Isu saman peminat fanatik selesai, keluarga janji pantau penggunaan telefon - Zaki Yamani - Utusan Malaysia

Isu saman peminat fanatik selesai, keluarga janji pantau penggunaan telefon – Zaki Yamani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Zaki Yamani memaklumkan kenyataannya sebelum ini yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang peminat yang didakwa terlalu obses terhadapnya hanyalah jentikan buat keluarga individu berkenaan untuk membuat pemantauan.

Menurut Zaki, individu tersebut merupakan golongan orang kurang upaya (OKU), malah dirinya tidak mahu peminat tersebut terus menjadi sasaran kecaman netizen.

“Saya keluarkan kenyataan itu ditujukan kepada keluarga individu berkenaan supaya mereka memantau penggunaan telefonnya. Saya mahu mereka sedar apa yang ditulis dan dikongsikan di media sosial. Itu sahaja tujuan saya.

“Dia seorang OKU dan hidup dalam dunianya sendiri. Saya kasihan melihat dia terus dikecam netizen yang menggelarnya mental dan gila. Bagi saya, perkara itu tidak baik kerana mereka tidak tahu dia sebenarnya seorang OKU,” katanya.

Zaki berkata demikian ketika ditemui di sesi apresiasi media Hotlink Geng Bijak Berbajet (GBB) Next Chapter, baru-baru ini.

Zaki bagaimanapun bersyukur apabila isu berkenaan berjaya diselesaikan secara baik selepas kakak kepada individu terbabit menghubunginya.

“Isu tersebut telah pun selesai. Selepas kenyataan itu dibuat, kakaknya menghantar mesej peribadi kepada saya dan memaklumkan adiknya seorang OKU. Saya kata tidak mengapa dan saya memang tiada masalah dengan dia.

“Cuma saya rasa ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian supaya keadaan ini tidak menjadi lebih buruk. Individu itu juga sudah memohon maaf, manakala keluarganya berjanji akan memantau penggunaan telefonnya selepas ini,” jelasnya.

Dalam masa sama, Zaki mengakui dia sentiasa menghargai peminat yang menyokong kerjayanya, namun tidak akan berkompromi sekiranya sesebuah kandungan itu mengundang kepada perkara yang tidak benar.

“Saya sudah lama tahu mengenai dia, kira-kira dua atau tiga tahun lalu. Saya sedar dia memang terlalu fanatik kerana pernah melukis wajah saya dan menjual lukisan itu.

“Dia juga pernah mewujudkan akaun palsu dengan menyamar sebagai media dan menghasilkan kandungan yang mendakwa saya menyukai seseorang yang sebenarnya merujuk kepada dirinya sendiri.

“Saya memang menghargai orang yang meminati saya. Kalau mahu hasilkan kandungan mengenai saya di TikTok atau Threads, saya tiada masalah. Cuma jangan mereka cerita yang bukan-bukan sehingga orang lain mempercayainya dan akhirnya saya pula menjadi bahan usikan rakan-rakan.

“Malah, rakan-rakan serta kenalan ayah saya sendiri menghantar kandungan itu kepada saya dan bertanya dari mana datangnya cerita berkenaan,” jelasnya.

Sebelum ini, Zaki menegaskan dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang pengguna media sosial yang didakwa menyebarkan cerita palsu kononnya dia sedang menjalinkan hubungan cinta dengan seorang personaliti TikTok.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN