Obsession: Semua boleh mati sebab lelaki pengecut - Utusan Malaysia

Obsession: Semua boleh mati sebab lelaki pengecut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Obses terjadi bertahap, tapi dimulakan dengan isi fikiran yang sukar disingkirkan. Ia meraung, bergaung dalam kepala membuatkan kita rasa itulah perkara paling mustahak untuk diperjuangkan.

Bagi Bear, urusan memendam cinta kepada sahabat baiknya, Nikki Freeman antara yang penting buatnya ketika itu.

Tapi di awal Obsession dibuka, semuanya normal sahaja kerana apa yang dilakukan Bear ketika minum bersama Nikki, Sarah dan Ian tidak nampak berbahaya. Cuma kita tahu, di sebalik malu-malu Bear, ada yang aneh tentangnya apabila bangkai Sandy, iaitu kucing kesayangan yang mati dicampak bersahaja ke dalam tong sampah. Dia menangis, meratap, tapi sekelip mata terhenti selepas menerima panggilan Nikki.

Youtuber yang kini menjadi pengarah filem Box Office menerusi Obsession, Curry Barker, sudah awal-awal bijak menanam petanda sebelum membuat kita semua saling curiga kepada setiap karakter yang tampil di layar.

Sebelum kejadian ‘one wish willow’, Nikki kehilangan rantai kristalnya ketika berbual di telefon bersama Bear. Rantai itu banyak disebut orang sebagai azimat, perlindungan daripada kejahatan. Berbanding menghadiahkan Nikki rantai azimat yang lain (walaupun dia hampir melakukannya) Bear lebih terpesona dengan dahan ranting sakti yang dijual di kedai kononnya boleh memakbulkan setiap permintaan orang yang mematahkannya.

Tapi kerana pengecutnya mengucapkan cinta kepada Nikki, Bear melakukan hajat sangat berbahaya. Bukan berharap agar Nikki bahagia, tapi dia berhajat agar Nikki mencintainya lebih daripada sesiapa di dunia sambil mematahkan ranting willow dalam ‘one wish willow’, sebelum diiringi bunyi gema tanda hajatnya diterima.

Mungkin dia tidak berfikir semuanya akan jadi nyata, mungkin juga Bear terlupa bahawa ada cerita kononnya ‘Willow’ menjadi perantara alam roh dan dunia seperti dilakukan Orpheus dalam mitos Yunani.

Ketika inilah filem Obsession menyuakan petualangnya, ditulis dan dibikin kemas oleh Curry Barker bagaimana Nikki seperti mempunyai dua roh dalam satu tubuh. Satu, Nikki lama yang terkejut tidak tahu kenapa dia memperlakukan Bear yang dianggap hanya adik seromantis itu.

Kedua, Nikki baru dengan segara kelakuan aneh, seram dan tidak selesa cuba menunjukkan cintanya.

Semakin gila cerita berjalan, semakin kita kasihan rintih Nikki yang melihatnya tubuhnya dikawal sesuatu lain. Sebelum Nikki pindah masuk ke rumah Bear, lelaki itu hanya mencintai Sandy, kucingnya yang mati.

Tapi kita perlahan-lahan melihat ‘Nikki yang baru’ cuba menjadi setiap yang dicintai Bear, termasuklah beberapa adegan meniru gaya seakan Sandy. Walaupun Sandy sudah mati, dia ingin pastikan Bear tidak mengingati Sandy membuatnya mengunyah daging kucingnya sendiri. Sejak itu, saya tidak melihat sandwich dengan cara sama lagi.

Selain makan daging kucing, Obsession memiliki banyak adegan yang diingati, Curry Barker yang bertindak sebagai penulis skrip tunggal sekali gus penyunting bijak membaca bahagian mana yang perlu dipanjangkan untuk membuat penonton menyerap ngilu keanehan sikap Nikki, ketakutan Bear sekali gus kejelikkan kawan-kawan sekitar melihat mereka berdua.

Malah dia bijak meletakkan posisi Nikki yang akan selalu di kiri Bear dalam bingkai manakala Sarah berada di kanan. Kanan adalah tempat di mana ‘kita mencium seseorang yang disayang’, seperti kata Sarah sebelum lumat menjadi ‘ayam geprek’. Anda akan tahu betapa berkesannya adegan itu jika anda menontonnya.

Tapi, di manakah obsesinya? Ketika ramai menyalahkan Nikki sebagai perempuan gila, saya ingin mengajak penonton kembali merenung maksud obses yang bukan diikur dengan seberapa banyak dia suka kamu, tapi seberapa banyak ruang yang dilakukan untuk mengawal kamu.

Dalam Obsession, orang jahat ditunjukkan menerusi Bear, lelaki nampak pemalu, tidak marah, lembut menghadapi konflik tetapi sangat obses terhadap Nikki. Dia mengawal Nikki walau tahu perempuan itu tidak menganggapnya sebagai kekasih, merogolnya bahkan memadam cita-cita Nikki sepatutnya berpindah dari pekan itu. Dia tetap melekat, menyembunyikan Nikki di rumahnya

walaupun perempuan itu merayu agar dirinya dibunuh.

Seperti judulkan, filem ini berjaya membuat jantung berdegup kencang, dengan kesan psiko thriller yang sangat kuat, kemas, dan membekas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN