Konsert ikonik di malam ‘Black Friday’ - Utusan Malaysia

Konsert ikonik di malam ‘Black Friday’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INSIDEN gangguan bekalan elektrik besar-besaran pada 3 Ogos 1996 yang melanda seluruh semenanjung Malaysia menjadi antara titik bersejarah yang paling diingati masyarakat negara ini.

Kejadian itu, yang dianggap sebagai ‘Black Friday’, berlaku kira-kira 12 jam melumpuhkan pusat bandar Kuala Lumpur, mengganggu operasi kilang, mencetuskan kesesakan trafik yang teruk serta menyebabkan kerugian ratusan juta ringgit.

Pada tarikh itu juga berlangsungnya The Grand Slam Unplugged, konsert sulung kumpulan Slam yang berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur..

Gitaris kumpulan Slam, Shah Nizam Abdul Halim atau Shah Slam Mengimbau kembali detik bersejarah tersebut yang masih diingatinya sehingga ke hari ini.

“Slam pada waktu itu sedang giat membuat persiapan menjelang konsert yang diadakan pada sebelah malam. Pada waktu pagi melakukan sound check yang hanya selesai pada petangnya.

Kemudian di saat kami pulang ke hotel untuk membuat persiapan, tiba-tiba, sekitar pukul 6 petang, seluruh hotel mengalami gangguan bekalan elektrik.

“Kami sangkakan hanya hotel itu yang mengalami gangguan elektrik.Iyalah, waktu itu belum ada media sosial seperti hari ini. Jadi, kami tidak tahu apa sebenarnya berlaku.
“Jadi, kami teruskan membuat persiapan. Setibanya kami di Stadium Merdeka, kami hairan kerana keadaan stadium itu panas dengan lampu yang tidak menyala. Kami dimaklumkan Stadium Merdeka juga mengalami gangguan yang sama.

“Pihak stadium mencadangkan agar penganjur menghubungi pemilik penjana elektrik (generator) yang terletak di belakang stadium bagi memohon keizinan untuk menyalurkan bekalan tenaga ke seluruh dewan. Namun pemilik tersebut tidak dapat dihubungi, justeru penganjur tidak mempunyai cara lain selain memecahkan kunci generator tersebut untuk menyambung bekalan ke dalam dewan.

“Keadaan itu membuatkan konsert kami tertangguh selama beberapa jam sehingga elektrik berjaya disambung ke seluruh dewan sekitar pukul 9 malam,” katanya.

Shah dalam pada itu, terkejut dengan pertambahan jumlah penonton, dengan ada yang berpakaian sukan memenuhi ruang stadium ketika itu.

“Jumlah penonton meningkat kepada 4,000 orang dengan sebahagiannya merupakan penyokong pasukan bola sepak Kedah lengkap berpakaian jersi yang berpindah ke konsert kami kerana Piala Malaysia ketika itu dibatalkan akibat ketiadaan elektrik di Stadium Negara,” ceritanya.

Shah memaklumkan mereka hanya mengetahui ketiadaan elektrik itu pada keesokan harinya di mana insiden tersebut dilaporkan di dada akhbar.

“Trafik menjadi sesak kerana lampu isyarat tidak berfungsi ditambah dengan keadaan jalan yang gelap kerana lampu di sepanjang laluan pulang tidak menyala.

“Saya tiba di rumah sekitar pukul 3 pagi. Ketiadaan elektrik disangkakan hanya memberi kesan kepada kawasan sekitar sahaja. Namun pada keesokan harinya barulah kami diberitahu seluruh semenanjung terputus bekalan elektrik,” kongsinya.

Shah bagaimanapun menarik nafas lega kerana konsert sulung Slam berjalan lancar meskipun dengan sambungan bekalan elektrik yang di tahap minimum.

“Yang kami risaukan adalah pendingin hawa tidak berfungsi kerana keadaan stadium yang tertutup. Namun disebabkan penjana yang menyalurkan bekalan elektrik ke dalam dewan itu membolehkan penonton dapat menonton persembahan kami dengan selesa meskipun lampu pentas tidak berfungsi sepenuhnya,” ujarnya lagi.

MENYANYI DALAM KESAKITAN

“Zamani menyanyi dalam kesakitan kerana jari tangannya tersepit pada pintu kenderaan.”

Itu kejadian antara yang tidak dapat dilupakan ketika kumpulan Slam diundang membuat persembahan di Sabah satu ketika dahulu.

“Ketika kejadian, kesemua anggota Slam berpusu-pusu masuk ke dalam van yang membawa kami ke lokasi persembahan.

“Namun, malang menimpa Zamani apabila jarinya tersepit pada pintu van, mengakibatkan dia meraung sekuat hati kerana kesakitan.

“Disebabkan itu kami terpaksa singgah ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan buat Zamani. Namun persembahan tetap diteruskan dengan jari Zamani yang tersepit tadi berbalut kain. Insiden itu menjadi bahan lawak dalam kalangan kami,” katanya.

KREATIVITI PEMINAT

Sepanjang perbualan kami, Shah sempat berkongsi pengalaman menerima surat serta hadiah yang kebanyakannya dihasilkan sendiri oleh peminat.

Shah berkata, usaha peminat yang menghasilkan sendiri setiap hadiah itu wajar dihargai dan dikenang sampai ke hari ini.

“Van yang dinaiki kami akan penuh dengan topi, cawan, baju yang tertera nama ahli kumpulan Slam dan bermacam lagi hadiah yang dihasilkan peminat.

“Setiap hadiah yang diberikan peminat cukup istimewa buat kami kerana hasil kreativiti mereka itu kami kenang sampai sekarang.

“Namun paling kami hargai adalah sahabat yang kami kenal sepanjang bergelar artis, yang datang daripada pelbagai latar belakang umur dan kehidupan. Itu merupakan hadiah paling bernilai buat kami,” katanya.

KEKAL 30 TAHUN

Slam wajar dijadikan contoh dan teladan kerana kumpulan ini berjaya mengekalkan hubungan baik antara ahlinya selama tiga dekad tertubuhnya kumpulan ini.

Mengulas tentang rahsia persahabatan yang kekal utuh selama 30 tahun, Shah memaklumkan minat yang sama selain hala tuju yang tidak jauh berbeza menjadikan hubungan mereka berkekalan.

“Sejak penubuhan Slam lagi, kami tahu apa tujuan kami bermain muzik. Kami bermuzik bukan sekadar hobi atau minat, tetapi untuk menjadikan minat kami ini sebagai kerjaya.

“Saya sentiasa ingatkan anggota Slam jika berlaku perselisihan faham haruslah ia diselesaikan secara berdepan. Jika ada rasa tidak puas hati, elok berterus terang, jangan simpan atau bercakap di belakang.

“Bukan kami ini tidak pernah bergaduh, banyak kali kami berselisih faham. Namun ia sekadar dalam studio, tidak pernah dibawa keluar. Pada masa sama, elakkan meluahkan rasa geram di belakang ahli.

“Lagi satu, kerana minat kami yang sama iaitu bermain muzik dan matlamat untuk memberikan yang terbaik kepada peminat setiap kali persembahan.

“Peminat inginkan pengalaman jadi kami berikan menerusi persembahan,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN