SHAH ALAM: Kumpulan muzik popular tanah air, KRU bakal mengembangkan legasi mereka dalam bidang perniagaan makanan dan minuman (F&B) menerusi pembukaan KRU Café di Aneka Walk di sini pada suku ketiga tahun ini.
Kafe berkonsepkan muzik dan hiburan itu dibangunkan menerusi kerjasama KRU, Sony Music Entertainment Malaysia Sdn. Bhd., Babah Ventures Sdn. Bhd. (BBV) dan TMG Ventures Sdn. Bhd. (TMGV).
Pembukaan KRU Café menyusul kejayaan siri konsert KRU di Malaysia dan Singapura selain peningkatan semula populariti lagu-lagu kumpulan berkenaan di platform penstriman digital.
KRU yang dianggotai tiga beradik, Datuk Norman Abdul Halim, Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim melihat perkembangan itu sebagai peluang untuk menyediakan sebuah platform baharu bagi meneruskan hubungan dengan peminat di luar pentas konsert.
KRU Café akan mengetengahkan konsep restoran bertemakan perjalanan muzik kumpulan tersebut dengan menggabungkan elemen nostalgia, hiburan, persembahan muzik dan pengalaman interaktif untuk peminat.
Pada masa sama, kafe berkenaan dijangka menjadi platform untuk mencungkil dan mengetengahkan bakat baharu menerusi persembahan muzik, kolaborasi kreatif serta pelbagai aktiviti komuniti.
Pengarah Urusan Sony Music Malaysia, Kenny Ong berkata, projek berkenaan membuka peluang untuk memperluaskan hubungan KRU dengan peminat menerusi pengalaman gaya hidup yang lebih menyeluruh.
“Perkara paling menarik ialah peluang untuk mengembangkan hubungan KRU dengan peminat melangkaui muzik kepada satu pengalaman gaya hidup yang lebih imersif.
“KRU Café adalah mengenai usaha menghidupkan legasi mereka dengan cara yang segar dan menarik, sekali gus membolehkan peminat berhubung dengan muzik, kenangan dan semangat KRU dalam suasana baharu,” katanya.
Di bawah kerjasama tersebut, TMGV akan bertanggungjawab membangunkan dan menyusun keseluruhan penawaran makanan dan minuman KRU Café.
Kumpulan hospitaliti yang turut membangunkan jenama restoran The Majapahit itu akan menyediakan menu berasaskan gabungan cita rasa Asia Tenggara dan hidangan Barat popular termasuk sajian panggang premium serta stik.
Sementara itu, BBV akan bertindak sebagai rakan strategik bagi aspek operasi dan pengembangan perniagaan KRU Café.
Syarikat yang diasaskan bersama pelawak dan penyampai radio, Ajak Shiro itu merupakan pengendali jenama restoran Bumbu Babah yang kini mempunyai hampir 60 cawangan di seluruh negara.
Norman berkata, pencapaian BBV mengembangkan Bumbu Babah dalam tempoh kurang dua tahun memberi keyakinan terhadap potensi KRU Café untuk diperluaskan ke lokasi lain pada masa depan.
“Kami yakin sekiranya cawangan pertama menerima sambutan seperti yang dijangkakan, KRU Café mempunyai potensi besar untuk berkembang ke seluruh Malaysia,” katanya.
Edry pula berkata, pembukaan kafe berkenaan merupakan satu lagi usaha KRU untuk terus menghargai sokongan peminat yang bersama mereka sepanjang beberapa dekad.
“KRU Café merupakan satu lagi cara untuk kami terus berhubung dengan peminat sambil mencipta pengalaman yang lebih bermakna bersama,” katanya.
Menurut Yusry, KRU Café juga diharapkan dapat memainkan peranan sebagai platform pembangunan bakat baharu dalam industri kreatif.
“Lebih daripada sekadar sebuah tempat makan, kami membayangkan kafe ini sebagai ruang yang menghidupkan persembahan muzik, kolaborasi kreatif dan pelbagai aktiviti komuniti,” katanya.
Dalam pada itu, Ajak berkata, pihaknya tidak mengambil masa lama untuk bersetuju menyertai projek tersebut selepas menerima pembentangan daripada Sony Music Malaysia.
“Merupakan satu penghormatan besar buat kami untuk bekerjasama dengan KRU. Mereka ialah legenda negara dan antara artis muzik paling berpengaruh yang pernah dilahirkan Malaysia.
“Kami teruja untuk menggabungkan legasi mereka dengan pengalaman kami dalam membangunkan dan mengendalikan jenama restoran,” katanya.
Cawangan pertama KRU Café akan beroperasi di Aneka Walk, Shah Alam, sebuah pembangunan gaya hidup dan ruang komuniti yang dibangunkan PKNS sebagai destinasi makanan, budaya, hiburan serta aktiviti masyarakat.
Kafe berkenaan dijangka menawarkan gabungan pengalaman menjamu selera, muzik, persembahan secara langsung, elemen nostalgia dan aktiviti interaktif kepada pengunjung.










