PETALING JAYA: Pernah melalui tempoh sukar apabila hampir lapan bulan tidak menerima sebarang tawaran lakonan, pelakon Jay Iswazir kini memilih untuk menjadikan episod hitam yang melanda kehidupannya sebagai pengajaran untuk meneruskan langkah dalam industri seni.
Jay atau nama sebenarnya Ahmad Iswazir Ismail, 44, berkata, kontroversi yang berlaku tahun lalu sememangnya memberi kesan terhadap kerjayanya, namun dia enggan terus dibelenggu kisah lama.
Menurutnya, pengalaman tersebut banyak mengajarnya untuk menerima ketentuan dan memperbaiki diri menjadi insan yang lebih baik.
“Ketika itu memang saya rasa sangat terkesan apabila periuk nasi turut terjejas. Tetapi saya sentiasa diingatkan supaya berdamai dengan takdir.Mungkin ada kesalahan yang perlu saya pelajari supaya dapat menjadi manusia lebih baik. Apa yang berlaku kepada saya tahun lalu memang sedikit sebanyak menjejaskan kerjaya.
“Namun, sekarang saya sudah kembali dan Alhamdulillah berada dalam keadaan yang membolehkan saya bangkit semula kerana dikelilingi individu yang memberikan energi positif,” katanya.
Jay berkata demikian ketika ditemui selepas selesai pementasan teater Tarik Picu di Bandar Utama, semalam.
Mengimbas tempoh sukar itu, Jay mengakui hampir lapan bulan tidak menerima sebarang tawaran membabitkan drama televisyen mahupun filem.
“Untuk televisyen dan filem, hampir lapan bulan saya tidak mempunyai kerja. Memang langsung tiada tawaran ketika itu. Namun selepas itu, Alhamdulillah Allah membuka pintu rezeki apabila saya menerima tiga tawaran untuk beraksi dalam pementasan teater,” katanya.
Dalam pada itu, Jay menjelaskan dia tidak pernah menerima sebarang surat rasmi yang memaklumkan dirinya disenarai hitam atau ‘digam’ daripada industri seni.
Bagaimanapun, dia mula menyedari kemungkinan itu selepas beberapa karya lakonannya dikatakan hampir ditarik daripada tayangan.
“Secara rasmi memang tiada surat atau sebarang pemberitahuan. Tetapi apa yang saya tahu, ada karya yang sudah saya siapkan hampir ditarik balik daripada ditayangkan. Disebabkan itu, saya merasakan keadaan tersebut seolah-olah saya ‘digam’. Ketika itu saya sendiri tidak tahu apa yang boleh dilakukan, tetapi Alhamdulillah sekarang saya sudah okey,” katanya.
Kini, Jay kembali aktif dalam bidang seni dan bersikap terbuka untuk mempertimbangkan sebarang tawaran lakonan yang menarik.
Tahun lalu, nama Jay menjadi perhatian selepas terpalit kontroversi berkaitan rumah tangganya bersama bekas isteri, Azzahra Ahmad.
Untuk rekod, pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada Mac 2022 sebelum sah bercerai pada 28 Oktober 2024.










