunyai jiwa dan pengorbanan sama seperti yang diperlukan dalam usaha memartabatkan seni warisan.
“Belum jumpa. Sebenarnya lagi kita masuk dalam lagi kita susah nak cari penerus ataupun pelapis yang ada jiwa macam kita. Kebanyakannya memanglah setengah orang dia nak buat sesuatu itu untuk nama. Tapi saya selalu letakkan nama saya ini di belakang berbanding dengan hasil yang kita bina itu.
“Tidak dinafikan, generasi pelapis seronok dengan apa yang kita buat. Tapi nak cari orang yang boleh berkorban macam apa yang kita buat itu susah,”katanya.

Tambah Noraniza, antara cabaran terbesar ialah masih ramai yang memilih untuk menyimpan hasil penyelidikan dan pengalaman sendiri berbanding berkongsi ilmu dengan generasi baharu.
“Dan kebanyakannya kalau dah buat satu R&D misalnya, dia simpan untuk diri sendiri, tak berkongsi. Jadi macam mana anak-anak pelapis kita nak dapatkan input yang tepat kalau kita banyak bergantung kepada TikTok, banyak main untuk konten. Tapi dari segi ilmu yang sebenar itu tak tepat. Sebab itulah saya rasa kita kena buat pelbagai program seni begini,”ujarnya.
Walau begitu, Noraniza berkata dia tetap optimis bahawa masih ada insan yang mempunyai semangat sama, namun mungkin memilih laluan perjuangan yang berbeza.
Mengulas mengenai perjuangannya, penyanyi lagu Dikir Puteri itu berkata matlamat utama bukan lagi mengejar populariti, sebaliknya memastikan warisan seni Melayu terus dipelihara melalui pendidikan dan pemindahan ilmu.
Katanya, usaha itu sudah bermula sejak tahun 2012 apabila dia memperkenalkan pertandingan berkonsepkan Tingkah Laga Zapin di peringkat kebangsaan, sebelum diperluaskan menerusi jelajah ke seluruh negara, program televisyen bersama RTM serta pelbagai bengkel yang memberi fokus kepada pembentukan adab dan kefahaman terhadap seni Zapin.

Noraniza bagaimanapun mengakui perjalanan tersebut bukan mudah kerana kebanyakan peserta pada peringkat awal lebih berminat mengejar kemenangan berbanding proses pembelajaran.
“Banyak orang pergi pada hadiah namun tak nak sertai bengkel. Dari situ, saya nampak, sesuatu harus dilakukan.Sebab itu akhirnya saya fokus kepada bengkel dan pendidikan,”katanya.
Kesedaran itulah yang mendorong Noraniza menubuhkan Zapin Living Lab, sebuah platform yang menurutnya memberi penekanan kepada pendidikan warisan, pembentukan jati diri dan pemindahan ilmu kepada generasi pelapis.
Katanya, program tersebut tidak lagi meletakkan hadiah sebagai tarikan utama, sebaliknya peserta hadir kerana benar-benar mahu belajar.
Menurut Noraniza lagi, seni Zapin bukan sekadar tarian, malah sarat dengan nilai adab, disiplin dan falsafah kehidupan masyarakat Melayu yang perlu dipertahankan.
“Saya mahu jadikan Zapin ini sebagai satu rujukan sebab nilai radisionalnya sangat kuat. Dalam Zapin ada didikan jati diri. Cara menyantuni orang, cara menghormati wanita, cara berdiplomasi, semuanya ada. Ilmu itu yang kita nak hidupkan semula supaya generasi hari ini bukan sekadar pandai menari, tetapi faham nilai budaya yang sebenar.
“Sebab itu daripada disalah bawa, lebih baik kita teruskan walaupun sukar macam mana pun. Ini jadi satu tanggungjawab yang saya kena galas setiap tahun,” katanya.










