Muay Thai aktiviti yang sihat - Jaa Suzuran - Utusan Malaysia

Muay Thai aktiviti yang sihat – Jaa Suzuran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramai mengenali Jaa Suzuran sebagai seorang pelakon dan penyampai radio yang berbakat dan bersahaja. Namun, tidak ramai mengetahui dalam kesibukan menjadi seorang penghibur, dia menyimpan minat mendalam terhadap dunia sukan tempur, khususnya Muay Thai.

Minat itulah yang mendorong Jaa atau Mohammad Faizal Ahmad tampil menggerakkan Fury Championship, sebuah kejohanan sukan tempur yang bukan sahaja menjadi pentas buat atlet tempatan, malah berjaya menarik penyertaan petarung dari beberapa negara luar.

Sebagai Ketua Pegawai Pemasaran, Jaa menyifatkan Fury Championship bukan sekadar sebuah pertandingan, sebaliknya menjadi platform untuk atlet Muay Thai dan tinju tempatan mempunyai ruang mengembangkan bakat serta mencari rezeki melalui sukan yang diceburi.

“Fury ini adalah acara sukan kombat di mana kita menyediakan platform yang terbaik untuk semua atlet-atlet negara kita dan juga petarung antarabangsa datang bertanding.

“Acara yang bakal berlangsung di Karisma Arena, Seremban pada 25 Julai depan itu menampilkan 13 pertarungan. Lebih menarik lagi ada peserta daripada Morocco, Indonesia, Thailand dan juga atlet Malaysia,” katanya kepada Pancaindera.

Menurut Jaa, idea untuk menganjurkan acara itu tercetus apabila rakannya, Wafiy Aan yang juga seorang pelakon mengajaknya merealisasikan impian tersebut memandangkan mereka sama-sama meminati sukan tempur itu.

“Muay Thai ini memang kami minat dari dulu lagi. Kebetulan apabila Wafi cadangkan untuk mengadakan acara sebegini, saya fikir tidak salah untuk mencuba. Alhamdulillah, sekarang ini kamielah mengadakan tiga acara Fury.

“Kalau ada rezeki dan umur panjang, kami mahu buat setahun empat kali sebab di negara kita ramai sangat petarung yang perlukan platform sebegini. Mereka berlatih penat-penat, takkanlah kemahiran itu tidak ditonjolkan di gelanggang,” jelasnya.

Walaupun ramai melihat Muay Thai sebagai sukan yang ganas, Jaa berpendapat persepsi itu tidak tepat kerana seni mempertahankan diri tersebut sebenarnya membawa banyak manfaat kepada pengamalnya.

“Pada pendapat saya, sebagai seorang lelaki, kita sekurang-kurangnya perlu tahu bagaimana mahu pertahankan diri. Andai kata tiba-tiba berlaku benda yang kita tidak jangka, sekurang-kurangnya kita tahu bagaimana mahu bertindak untuk selamatkan diri.

“Bukan bertindak sesuka hati. Apa yang penting adalah Muay Thai ini sebuah aktiviti yang sihat. Sesi latihannya memang boleh buat badan kita kekal cergas. Tidak cepat pancit (mengah), penat, emosi stabil, tidak murung sebab kita sihat. Badan pun cantik,” kongsinya.

Dalam masa sama, pelakon berusia 32 tahun itu menganggap Muay Thai kini berkembang dengan positif dalam kalangan masyarakat lebih-lebih lagi selepas kemunculan atlet negara yang berjaya mencipta nama di pentas antarabangsa.

“Kalau saya tengok, penerimaan Muay Thai sejak dari dulu okey saja. Cuma, sekarang lebih bagus kerana kita ada wakil-wakil negara macam Aliff Rakib dan Jojo Ghazali. Orang yang tidak belajar Muay Thai pun sudah tahu bagaimana mahu tengok sukan ini.

“Lagipun di era yang sering berdepan dengan isu buli ini juga membuka mata ramai orang untuk menyertai aktiviti ini demi mempelajari cara untuk mempertahankan diri.

“Pada saya, wanita juga perlu menyertai aktiviti ini. Ramai wanita belajar Muay Thai untuk kekal sihat. Di luar negara lagi ramai, model yang belajar Muay Thai sebab latihannya buat badan lebih sihat walaupun ia aktiviti yang didominasi oleh kaum lelaki,” katanya lagi.

Dalam keterujaan mempelajari seni mempertahankan diri, Jaa mengingatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan kemahiran yang dimiliki hanya kerana ingin menunjukkan kehebatan.

Jaa berpendapat, petarung profesional memahami bahawa seluruh anggota badan mereka boleh menjadi senjata, justeru mereka tidak akan sewenang-wenangnya menggunakan kemahiran tersebut.

“Saya nasihatkan apabila kita sudah mempunyai ilmu seni mempertahankan diri, kita perlu merendah diri. Makin tinggi ilmu kita dapat, makin rendah kita kena tunduk.

“Pada saya, semakin pandai seorang petarung itu, makin susah mereka angkat tangan sebab mereka tahu semua anggota badan mereka adalah senjata. Petarung yang sebenar akan bijak mengawal emosi.

“Kalau sekadar baru belajar dua atau tiga hari belajar Muay Thai sudah ajak bergaduh dengan semua orang. Itu maksudnya dia ‘jakun’,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN