PETALING JAYA: Pelakon, Sheera Iskandar terkilan apabila nama sahabat baiknya yang juga pelakon drama bersiri Gerak Khas 2.0, Salina Saibi, sewenang-wenangnya dipetik dan dikaitkan dengan kes penyalahgunaan dadah yang tular baru-baru ini.
Sheera atau Tengku Shaheera Ilani Tengku Iskandar Putra, 41, berkata, tuduhan terbabit adalah tidak berasas memandangkan Salina langsung tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kes jenayah tersebut.
Menurut anak kepada pelakon veteran Aznah Hamid ini, nama baik rakannya itu terpalit secara tidak sengaja berikutan kecenderungan khalayak mengaitkan kes tersebut dengan watak pegawai polis yang sinonim dengan Salina sebelum ini.
“Saya berasa sangat kasihan dan tidak seronok apabila rakan saya yang langsung tidak ada kena-mengena dalam isu ini dipetik nama oleh orang ramai sehingga menimbulkan teka-teki serta tuduhan melulu. Orang ramai terus menuduh Salina Saibi yang terlibat disebabkan mereka sering membayangkan watak pegawai polis yang dibawa olehnya sebelum ini.
“Semalam saya ada pergi ke set penggambaran dan dapat melihat Datuk Yusof Haslam berada dalam keadaan agak kusut dan Salina pula kelihatan tertekan akibat situasi tersebut. Saya cuba menukar topik perbualan lain untuk menghiburkan mereka dan menenangkan Salina supaya dia tidak berasa serabut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Sheera menjelaskan bahawa setiap pelakon yang membawa watak anggota polis perlu memikul tanggungjawab besar untuk menjaga imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, pihak PDRM sememangnya membuat semakan latar belakang yang ketat sebelum membenarkan pelakon memakai uniform rasmi, namun apa yang berlaku di luar set penggambaran adalah atas tanggungjawab diri sendiri.
“Pihak PDRM memang akan menyemak latar belakang pelakon terlebih dahulu sebelum membenarkan kami menggunakan logo dan imej uniform yang betul tanpa perlu diubah untuk drama terbitan Skop Productions. Bagaimanapun, selepas selesai sesi penggambaran, segala perbuatan adalah atas amanah dan tanggungjawab diri masing-masing untuk menjaga nama baik itu.
“Bila perkara sebegini terjadi, sudah tentu ia memberi kesan kepada produksi yang selama ini sudah menjaga reputasi cemerlang Gerak Khas untuk tempoh yang sangat lama. Saya sendiri pada mulanya bimbang jika nama saya turut dipetik oleh netizen sedangkan saya sedang berehat di rumah,” ujarnya.
“Nasihat saya kepada pelakon baharu, tidak semestinya apabila memegang watak polis sahaja kita perlu menjaga tingkah laku tetapi dalam apa jua peranan pun disiplin mesti diutamakan. Sebaik sahaja kita bergelar artis, kita sudah menjadi tumpuan masyarakat dan perlu mengelak daripada melakukan perkara yang pelik atau bukan-bukan,” katanya.
Sheera berkongsi perkara berkenaan susulan kes seorang pelakon wanita yang membintangi drama kepolisan terkenal ditahan selepas disyaki positif dadah jenis methamphetamine di sebuah pusat hiburan di ibu negara baru-baru ini.
Pelakon wanita terbabit dilaporkan ditahan bersama-sama 17 individu yang lain ketika satu serbuan khas dijalankan oleh pihak Ibu Kejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Untuk rekod, Sheera Iskandar merupakan antara pelakon wanita utama yang cukup sinonim dengan drama kepolisan Gerak Khas menerusi watak sebagai Inspektor Sheera.










