Gambar yang disunting biarlah berpada dan tidak langgar hukum Islam - Zizan Razak - Utusan Malaysia

Gambar yang disunting biarlah berpada dan tidak langgar hukum Islam – Zizan Razak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelawak dan pelakon, Zizan Razak menegur segelintir pihak agar berpada-pada dalam menyunting gambarnya untuk menjadikan bahan jenaka seperti yang sedang tular di media sosial, sejak kebelakangan ini.

Menurut Zizan, dia tidak pernah menghalang orang ramai untuk berkongsi kandungan yang bersifat hiburan, namun menegaskan setiap gurauan perlu mempunyai batas lebih-lebih lagi jika melibatkan hukum agama dan hak individu.

“Assalamualaikum kepada seluruh warga internet dan mereka yang mengenali diri ini. Tujuan hantaran ini adalah untuk meluahkan dan memberi tahu yang saya ini memang seorang yang ‘sporting’ dan juga seronok akan tetapi ada tahapnya.

“Berkenaan dengan gambar saya yang viral beberapa harini disunting dan diubah menjadi kelakar boleh tetapi biarlah berpada dan tidak melanggar hukum agama Islam,” katanya menerusi sebuah hantaran di Instagram.

Dalam masa sama, pelakon filem Polis Evo itu mendakwa terdapat segelintir pihak yang mengambil kesempatan menggunakan gambar yang telah disunting tersebut bagi tujuan mempromosikan produk tanpa mendapatkan kebenaran terlebih dahulu.

“Dan ada juga pihak yang mengambil kesempatan bertujuan mempromosikan produk masing-masing tanpa meminta izin mahupun bayaran dikenakan dan itu secara keseluruhannya haram pada pendapat saya. Jadi, renung-renungkanlah jika ingin berniaga secara halal,” ujarnya.

Zizan memuat naik kenyataan sedemikian selepas menyedari terdapat segelintir pihak yang menyunting gambarnya memakai pakaian sukan ketat untuk menjadikan bahan jenaka di media sosial.

Pun begitu, perkongsian tersebut turut menerima sokongan daripada pengikutnya yang menyifatkan teguran berkenaan sebagai wajar, khususnya apabila melibatkan penggunaan imej seseorang untuk tujuan komersial tanpa kebenaran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN