Siapa sangka, kebolehan bertutur dalam bahasa Mandarin sejak kecil akhirnya membuka jalan luas buat penyanyi dan komposer, Firdhaus Farmizi, 27, mencipta nama dalam pasaran muzik berbahasa Mandarin.
Bukan sekadar mampu bertutur dengan fasih, latar belakang pendidikan Firdhaus di sekolah aliran Cina serta lingkungan persahabatannya yang majoritinya berbangsa Cina menjadikan bahasa Mandarin begitu dekat dengan kehidupan sehariannya.
Daripada menulis lagu berbahasa Mandarin supaya dapat difahami rakan-rakan sekolah, karya Firdhaus perlahan-lahan mendapat tempat di hati pendengar dan peminat berbangsa Cina.
Sambutan terhadap lagu-lagunya bukan sahaja membuka ruang untuk Firdhaus membina kelompok peminat tersendiri, malah membawanya berulang-alik ke China bagi memenuhi undangan persembahan.
Selain China, dia turut menerima undangan mengadakan persembahan di Taiwan, Singapura dan Hong Kong, sekali gus membuktikan karya anak muda tempatan itu mampu merentasi sempadan bahasa dan negara.
Kejayaan Firdhaus membina nama dalam pasaran muzik berbahasa Mandarin menyebabkan masih ramai yang menyangka dia menetap dan membina kerjaya sepenuhnya di China.
“Sejak berusia 20 tahun dan menghasilkan lagu pertama, saya memang memulakan perjalanan seni dengan karya berbahasa Mandarin.
“Saya mendapat pendidikan di tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah aliran Cina. Disebabkan persekitaran kehidupan dan pendidikan saya ketika itu, penggunaan bahasa Mandarin memang sangat dekat dengan kehidupan saya.
“Apabila mula menulis lagu pula, kebanyakan rakan saya berbangsa Cina. Kalau saya menghasilkan lagu dalam bahasa Melayu atau Inggeris, mungkin mereka tidak memahami sepenuhnya apa yang mahu saya sampaikan. Jadi, saya mula menulis lagu dalam bahasa Mandarin dan dengan izin Tuhan, perjalanan yang bermula secara sederhana itu akhirnya membawa saya sehingga ke tahap sekarang,” katanya.
Menurut Firdhaus, keputusannya menghasilkan lagu berbahasa Mandarin bukan strategi yang dirancang untuk menembusi atau menguasai pasaran muzik tertentu.
Sebaliknya, semuanya berlaku secara semula jadi berdasarkan latar belakang pendidikan, lingkungan persahabatan serta keadaan ketika dia mula berjinak-jinak dalam bidang penciptaan lagu.

BE LIKE WATER
Perjalanan seni yang bermula secara sederhana itu kini membawa Firdhaus ke satu lagi pencapaian yang tidak pernah berani diimpikannya apabila berpeluang berdiri sebaris dengan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi buah tangan terbaharunya, Be Like Water.
Lebih manis, kerjasama tersebut bukan terjadi dalam sekelip mata. Hampir dua tahun Firdhaus menunggu sebelum impian itu akhirnya menjadi kenyataan.
“Kalau ditanya sama ada pernah membayangkan perkara ini akan berlaku, jawapan saya memang tidak pernah. Semuanya bermula kira-kira dua tahun lalu ketika kami berada di acara Cuckoo Utopia. Ketika itu kali pertama saya bertemu dengan pengasasnya, KC Hoe.
“Semasa berada di belakang pentas, beliau datang kepada saya dan mencadangkan supaya kami menghasilkan sebuah lagu yang membolehkan saya berduet dengan Siti. Dari situlah perancangan tersebut bermula.
“Namun, kami perlu menunggu hampir dua tahun untuk merealisasikannya. Alhamdulillah, tahun ini akhirnya saya berpeluang menyanyikan Be Like Water bersama Tokti. Saya sangat bersyukur kerana perjalanan yang mengambil masa panjang itu akhirnya menjadi kenyataan,” katanya.
Mengulas proses menghasilkan Be Like Water, Firdhaus berkata, dia pada awalnya tidak memikirkan siapa yang bakal menyanyikan lagu tersebut.
Malah, ketika mencipta karya berkenaan, dia juga tidak menetapkan sama ada lagu tersebut akan dinyanyikan secara solo, duet atau diberikan kepada penyanyi lain.
“Selepas lagu itu siap, saya menghantar demo kepada pihak label. Namun, respons yang saya terima ketika itu agak biasa sehingga membuatkan saya sendiri mula berasa gementar dan tertanya-tanya sama ada lagu tersebut benar-benar cukup baik.
“Kemudian saya pergi ke rumah Siti dan memperdengarkan demo lagu itu di hadapan beliau dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa. Saya masih ingat betapa gementarnya saya ketika menyanyikan lagu tersebut.
“Selepas selesai menyanyi, Siti terus memberitahu bahawa beliau menyukai lagu itu. Ketika itu saya benar-benar gembira dan lega kerana penerimaannya terhadap karya tersebut sangat positif,” katanya.










