KUALA LUMPUR: Pelakon,Haidar Hasanudin mengakui pernah menjalani prosedur tanam jambang bagi mendapatkan penampilan yang lebih kemas dan seimbang, namun menegaskan dia tidak berhasrat melakukan perubahan besar terhadap wajah kerana bersyukur dengan anugerah dikurniakan Tuhan.
Haidar, 37, berkata keputusan menjalani prosedur itu dibuat selepas mendapati pertumbuhan jambangnya tidak sekata apabila hanya tumbuh lebat di bahagian kanan wajah.
“Terus terang memang saya ada buat beard transplant. Saya tanam untuk stabilkan sebab jambang saya jenis tumbuh sebelah kanan sahaja.
“Kalau dibiarkan, nampak macam tidak rata sebab sebelah lagi tidak banyak tumbuh. Jadi saya pilih untuk seimbangkan supaya kedua-dua belah ada jambang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada tayangan drama terbaharu Viu di Odeon Kuala Lumpur, kelmarin.
Dalam pada itu, Haidar berkata, sebagai seorang lelaki dia sememangnya mementingkan penjagaan diri terutama kesihatan kulit wajah, lebih-lebih lagi selepas bergelar pelakon.

Menurutnya, rutin penjagaan kulit sudah diamalkan sejak dahulu, namun menjadi lebih penting kerana penggunaan solekan yang kerap ketika menjalani penggambaran boleh memberi kesan kepada keadaan kulit.
“Saya rasa penjagaan diri bukan sebagai seorang pelakon saja, tetapi semua orang pun perlu ada. Cuma mungkin untuk saya sebab berada dalam industri, penjagaan kulit itu lebih dititikberatkan.
“Dari dulu lagi saya dah belajar tentang rawatan wajah. Lelaki pun kena pakai produk asas seperti pelembap dan pelindung matahari,” katanya.
Mengulas trend segelintir individu melakukan prosedur kosmetik seperti mengubah bentuk hidung, rahang atau gigi bagi meningkatkan keyakinan diri, Haidar berkata, setiap orang berhak membuat pilihan masing-masing.
Bagaimanapun, Haidar menegaskan dirinya tidak bercadang melakukan sebarang perubahan besar terhadap wajah kerana berpuas hati dengan rupa paras yang dimiliki.
“Saya bersyukur dengan apa yang Tuhan kurniakan. Bagi saya, apa yang ada ini pun dah lebih daripada cukup.
“Kalau untuk tambah benda lain, saya rasa tidak perlu untuk saya. Tapi pilihan orang lain, saya hormati. Kalau itu boleh buat mereka lebih yakin, terpulang kepada mereka,” katanya.










