Jika Alpha buka ahli baharu pun, saya tidak akan sertai - Haikal Farid - Utusan Malaysia

Jika Alpha buka ahli baharu pun, saya tidak akan sertai – Haikal Farid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Haikal Farid menegaskan bahawa dia tidak berhasrat untuk menyertai kumpulan Alpha sekiranya kumpulan itu membuka peluang untuk menambah ahli baharu.

Haikal atau Mohammad Haikal Farid Rizal, 27, berkata, kumpulan berkenaan sudah berada pada tahap terbaik dan tidak memerlukan sebarang penambahan anggota lain untuk melengkapkan kejayaan mereka.

“Sekiranya Alpha terbuka untuk menerima ahli baharu, saya rasa saya tetap tidak akan menyertai mereka. Saya berpendapat bahawa barisan anggota mereka yang sedia ada ketika ini sudah cukup sempurna.

“Mereka semua sangat bagus. Jadi, jawapan saya tetap tidak kerana mereka sudah berada dalam keadaan yang sangat baik,” katanya.

Haikal berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui semasa sidang media Majlis Pelancaran Single dan Muzik Video Rasmi Aku Klasik di Redbox Plus, The Exchange TRX, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai kegagalannya dalam uji bakat terdahulu, Haikal mendedahkan pengalamannya menyertai sesi pemilihan kumpulan Alpha yang terhenti di peringkat ketiga disebabkan faktor vokal.

Kegagalan tersebut bagaimanapun tidak mematahkan semangatnya, sebaliknya mematangkan dirinya untuk fokus kepada penghasilan karya mengikut acuan sendiri.

“Saya sebenarnya pernah menghadiri uji bakat untuk kumpulan Alpha itu dan berjaya melangkah sehingga ke peringkat ketiga. Bagaimanapun, salah seorang juri menyatakan suara saya tidak sesuai untuk pertandingan dan situasi itu sering saya lalui setiap tahun.

“Disebabkan itu, saya menganggap suara saya ini hanya sesuai untuk merakam lagu sendiri dan ditujukan khas buat peminat yang menghargai muzik saya sahaja,” ujarnya.

Untuk rekod, Haikal Farid merupakan penyanyi yang mula dikenali menerusi pertandingan nyanyian, Immortal Songs pada tahun 2020.

Alpha pula merupakan sebuah kumpulan vokal lelaki tempatan yang ditubuhkan menerusi satu program pencarian bakat, Big Stage Alpha, bagi mengetengahkan konsep muzik pop moden di Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN