PETALING JAYA: Pelakon yang terpalit isu dadah perlu menanggung kerugian jika pembabitannya itu mendatangkan kesan buruk kepada seluruh produksi drama yang dilakonkannya.
Menurut pengasas syarikat produksi Pencil Pictures and Records Sdn Bhd, Datuk Ayu Puteh, 49, perkara itu termaktub di dalam perjanjian yang ditandatangani antara pelakon dan penerbit.
“Pelakon itu diarahkan membayar kos bagi penggambaran dan tiga kali ganda daripada kerugian yang berpunca daripada masalah yang berkait dengannya. Perkara ini ada dinyatakan dalam kontrak. Jika gagal membayar kos tersebut maka ke penjaralah jawabnya.
“Perkara ini saya sentiasa sertakan dalam kontrak kerana isu membabitkan penyalah gunaan dadah ini adalah perkara luar jangka. Salah atau tidak, kerana kelalaiannyalah membuatkan perkara itu berlaku,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Kelmarin, polis berjaya memberkas 11 individu termasuk seorang pelakon drama kepolisan yang ditangkap berkaitan isu penyalahgunaan dadah.
Ayu atau nama sebenarnya, Normashayu Puteh sentiasa memberi amaran kepada pelakon bagi drama atau filem terbitannya agar menjaga diri dan tidak melibatkan diri dengan mana-mana aktiviti yang akan menjejaskan penggambaran.
“Sebagai penerbit, kita tak akan pernah berkesempatan untuk mengingatkan pelakon agar menjaga tatatertib apabila mereka terlibat dalam sesebuah filem atau drama. Namun, dalam perjanjian yang ditandatangani pelakon sudah terang lagi bersuluh dinyatakan mengenai hal tersebut.
“Bagaimanapun saya akan mengingatkan semua pelakon yang saya tidak akan bertanggungjawab sekiranya mereka terpalit kes dadah dan sebagainya
“Pelakon ini kadang kala merasakan yang mereka tidak diperhatikan, lantas berbuat apa sahaja. Namun hakikatnya merekalah yang akan diperhatikan ke mana sahaja mereka pergi.
“Lebih-lebih lagi pelakon berlagak, ada sahaja pihak yang mencari salah mereka termasuklah menjadi dalang untuk mereka disiasat sekiranya pelakon itu terlibat kes dadah. Sebab itu pelakon kena berwaspada kerana bukan semua orang akan menyenangi kita,” katanya lagi.
Penerbit berusia 49 tahun itu memaklumkan Penerbit akan menanggung kerugian besar selain pelakon dan kru penggambaran lain juga bakal terjejas sekiranya salah seorang pemain drama atau filem itu ditangkap berkaitan dadah.
“Natijahnya adalah produser akan menanggung kerugian, lebih-lebih lagi kalau pelakon itu memegang peranan utama dalam drama atau filem itu. Penerbit terpaksa menghentikan penggambaran kecuali dia diikat jamin, keluar dan meneruskan lakonan seperti biasa.
“Penerbit akan kerugian dari segi masa, jadual juga perlu dirombak. Dan dalam masa yang sama orang tidak akan menonton drama atau filem itu semata-mata untuk mencari siapa pelakon yang ditangkap kes dadah itu. Orang akan menjadi meluat kerana apa sahaja berkaitan dadah ini memang negatif,” ujarnya.










