Korban karier demi anak istimewa - Utusan Malaysia

Korban karier demi anak istimewa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELAKON, Ainina Ahmad B reda dan sudah lebih awal bersedia untuk menerima hakikat anak istimewanya, Nur Ara Elisha akan menghembuskan nafas terakhir Sekitar Jun tahun lepas.

Lebih-lebih lagi apabila doktor memberitahu pembedahan tulang belakang yang dilakukan Nur Ara Elisha sebelum itu menghadirkan pelbagai komplikasi termasuk kekurangan oksigen untuk sampai ke paru-paru akibat himpitan organ tersebut.

Berlapang dada dengan ujian yang diturunkan, Ainina mengumpul kembali semangat yang hilang akibat kehilangan orang tersayang dan terjun semula ke dunia lakonan selepas 13 tahun menyepikan diri kerana menjaga Nur Ara Elisha.

Ikuti perkongsian Ainina sepanjang membesarkan arwah anaknya sehingga Nur Ara Elisha menghembuskan nafas yang terakhir.

Tentunya Ainina sunyi selepas ketiadaan arwah?
Memang sunyi. Bila dia sudah tiada, amat terasa ketiadaannya. Selama 16 tahun saya membesarkannya, cukup terasa.

Apakah momen paling bermakna sepanjang menjaga arwah?
Malam sebelum dia pergi, saya bangun mendirikan solat Tahajud. Saya berdoa kepada Allah, sekiranya itu adalah malam terakhirnya, ambillah dia dalam tenang di hadapan saya.
Keesokannya, saya sempat melafazkan ayat terkahir iaitu ‘adik, jangan paksa diri, ibu reda adik pergi, kita jumpa di Syurga’, dia pergi dalam tenang depan mata saya.

Adakah disebabkan arwah juga Ainina korbankan keinginan berkahwin lagi?
Ya, Kerana dia saya tidak berumah tangga lagi. Saya tak mahu orang lain masuk ke dalam kehidupan saya disebabkan dia ada bersama saya.

Apakah hikmah disebalik pengorbanan Ainina meninggalkan kerjaya demi anak tersayang ini?
Saya terpaksa tinggalkan sekejap dunia lakonan untuk menjaga dia. Saya tak terkilan kerana Tuhan bagi peluang menjaga dia. Saya dapat meluangkan banyak masa bersama dia sehingga ke akhir hayatnya. Alhamdulillah.

Dari mana Ainina mendapat kekuatan itu?
Terus terang saya katakan, sukar menjaga anak istimewa ini. 16 tahun dia bersama saya, dialah peneman, yang tidur dan bangun disamping saya. Jadi saya tahu betapa mencabar menjaga anak istimewa ini.

Adakah Ainina menggunakan khidmat pembantu sepanjang menguruskan anak istimewa ini?
Dia anak saya, saya nak jaga dengan tangan saya sendiri meskipun sedari arwah kecil, saya ada pembantu rumah. Tapi saya tidak serahkan tugas menjaga Nur Ara Elisha kepada pembantu, Saya fokus kepada menjaga dia, sementara kerja rumah diuruskan pembantu.

Apa saranan Ainina buat golongan ibu yang hampir berputus asa menjaga anak istimewa?
Kepada golongan ibu, jangan runsing jika terpaksa meninggalkan karier semata-mata menjaga anak istimewa. Itu saham akhirat kita. Teruskan, dan banyakkan bersabar.

Jadi, tahun ini nampaknya Ainina sudah terbuka untuk menerima tawaran berlakon?
Alhamdulillah, 2026 adalah tahun kepulangan saya dalam dunia lakonan. Agak lama saya tidak aktif berlakon, ini semua kerana fokus menjaga arwah. Sebelum ini saya tidaklah tinggalkan dunia lakonan secara total, sekali sekala ada juga mengambil tawaran, tapi saya pilih-pilih juga.

Apa yang menyebabkan Ainina terpaksa memilih tawaran lakonan?
Semuanya bergantung kepada rakan serumah saya yang saya harapkan untuk menjaga arwah anak sekiranya saya bekerja. Jika dia berkelapangan saya tinggalkan anak dengan dia, kalau tidak saya terpaksa menolak tawaran.

Bagaimana hubungan dengan bekas suami, Rahmad Mega?
Alhamdulillah kami baik. Dia juga terkesan dengan pemergian arwah sebab hubungan mereka terlalu rapat. Apa pun kami tetapkan untuk dahulukan anak-anak. Tidak ada langsung timbul soal cemburu. Saya mahu anak-anak rasa kasih saya kedua ibu bapa mereka. Sebab itu kami sentiasa meluangkan masa bersama, keluar makan bersama untuk mereka.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN