KUALA LUMPUR: Penerbit drama, Jaja Ishak mengakui lebih selesa menghasilkan naskhah berteraskan kemasyarakatan dan realiti kehidupan berbanding terlalu mengikut kecenderungan drama tempatan yang sering memaparkan kehidupan golongan berada, watak ketua pegawai eksekutif (CEO) serta latar kemewahan.
Menurut Jaja, pendekatan tersebut bukan bermaksud dia menolak atau membantah karya bercorak sedemikian, sebaliknya pengalaman membesar dalam persekitaran kampung membuatkan dirinya lebih dekat dengan kisah kehidupan masyarakat biasa.
Malah, dia percaya naskhah yang dekat dengan realiti mempunyai kekuatan tersendiri kerana membolehkan penonton melihat sebahagian daripada kehidupan mereka diterjemahkan menerusi kaca televisyen.
“Kalau orang lain memang suka cerita orang kaya, cerita Gen Z, cerita di bandar-bandar besar dan CEO. Saya bukan tidak suka sebab mahu membangkang, tetapi saya sendiri dilahirkan dan tinggal di kawasan kampung.
“Saya suka cerita-cerita begini sebab ia memang dekat dengan masyarakat. Jadi, apabila masyarakat menonton, mereka boleh kaitkan cerita itu dengan diri sendiri. Saya pun membaca komen penonton dan mereka juga merasakan agak klise apabila setiap stesen atau slot sering menceritakan kisah orang kaya, anak orang senang atau pulang dari luar negara kemudian tiba-tiba berada pada kedudukan tinggi,” katanya.
Jaja berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia bagi berkongsi mengenai drama terbaharu terbitannya, Sepenuh Hati Rindu, yang bakal disiarkan sebanyak 20 episod menerusi TV3.
Menurutnya, industri drama juga perlu berani menampilkan perjalanan hidup yang lebih realistik dan tidak memberikan gambaran seolah-olah kejayaan boleh diperoleh dengan mudah tanpa melalui sebarang kesukaran.
“Dalam masyarakat kita, tidak semuanya berlaku sedemikian rupa. Kebanyakan daripada kita perlu mendaki tangga satu demi satu. Orang mahu melihat bagaimana seseorang itu bermula daripada kesusahan sebelum menjadi senang kerana setiap kejayaan mempunyai perjalanannya.
“Bukan tiba-tiba keluar dari universiti, kemudian terus mempunyai pemandu, syarikat besar dan empayar perniagaan yang hebat. Perkara sebegitu sangat jarang berlaku melainkan seseorang itu memang dilahirkan dalam dulang emas.
“Kebanyakan masyarakat kita, terutama di negara ini, menjalani kehidupan yang normal. Kalau mahu senang, mesti melalui kesusahan terlebih dahulu. Kita perlu menunjukkan liku-liku kehidupan supaya masyarakat faham bahawa kehidupan ini tidak semudah yang disangkakan dan kita sendiri perlu melaluinya,” katanya.

Dalam usaha membawa karya tempatan ke arah kehidupan masyarakat yang semakin moden, Jaja bagaimanapun tidak mahu elemen nostalgia dan nilai kehidupan sebenar diketepikan.
Katanya, meskipun pola tontonan masyarakat kini berubah dengan sebahagian penonton beralih kepada platform penstriman atau OTT, masih terdapat kelompok yang mahu menyaksikan cerita yang mempunyai hubungan rapat dengan pengalaman kehidupan mereka.
“Kalau pada saya, saya lebih suka menerbitkan cerita mengenai kisah realiti yang berlaku kepada masyarakat setempat dan dekat dengan kehidupan individu atau masyarakat itu sendiri.
“Memang ramai peminat kita sudah beralih kepada OTT, tetapi saya percaya masih ada penonton televisyen yang sukakan cerita yang mempunyai kaitan dengan diri mereka. Contohnya kehidupan orang di kampung, di tepi sungai, di tepi laut, kisah mak cik-mak cik dan kekeluargaan.
“Perkara seperti itulah yang saya cuba terapkan supaya nostalgia kehidupan masih dapat kita rasai walaupun kita sudah bergerak ke arah kehidupan yang lebih moden,” jelasnya.
Mengulas mengenai Sepenuh Hati Rindu, Jaja berkata, drama berkenaan mengetengahkan isu kehilangan seseorang dan kesannya terhadap institusi kekeluargaan, selain cuba memberikan pengetahuan kepada masyarakat mengenai situasi yang jarang berlaku.
Drama tersebut berkisar mengenai pasangan suami isteri yang terpisah selepas si suami dilaporkan hilang sebelum isterinya menemui jodoh baharu. Konflik tercetus apabila selepas beberapa tahun, suami yang disangka sudah tiada itu kembali semula.

“Cerita ini lebih kepada idea asal yang dicipta oleh penulis skrip. Sekarang banyak cerita berkaitan isu kekeluargaan, tetapi kita tidak mahu membawanya ke arah kontroversi.Ia mengenai cinta tiga segi yang tidak disengajakan apabila pasangan suami isteri berpisah disebabkan suami hilang. Si isteri kemudian bertemu jodoh baharu, tetapi selepas beberapa tahun, suaminya kembali.
“Jadi, kita mahu melihat bagaimana isu seperti ini boleh dikaitkan sekiranya benar-benar berlaku dalam masyarakat dan apakah jalan penyelesaian yang boleh dijadikan rujukan supaya orang ramai tidak keliru apabila berdepan kes sedemikian.
“Kita mahu mendidik masyarakat mengenai perkara yang mungkin bersifat minoriti dan jarang berlaku, tetapi pengetahuan mengenainya tetap perlu diberikan kepada masyarakat hari ini,” katanya.
Tambah Jaja, setiap karya yang diterbitkannya perlu mempunyai nilai dan manfaat tertentu kepada penonton, walaupun mesej tersebut disampaikan secara kecil dan tidak terlalu menggurui.
“Kita kena berpijak di bumi yang nyata. Sekarang pun ramai pelajar yang keluar dari universiti masih belum mempunyai peluang pekerjaan yang benar-benar setara dengan tahap pendidikan mereka. Perkara itu juga perlu kita tunjukkan kepada masyarakat.
“Sebab itu penting untuk kita mempunyai pengalaman dan mampu berdikari dalam apa sahaja situasi. Kalau kita sentiasa menggambarkan semuanya mudah, masyarakat juga boleh mendapat gambaran yang salah mengenai cara menjalani kehidupan.
“Walaupun kecil dalam karya-karya saya, saya mahu mendidik masyarakat bahawa setiap perkara yang berlaku mempunyai nilai murni yang perlu diterapkan, panduan yang boleh diikuti dan akhirnya memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.
Sepenuh Hati Rindu menjalani penggambaran selama kira-kira 60 hari di Pahang dan menampilkan gabungan pelakon berpengalaman serta bakat baharu termasuk Shahz Jaszle, Farhana Nabila, Safina Swit dan Razuan Rosli.










