Nyaris maut tertusuk kayu – Shaharon Anuar - Utusan Malaysia

Nyaris maut tertusuk kayu – Shaharon Anuar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Saya tidak dapat membayangkan apa berlaku sekiranya jatuh satu inci ke hadapan.”

Demikian kata Datuk Shaharon Anuar yang menceritakan semula kejadian yang hampir meragut nyawanya kira-kira 25 tahun lalu.

Kejadian itu berlaku ketika Shaharon bersama beberapa pelakon dan kru menjalani penggambaran Gerak Khas The Movie yang turut dibintangi Erra Fazira, Datuk AC Mizal, Abby Abadi, Datuk Yusof Haslam dan ramai lagi.

Berlokasi di sebuah kawasan hutan di Jalan Gombak Lama, Shaharon tidak menyangka babak kejar mengejar memburu penjenayah bertukar mimpi paling ngeri yang tidak dapat dilupakannya.

“Ketika mengejar penjenayah, kaki saya tersadung akar pokok lalu tersembab ke tanah. Saya bernasib baik kerana jatuh satu inci berdekatan kayu yang telah dicantas.

“Saya mengucap panjang kerana kayu runcing yang tingginya dalam empat inci itu hampir mengena dada saya. Ketika itu Allah SWT menyelamatkan saya,” ceritanya.

Kata Shahron, insiden berkenaan membuatkan dia lebih berhati-hati, apatah lagi menjalani penggambaran dalam kawasan hutan belantara.

“Kawasan hutan ada banyak risikonya. Jadi, kena selalu berhati-hati. Amalkan selalu ayat al-Quran kerana kita tidak dapat menduga apa yang bakal berlaku,” ujarnya.

Shaharon amat sinonim dengan drama dan filem kepolisan lebih-lebih lagi yang dihasilkan Skop Production. Sepanjang pembabitannya dalam dunia lakonan, beliau telah menjayakan kira-kira 10 filem, antaranya Pemburu Bayang, Maria Mariana dan Gerak Khas The Movie.

Selain itu, shaharon turut beraksi dalam drama Metropolitan, Trafik, Roda-Roda Kota Raya, Roda-Roda Kuala Lumpur dan drama terpanjang pernah dihasilkan iaitu Gerak Khas sejak 1998.

“Saya bermula menjadi pegawai polis pada 1984, selepas tamat latihan di Pulapol, saya dihantar ke Sabah. Tujuh tahun kemudian saya pulang ke Cawangan Perhubungan Awam Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, bertugas di bahagian perhubungan awam, menyelia hal ehwal radio dan televisyen.

“Tugas saya adalah berkaitan hal ehwal produksi, di mana memantau dan menyelaras semua penerbitan yang bersangkut paut dengan elemen kepolisan. Saya pastikan semua teratur dan mengikut etika. Sebagai penasihat teknikal, saya perlu hadir ke lokasi penggambaran bagi memastikan lakonan mengikut skrip yang diluluskan.

“Yusof Haslam memaklumkan alangkah lebih elok jika saya sendiri yang menjadi pelakon. Saya tidak boleh membuat keputusan kerana apa sahaja aktiviti perlu mendapat kebenaran jabatan.

“Selepas mendapat lampu hijau, maka bermulalah penglibatan saya sebagai pelakon dengan membuat kemunculan sulung menerusi filem Pemburu Bayang. Tapi, kalau diikutkan, kemunculan pertama saya di kaca televisyen adalah menerusi iklan kereta jenama Toyota Land Cruiser pada 1990. Bangga juga saya kerana terlibat dalam iklan untuk jenama antarabangsa,” ujarnya.

MELAKUKAN PELBAGAI KERJA

Dilahirkan di Taiping, Perak Shaharon dibesarkan dalam keluarga pesawah dengan pendapatan RM2,000 setiap enam bulan.

Beliau sejak sekolah menengah sudah bercita-cita menjadi anggota polis, menyertai kadet polis. Shaharon tertarik dengan pakaian seragam polis serta aktiviti kawatnya.

“Ketika tamat persekolahan di tingkatan enam pada 1981, saya tidak berpeluang menyertai polis kerana pembekuan jawatan kerajaan waktu itu. Jadi, saya mula mencari pekerjaan, pernah bekerja di kilang Sanyo dan getah.

“Sebagai anak pesawah, saya melihat sendiri bagaimana susahnya keluarga kami. Dengan pendapatan yang diperoleh enam bulan sekali, saya tidak sampai hati minta duit dengan ayah kerana dengan gaji RM2,000 itulah, ayah gunakan untuk membayar hutang selain belanja dapur.

“Jadi, sejak sekolah rendah, saya berdikari, melakukan kerja yang mendatangkan wang ringgit seperti membersihkan kebun dan sebagainya.

“Ketika memasuki sekolah menengah, saya mengumpul wang untuk membeli kasut berjenama dengan menjual maggi dan kacang,” katanya.

Penantian Saharon untuk menjadi anggota polis tamat setelah beliau menghadiri temu duga pengambilan pada 1984.

Pada 4 November 1984 bermulalah kerjaya beliau sebagai anggota polis sebelum empat bulan kemudian dipindahkan ke Kota Kinabalu (KK) sebagai pegawai penyiasat.

BANTERAS ROMPAKAN

Sepanjang bertugas di KK, Shaharon terlibat dengan banyak operasi membabitkan pendatang asing, antaranya rompakan berlaku sekitar 1986.

“Kejadian rompakan yang didalangi pekerja tapak pembinaan di KK semakin menjadi-jadi masa itu. Waktu siang mereka bekerja membina bangunan, malamnya melakukan rompakan.

“Saya pernah terlibat dengan operasi tersebut, bertembung dengan penjenayah yang memiliki senjata api.

“Penjenayah ini, dalam usaha melepaskan diri, sanggup melakukan apa sahaja. Tapi akhirnya mereka berjaya diberkas,” katanya.

Kata Saharon, selaku anggota polis, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan keselamatan diri, pasukan dan persekitaran ketika terlibat operasi.

“Jika penjenayah lari ke kawasan penduduk, kena pastikan tiada tembakan peluru sesat dilepaskan,” katanya lagi.

KEMALANGAN 2022

Pada 18 November 2022, telah terjadi satu tragedi kemalangan membabitkan tiga kenderaan jenis Perodua Kancil, Kelisa yang menghentam Proton Perdana.

Shaharon bersama isteri, Nora Maria merupakan penumpang yang dalam Proton Perdana, selain sepasang suami isteri dan dua kanak-kanak yang menaiki Kelisa.

Kejadian yang berlaku di Batu Enam, Jalan Tanjung Tualang Batu Gajah, Perak itu hampir meragut nyawa kesemua yang terlibat.

“Kereta Kelisa yang dirempuh Kancil terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh kenderaan kami. Kami bernasib baik kerana beg udara (airbag) berfungsi dengan baik.

“Kami tidak mengambil masa lama, segera keluar dari kenderaan untuk menyelamatkan mangsa yang menaiki Kancil. Ketika itu tidak terfikir siapa betul dan siapa salah. Kami hanya mahu segera mengeluarkan mangsa kerana terhidu bau petrol. Yang penting mahu selamat,” kongsinya.

Nora tidak mengalami sebarang kecederaan, begitu juga Shaharon yang apabila melakukan pemeriksaan, disahkan berkeadaan baik.

“Dada saya terasa sakit akibat sentapan tali keledar. Namun selepas membuat pemeriksaan di hospital, doktor mengesahkan tidak berlaku sebarang kecederaan dalaman,” kongsinya lagi.

Shaharon bagaimanapun kesal apabila mengetahui seorang penagih dadah yang cuai memandu Kancil menjadi punca kepada kemalangan tersebut.

“Rupanya yang melanggar kereta Kelisa itu adalah Kancil yang dipandu seorang lelaki di bawah pengaruh dadah. Hasil siasatan mendapati pemandu itu mengambil dadah beberapa jam sebelum memandu. Dia tidak sedar apa yang berlaku,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN