KUALA LUMPUR: Pelakon, Meerqeen terpaksa mengetepikan prinsipnya untuk tidak membintangi karya bergenre seram sehingga adiknya berusia 10 tahun selepas menerima tawaran menjayakan drama terbaharu, Dia Perempuan Sialan.
Pemilik nama lengkap Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam, 25, berkata, dia hanya menyedari drama berkenaan mempunyai elemen seram ketika menghadiri sesi bacaan skrip bersama barisan pelakon.
“Saya memang sudah menetapkan prinsip untuk tidak berlakon dalam karya bergenre seram sehingga adik saya berusia 10 tahun. Sekarang dia baru berusia lima tahun.
“Saya pula hanya tahu drama ini bergenre seram ketika sesi bacaan skrip bersama pelakon lain. Saya sebenarnya tidak mahu apa-apa perkara yang tidak diingini berlaku kepada adik saya,” katanya.
Bagaimanapun, Meerqeen berkata, perkara itu tidak menghalangnya daripada menggalas tanggungjawab yang diberikan dan berusaha memberikan lakonan terbaik.
“Bagi saya, tanggungjawab tetap tanggungjawab. Mahu atau tidak, saya perlu melaksanakannya dengan penuh ikhlas,” ujarnya.
Mengulas langkah berjaga-jaga yang diambil sepanjang menjalani penggambaran, Meerqeen berkata, dia sentiasa memastikan dirinya berada dalam keadaan bersih sebelum pulang ke rumah, terutama kerana mempunyai adik yang masih kecil.
Menurutnya, beberapa babak yang menjalani penggambaran di Pulau Carey turut memerlukan barisan pelakon dan kru bermalam di lokasi, malah ada sesi yang berlarutan sehingga awal pagi.
“Ada babak di Pulau Carey yang menyebabkan kami terpaksa bermalam di sana dan penggambaran pula ada kalanya berlarutan sehingga pagi.
“Saya ada adik kecil, jadi saya perlu bersihkan diri terlebih dahulu sebelum masuk ke rumah,” katanya.
Dalam pada itu, Meerqeen tidak berselindung mengakui dirinya seorang yang penakut dan memilih untuk tidak menonton karya bergenre seram.
“Saya memang paling penakut. Sudah tentu watak ini sangat mencabar bagi saya, tetapi bukan drama ini sahaja, semuanya adalah satu cabaran buat saya.
“Bagi saya, manusia mungkin lebih berbahaya secara fizikal, tetapi dari sudut nurani, hantu lebih menakutkan.
“Saya berkata begitu kerana tidak pernah mempunyai pengalaman melihat hantu, tetapi pernah berdepan dengan pelbagai ragam manusia,” katanya.
Selain Meerqeen, Dia Perempuan Sialan arahan Erma Fatima turut dibintangi Hannah Delisha dan Caitlin Halderman serta beberapa pelakon lain.
Drama berkenaan dijadualkan menemui penonton pada September menerusi platform Viu.










