KETIKA Bayu (Angga Yunanda) menyangkal cita-cita bapa menjual rumah, tanah dan menyatakan sumpah cintanya kepada hidupnya di Latas, kita tahu lelaki itu sudah pernah merasai dinginnya sebuah kesepian.
Lampu-lampu kota, kebuluran dan keserabutan Jakarta mengikis semangatnya hari demi hari. Namun Latas dan kawan-kawan di sanggar memberinya makna bahagia, dia kembali ketawa.
Sanggar dan Pesta Sambetan menjadi sebuah social prescribing dibahaskan pakar sebagai pengubat kepada epidemik kesunyian yang membantai lebih ramai manusia setiap tahun. Bayu dan orang Latas mengisytiharkan perang terbuka kepada syarikat perumahan, mereka tidak boleh membayangkan bagaimana semangat komuniti ini akan musnah, dan kemeriahan Pesta Sambetan hanya akan menjadi sebuah kenangan.
Menerusi Para Perasuk, sutradara, Wregas Bhanuteja menyampaikan bagaimana rasa dimiliki, diterima dalam sesuatu komuniti akan memberikan kita mekanisme asas terhadap rasa gembira dalam menjalani hidup.
Perihal sedalam ini tidak boleh diganti dengan konkrit dan ketinggian bangunan. Ia menjadi salah satu penyelamat menjauhkan orang daripada jerutan leher, torehan tangan atau terjun beranda.
Tapi entah kenapa, kita selalu menganggap semuanya sebagai ‘hal-hal biasa’.

Saya percaya kepada hal-hal supernatural, bahawa dunia yang saya hidup dikongsi dengan sesuatu lain. Namun entah mengapa, perihal misteri dan mistik selalu disandingkan dengan keseraman, seolah-olah kita memusuhi perkara yang kita sukar untuk cerna dan faham.
Namun Para Perasuk seperti ‘memahami’ saya, berdiri megah menunjukkan supernatural boleh berdiri sebagai ‘dirinya’ tanpa unsur hantu atau sebuah perkara yang menakutkan.
Perasaan sama saya dapatkan ketika menonton The Story of Southern Islet oleh Chong Keut Aun, satu-satunya pengarah Malaysia yang ketika ini memisahkan supernatural daripada perihal keseraman.

Menerusi Para Perasuk dan roh-roh haiwan yang ditampilkan, filem ini membawa kita dekat mengakrabi dan memberi perhatian kepada sifat-sifat unik yang diciptakan Pencipta Maha Kaya kepada haiwan. Contohnya, bagaimana kura-kura ada cangkerang yang melindungi mereka daripada melihat perkara menyakitkan. Begitu juga lintah, dan sifat-sifat buruk baik ada padanya, sama seperti manusia.
Introspektif menarik dan unik ini ditampilkan Wregas Bhanuteja dengan sangat bergaya menerusi keadaan khayal atau trance yang sudah sudah dikaji dalam beberapa jurnal antarabangsa menceritakan keadaan minda dan fikir kita ketika melalui ritual tertentu seperti Sambetan dalam filem ini. Ada guru yang mengawasi, perantara atau perasuk dan orang yang dirasuk.

Menariknya, perantara selalunya akan memilih objek, instrumen yang dekat dengan mereka, memainkan melodi berulang-ulang bagi menjadikan orang yang dirasuk berkhayal. Orang yang dirasuk pula selalunya akan menari-nari. Untuk lebih mudah faham, ibarat seperti Kuda Kepang yang pernah saya tonton di Sabak Bernam.
Para Perasuk juga menyamakan Sambetan, keadaan khayal dalam ritual dengan disko di kelab malam di mana kita semua mencari cara untuk ‘keluar’ sebentar dalam kesedihan.
Menariknya, orang perantara atau Sang Perasuk bukan calang-calang, hati mereka perlu bersih untuk menyampaikan bahagia. Ironinya, dalam filem ini, ‘perasuk’ paling hebat di Latas, adalah orang yang paling derita dalam diam mengusung ‘anak kuda laut’ dalam perutnya.
Entahlah, mungkin memang hidup selalu menawarkan perihal ironi, sama seperti yang mahu ditunjukkan Para Perasuk. Naskhah Wregas Bhanuteja tidak pernah mengecewakan, dan saya selalu mengagumi bagaimana pengarah ini memastikan kita akan menangis, hiba dan dihimpit kesuraman yang penuh di dada selepas filem berakhir. Para Perasuk akan menjadi filem dalam senarai yang akan saya tonton lagi dan lagi.










