Jaga integriti, Hans Isaac elak produksi terima dana Finas - Utusan Malaysia

Jaga integriti, Hans Isaac elak produksi terima dana Finas

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Datuk Hans Isaac mengakui beliau sangat sensitif untuk menerima sebarang tawaran berlakon di dalam negara berikutan bimbang timbul isu konflik kepentingan dengan jawatan dipikulnya sebagai Pengerusi Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Hans atau Gerald Hans Isaac, berkata, beliau tidak boleh sebarangan menerima tawaran kerana kebanyakan syarikat produksi tempatan mempunyai dana bantuan daripada Finas.

Menurut Hans, keadaan adalah berbeza jika tawaran berlakon tersebut datang daripada syarikat produksi luar negara yang langsung tidak menggunakan duit dana kerajaan.

“Saya tidak tahu dan ia bergantung kepada produksi kerana keadaan sekarang sangat sensitif untuk saya berlakon memandangkan saya adalah Pengerusi Finas. Kalau saya terlibat dengan produksi yang ada terima dana daripada Finas atau kerajaan, ia akan jadi konflik dan itu pun saya kena fikir juga.

“Sebab itu ia bergantung kepada pihak produksi dan kalau tawaran itu daripada produksi luar Malaysia, saya akan cakap ya 100 peratus. Tetapi kalau produksi di Malaysia, saya kena berfikir dahulu disebabkan jawatan saya buat masa sekarang,” katanya.

Hans berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui semasa sidang media Gerak Khas 2.0 di ibu negara, semalam.

Dalam pada itu, ditanya mengenai kesediaannya sekiranya berlaku pertukaran kerajaan yang boleh menjejaskan jawatan yang dipegangnya sekarang, Hans enggan melayan perkara tersebut.

“Tiada siapa yang cakap perkara itu betul dan sekiranya ia berlaku, saya rasa presiden saya akan jadi Perdana Menteri yang ke-11, semudah itu sahaja. Kita akan buat yang terbaik yang boleh dan saya akan bantu beliau sebaik yang boleh.

“Perkara ini terpulang juga kepada rakyat untuk menentukannya tetapi saya rasa beliau adalah orang yang terbaik untuk Malaysia buat masa sekarang. Saya akan teruskan perjuangan bersama-sama dengan beliau,” katanya.

Terdahulu, selain aktif dalam industri hiburan, Hans juga merupakan seorang ahli politik dan memegang jawatan sebagai Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ampang namun jawatan tersebut kini disandang oleh penyanyi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Altimet.

Untuk rekod, Hans Isaac mula aktif dalam dunia seni sejak era 1990-an sebelum dilantik memegang jawatan sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN