Marzella Sigai anggap kerjaya lakonan hanya sambilan, letak bidang pemberitaan kerja hakiki - Utusan Malaysia

Marzella Sigai anggap kerjaya lakonan hanya sambilan, letak bidang pemberitaan kerja hakiki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon baharu drama Gerak Khas 2.0, Marzella Sigai, mendedahkan penglibatannya dalam dunia lakonan hanyalah sekadar memenuhi tanggungjawab sambilan, manakala kerjaya sebagai pembaca berita tetap menjadi keutamaan hakikinya.

Marzella berkata, setiap keputusan untuk kembali ke set penggambaran perlu difikirkan secara mendalam kerana komitmen masa harus dibahagikan secara seimbang.

“Saya masih lagi bekerja sebagai pembaca berita kerana itu merupakan kerja hakiki saya, manakala bidang lakonan ini hanyalah kerja sambilan dengan memegang watak pembantu sahaja. Sekiranya ada tawaran berlakon lagi selepas ini, saya tidak tahu dan perlu melihat kepada keadaan terlebih dahulu.

“Saya perlu berfikir panjang kerana saya perlu membahagikan masa dengan bijak sama ada mampu atau tidak untuk mengendalikan kedua-duanya sekali. Saya juga sudah berkeluarga dan mempunyai anak yang perlu dijaga, jadi komitmen tersebut amat penting untuk dipertimbangkan,” katanya.

Marzella berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui semasa sidang media Gerak Khas 2.0, di ibu negara, pada Rabu.

Sementara itu, menyentuh mengenai kelancaran bertutur dalam dialek Melayu Sarawak bagi menjayakan skrip drama berkenaan, Marzella menjelaskan kelebihan tersebut diperoleh hasil pengalamannya bersekolah di Sarawak.

Walaupun dilahirkan di Melaka dan dibesarkan di sana selama 17 tahun kerana mengikut bapanya yang berkhidmat sebagai anggota tentera, dia mula mempelajari bahasa Melayu Sarawak dan bahasa Iban selepas tamat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Keluarga saya berpindah ke Sarawak selepas saya menamatkan persekolahan di peringkat SPM dan saya menyambung pengajian tingkatan enam di sana. Ketika belajar untuk menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di sekolah tersebut, saya mula belajar untuk bertutur dalam bahasa Melayu Sarawak dan bahasa Iban.

“Di rumah, kami memang menggunakan bahasa Melayu semenanjung tetapi pergaulan di sekolah menyebabkan saya mahir bercakap campur-campur. Pengalaman sejak zaman sekolah itulah yang membantu saya menguasai dialek tempatan dengan baik sehingga ke hari ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Gerak Khas 2.0 diterbitkan oleh Sarawak Media Group (SMG) dan Skop Productions di bawah arahan Datuk Dr Yusof Haslam serta bakal menemui penonton bermula 3 Julai ini, setiap Jumaat, jam 8.30 malam secara eksklusif di TVS.

Untuk rekod, Marzella merupakan pembaca berita di TVS yang berbangsa Iban dan memiliki Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran) dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN